MAJLIS PELANCARAN BOOKLET PENCAPAIAN 5 TAHUN PENANG2030, KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN
YAB TUAN CHOW KON YEOW,
KETUA MENTERI PULAU PINANG,
BERSEMPENA MAJLIS PELANCARAN BOOKLET PENCAPAIAN 5 TAHUN PENANG2030,
KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
THE TOP, KOMTAR
2:45 PETANG
______________________________
YB Dato’ Law Choo Kiang
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang
YB Prof. Dr. P. Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Mohd. Sayuthi Bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Barisan Exco Kerajaan Negeri
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri; barisan Ahli Parlimen; YB-YB Senator
Ketua-Ketua Jabatan
Badan-badan bukan kerajaan (NGO-NGO), wakil-wakil persatuan dan pertubuhan
Rakan-rakan media, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani,.
- Lima (5) tahun lalu, rakyat Pulau Pinang sekali lagi telah memberi mandat dan kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan untuk terus menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Justeru, kita telah membentuk sebuah Kerajaan Negeri berkebajikan yang meletakkan kepentingan rakyat di negeri ini sebagai keutamaan.
- Dalam tempoh lima (5) tahun ini juga, kita telah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah pandemik COVID-19 yang menuntut perhatian penuh dalam menangani keperluan kritikal penduduk melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agesi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta menyebar luas maklumat yang tepat berhubung pengurusan pandemik di negeri ini.
- Secara peribadi, saya merasakan ia diibaratkan sebagai cabaran getir buat seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lancar. Susulan itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) yang bertindak untuk mengenal pasti masalah serta cabaran yang dihadapi baik dari segi pelancongan, ekonomi, infrastruktur, digitalisasi dan juga pekerjaan.
- Syukur kerana kita mampu bangkit semula dan proses pemulihan pasca pandemik juga berjaya memulihkan pelbagai sektor terjejas. Hari ini, berdirinya saya di sini, adalah untuk membentangkan pencapaian Visi Penang2030 setelah lima (5) tahun kita bertungkus-lumus dan berganding bahu menjayakannya. Hasil titik peluh dan komitmen bersama ini membawa kita ke arah pencapaian sebanyak 47 peratus daripada jumlah secara keseluruhan strategik inisiatif Visi Penang2030 yang mana sebanyak 210 projek dan program telah dijalankan atau dalam pelaksanaan.
- Menyorot kembali pada tanggal 29 Ogos 2018, Visi Penang2030 : Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara digagaskan sebagai satu wawasan pembangunan yang terdiri daripada empat (4) tema utama yang melibatkan semua rakyat Pulau Pinang iaitu:
Tema A - Meningkatkan daya huni bagi menambah baik kehidupan;
Tema B - Menaik taraf Ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah;
Tema C - Memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat; dan
Tema D - Melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan.
- Semenjak itu, Manifesto 2018 dan Visi Penang2030 menjadi panduan serta petunjuk penting dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga kini. Kita tidak pernah mengalah sejak diberi kepercayaan memegang tampuk pentadbiran pada tahun 2008. Melangkah ke hadapan, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus komited memartabatkan negeri ini di persada dunia dengan cemerlang bagi memastikan Visi Penang2030 direalisasikan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
- Seperti yang dimaklumkan sebelum ini bahawa Visi Penang2030 mempunyai empat (4) Tema Utama yang disokong oleh 16 Inisiatif Strategik. Dari segi pencapaian, sebanyak 210 projek dan program telah dan sedang dijalankan termasuk usaha untuk mempercepatkan transformasi digital, membina daya tahan, menggunakan data dengan cekap, lebih tumpuan memenuhi kehendak rakyat, memberi keutamaan kepada belia, memperkasakan komuniti wanita, kanak-kanak, membina hubungan ekonomi global bagi industri elektrik dan elektronik (E&E), memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat, menarik bakat, kecekapan sumber dan memupuk keterangkuman gender.
- Seiring trend teknologi global, Kerajaan Negeri juga menggunakan teknologi pintar dalam pentadbirannya bagi memastikan kemajuan yang dicapai merentas domain bandar dari segi sumber air, infrastruktur digital, tenaga dan utiliti, mobiliti dan kenderaan elektrik (EV), kehidupan dan kesihatan, alam sekitar, keselamatan awam, ekonomi pusingan atau circular economy dan ke arah matlamat kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau ESG. Bagi memacu pencapaian Visi Penang2030 ini, kita perlu mengambil kira semua objektif tersebut.
- Oleh itu, kita akan memfokuskan terhadap tiga fokus utama, iaitu Inisiatif Setempat, Inisiatif Pembinaan Komuniti dan Inisiatif Penglibatan Industri. Melalui Inisiatif Setempat, usaha lokal dikenal pasti sebagai titik fokus untuk membangunkan Pulau Pinang misalnya melalui usaha mewujudkan Daerah Digital Kreatif atau Creative Digital District di George Town, menaik taraf Padang Kota Lama, membangunkan Santuari Marin di Middle Bank (Pulau Gazumbo), Gurney Bay dan Penang Bay.
- Seterusnya, Inisiatif Pembinaan Komuniti melibatkan usaha memperkasakan penduduk secara keseluruhan termasuk melancarkan "Kempen LovePENANG" yang menyeru semua rakyat untuk bertindak bersama-sama membina semula dan maju ke hadapan untuk Pulau Pinang yang lebih gemilang. Manakala, yang terakhir adalah Inisiatif Penglibatan Industri yang memfokuskan pada pembangunan bakat dan masa depan industri semikonduktor, taman-taman perindustrian dan daerah digital swasta di Pulau Pinang seiring Revolusi Industri 4.0.
TEMA A: Meningkatkan Daya Huni Bagi Menambah Baik Kehidupan
- Dalam mencapai sasaran Visi Penang2030, Kerajaan Negeri telah mensasarkan sebanyak 220,000 unit rumah mampu milik dibina untuk rakyat Pulau Pinang menjelang tahun 2030. Sehingga kini, sebanyak 148,351 (seratus empat puluh lapan ribu tiga ratus lima puluh satu) unit Rumah Mampu Milik Jenis A, B dan C dibina dengan pencapaian setakat ini adalah 64 peratus.
- Pencapaian ini merupakan hasil kerjasama semua pihak termasuk pihak pemaju swasta, penjawat awam dan rakyat. Kerajaan Negeri akan terus melipatgandakan usaha dan juga meneruskan penyelenggaraan perumahan yang mana sehingga kini, kita telah menyiapkan 35,417 (tiga puluh lima ribu empat ratus tujuh belas) projek penyelenggaraan melibatkan penggantian dan penaiktarafan lif serta tangki air dengan kos RM342 juta, bagi memastikan penduduk negeri ini dapat menikmati rumah yang selesa untuk membina keluarga serta masyarakat yang harmoni dan maju.
- Bagi membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri selamat dan pintar, sebanyak 1,241 unit kamera litar tertutup (CCTV) milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah dipasang dengan fungsi video analitik.
- Bagi meningkatan pengurusan kebajikan, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM53 juta bagi Program i-Sejahtera. Di bawah program ini, Kerajaan Negeri memberi penghargaan berbentuk kewangan secara tahunan kepada rakyat Pulau Pinang termasuk golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah dan bayi berumur dua (2) tahun ke bawah. Selain itu, Pusat Transit Gelandangan di Jalan CY Choy juga bakal dibuka tidak lama lagi, ia sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam membantu golongan yang menjalani kehidupan bergelandangan di sekitar pusat bandar raya.
- Lapangan sukan dan rekreasi juga tidak ketinggalan yang mana sebanyak 92 kemudahan sukan telah dibina dan dinaik taraf bagi permainan futsal, bola keranjang dan sepak takraw. Tempat rekreasi seperti Woodhaven Park di Bukit Mertajam dan juga Taman Areca di Sungai Pinang turut dibangunkan. Program-program sukan seperti ‘sports clinic’ untuk meningkatkan penyertaan sukan juga dijalankan dengan jayanya. Selain itu, Kerajaan Negeri turut mewujudkan Galeri Sukan Pulau Pinang yang pertama seumpamanya di Malaysia. Fasiliti lain yang telah, sedang dan dalam perancangan pembinaan termasuklah Stadium Mini Bola Sepak di Permatang Rawa, e-Sports Centre di Komtar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Tema B - Menaik Taraf Ekonomi Bagi Meningkatkan Pendapatan Isi Rumah
- Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang mencatatkan RM121 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan mulai Januari 2019 hingga Disember 2022 dengan jumlah sasaran 150,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030. Jumlah pelaburan ini didorong oleh pertumbuhan positif industri elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan (M&E), saintifik dan perubatan serta peralatan industri. Kerajaan Negeri juga mensasar 20,000 peserta menjelang tahun 2030 bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik atau
- Dalam keadaan ekonomi global yang masih penuh dengan cabaran, Kerajaan Negeri akan terus mempromosikan pelaburan masuk ke negeri ini, menyedia tanah-tanah industri, ‘Industry Readiness’ dan menyelenggara kemudahan-kemudahan yang menjadi tarikan kepada pelabur asing.
- Selain itu, inisiatif untuk memastikan urusan-urusan berkaitan pelaburan masuk ke negeri ini iaitu ‘business friendly’ seperti pendaftaran perniagaan, kelulusan pembinaan, penyediaan tenaga kerja mahir dan meningkatkan penyediaan Perkhidmatan Peniagaan Global atau Global Business Services (GBS) akan turut diteruskan.
- Dalam pada itu, Penang Science Cluster (PSC) telah berjaya memberi latihan Coding For All kepada 180,000 pelajar dari tahun 2018 sehingga 2023. Manakala, bagi program German Dual Vocational Training (GDVT), Diploma German Meister jumlah pelajar kini adalah seramai 680 orang.
- Serentak itu, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Tabung Benih Industri 4.0 dengan dana sebanyak RM4 juta pada tahun 2018 bagi membantu technopreneur muda dan sebanyak 37 syarikat layak menerima bantuan modal.
Pada 22 Februari 2022, Kerajaan Negeri telah melancarkan Stream #4 dengan dana tambahan sebanyak RM1 juta.
Memodenkan Pertanian Di Pulau Pinang
- Agromakanan merupakan antara sektor yang menjadi sumber penting bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan pada hari ini amat prihatin tentangkeselamatan makanannegara kerana ia merangkumi tanggungjawab dalam memastikan rakyat mendapat makanan yang mencukupi, selamat dimakan dan mudah diakses.
- Pihak Kerajaan melalui Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang telah berusaha meningkatkan kefahaman petani mengenai pengamalan teknologi Pertanian bagi meningkat pengeluaran hasil tanaman. Justeru, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan RM6.92 juta manakala Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.83 juta bagi melaksanakan program-program pembangunan pertanian sama ada pembangunan fizikal mahupun pembangunan modal insan.
- Projek Kebun Kerang yang bermula pada tahun 2019 bertujuan membantu penternak menjalankan aktiviti ternakan kerang yang lebih sistematik dan produktif di samping menjana pendapatan bagi golongan B40 sekali gus meningkatkan pengeluaran kerang di negeri ini. Kerajaan Negeri juga telah menambah peruntukan dengan tambahan 21 ladang ternakan kerang baru di Seberang Perai Utara dan membina jeti berserta kemudahan lain berkaitan bagi aktiviti pendaratan kerang di tiga buah jeti iaitu Jeti Lahar Endin, Sungai Abdul dan Jeti Bagan Ajam.
- Sedusun Tech Valley merupakan projek yang berjaya merangkul beberapa anugerah yang mana bertujuan mengubah stesen pertanian berteknologi tinggi. Kerajaan Negeri juga menganjurkan Festival Padi Antarabangsa bagi merancakkan perkembangan agro pelancongan di Pulau Pinang.
Mencipta Pelbagai Produk Pelancongan Yang Berkualiti
- Melalui Pejabat Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), Penang Global Tourism (PGT) dan Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB), pelbagai program dan projek pelancongan berkualiti turut dilaksanakan demi untuk menggandakan kemasukan pelancong ke negeri Pulau Pinang.
- Antaranya usaha yang dijalankan adalah mewujudkan Penang Art Biennale iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pendidikan seni reka dan seni persembahan, mewujudkan Maritime Museum / Fort Gallery, memulihkan Rumah Agam Syed Al-Attas; menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Pinang (PIA) dengan kapasiti 12 juta penumpang, merangka Public Arts Master Plan dan merancang pelaksanaan projek kereta kabel Bukit Bendera.
- Pada 2022, PCEB telah menyelaraskan dan mengendalikan sebanyak 281 acara perniagaan di Pulau Pinang, dengan impak ekonomi yang dijana adalah bernilai RM375 juta. Anugerah Bintang Michelin bagi Pulau Pinang juga menampilkan kulinari yang sangat berbeza lagi bertenaga yang benar-benar mencerminkan keunikan budaya berbilang etnik di Pulau Pinang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Tema C : Memperkasakan Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Masyarakat
- Bagi memperkasakan rakyat dan pembangunan masyarakat, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Dasar Keterangkuman Gender, Dasar Keluarga Selamat dan First Support Point. Malah, melalui MMK Pembangunan Sosial, kita juga telah menerbitkan buku iaitu Children Body Safety Education dan Baby Sensory Book sebagai inisiatif pembangunan kanak-kanak.
- Selain itu, inisiatif bagi menjaga kebajikan wanita dan kanak-kanak turut dilaksanakan melalui skim bantuan kepada taska, tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan juga pusat jagaan wanita berpantang.
- Penubuhan HARMONICO di Pulau Pinang dengan program dan projek-projek melibatkan semua agama termasuk memperkenalkan e-RIBI iaitu data untuk Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) turut menjadi sebahagian inisiatif berkaitan.
Mempercepatkan Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi
- Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengubal dasar libat urus pemegang taruh bagi setiap projek melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk wakil rakyat setempat. Melalui inisiatif tersebut, ia dapat menambah baik perancangan pembangunan di setiap kawasan negeri ini secara mampan dan sejajar dengan Visi Penang2030.
Pembangunan Hal Ehwal Agama Islam
- Sebagai komitmen untuk menjamin kesejahteraan kehidupan umat Islam di negeri ini, selain meningkatkan peruntukan pembangunan tahunan dalam Belanjawan Negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menyalurkan peruntukan bagi pelaksanaan program-program dan majlis agama antaranya, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang mana Pulau Pinang menjadi tuan rumah tahun ini.
- Begitu juga dengan program mengimarahkan masjid yang mana peruntukan disediakan dengan tujuan agar ia akan terus menyemarakkan semangat harmoni dan penghubung perpaduan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang. Selain itu, terdapat tujuh (7) buah masjid lagi dalam perancangan pembangunan sehingga tahun 2025 melibatkan kawasan di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.
- Di bawah agenda pembangunan umat Islam di Pulau Pinang, program 'Khaira Ummah 2030' turut mempunyai beberapa perancangan yang telah dan sedang dilaksanakan antaranya penubuhan Pusat Penyelidikan Syed Sheikh Al-Hadi di bawah seliaan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB).
Masyarakat Majmuk Yang Harmoni
- Sebanyak 134 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) telah menerima tanah daripada Kerajaan Negeri mulai tahun 2018 hingga 2022 membabitkan keluasan 83.41 ekar. Dalam pada itu, peruntukan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang turut ditingkatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Selain itu, Kerajaan Negeri juga melaksanakan sistem e-RIBI bagi tujuan pendigitalan dalam pengurusan Hal Ehwal Bukan Islam di Pulau Pinang.
- Penubuhan Pusat Harmoni pada tahun 2021 juga adalah bagi memastikan wujudnya sistem pengurusan berkaitan hal ehwal bukan Islam, dan Pulau Pinang merupakan antara tiga buah negeri di Malaysia yang mempunyai unit khas bagi tujuan berkenaan. Penganjuran seperti Minggu Harmoni Pulau Pinang misalnya antara lain adalah bagi mengeratkan lagi hubungan masyarakat majmuk yang harmoni.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pemberian Diskaun Premium 50 Hingga 90 Peratus Manfaatkan Pemilik Tanah Pegangan Pajak
- Kerajaan Negeri telah memberi diskaun premium bagi perlanjutan tempoh pegangan hakmilik pajakan atau ‘leasehold’ antara 50 hingga 90 peratus demi memanfaatkan pemilik tanah. Malah, dengan pembangunan Sistem Perkhidmatan Tanah Setempat Atas Talian dan Sistem Pulau Pinang (PgLAND), ia telah membawa lebih manfaat kepada rakyat Pulau Pinang khasnya.
Menggerakkan Pembangunan Komuniti dan Menyalurkan Peruntukan Bagi Pembangunan Masyarakat
- Kerajaan Negeri juga akan meneruskan inisiatif untuk membangunkan komuniti bersama-sama dengan Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Penang Green Council (PGC), Digital Penang, Penang Science Cluster, Pusat Penang2030, Pusat Aktiviti Warga Emas, Penang STEM bagi menjalankan program berteraskan pendidikan, sains, teknologi dan digital, program kepimpinan belia, bengkel alam sekitar dan perubahan iklim.
- Belia masa depan negeri kita. program ‘Belia untuk masa depan’ merupakan inisiatif bagi mempromosikan pembangunan holistik belia dengan tumpuan terhadap tiga bidang utama iaitu pembangunan ekonomi, pembangunan sosial dan pembangunan diri. Inisiatif ini bertujuan memperkasa golongan berkaitan sebagai agen perubahan dalam komuniti seterusnya bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Di bawah Perbadanan Belia Pulau Pinang (PYDC), satu portal carian kerjaya telah dilancarkan pada Jun 2020 sebagai inisiatif untuk membantu belia mencari peluang perkerjaan, sekaligus mencipta peluang ekonomi kepada mereka.
Inisiatif Pintar dan Pembayaran Tanpa Tunai
- Bukan itu sahaja, pelaksanaan perkhidmatan e-Pembayaran telah berjaya meningkatkan hasil kutipan Kerajaan Negeri yang seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri Pulau Pinang secara keseluruhan. Inisiatif pembayaran tanpa tunai ini mula dilaksanakan pada April 2020 melalui projek perintis pasar awam pertama yang menjalankan transaksi perniagaan tanpa tunai. Hal ini dilaksanakan ketika itu berikutan pandemik COVID-19.
- Melalui inisiatif tersebut, Kerajaan Negeri telah menerima maklum balas yang positif dan satu dasar yang diperkenalkan untuk mewajibkan penggunaan perkhidmatan e-Pembayaran sebagai salah satu platform terimaan hasil bagi semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 2 September 2020. Hasil pelaksanaannya, ia telah berjaya menaikkan hasil kutipan Kerajaan Negeri dan ini merupakan usaha untuk menarik minat pelabur asing untuk melabur di negeri ini. Sehingga hari ini, 70 peratus jabatan/agensi Kerajaan Negeri menerima hasil melalui sistem pembayaran elektronik (e-Pembayaran) pada tahun 2023, dan dijangkakan mencapai 100 peratus menjelang tahun 2025.
- Selain itu, MyKADUN App DISC juga telah diwujudkan bagi mengintegrasi dan menambah baik serta memproses maklumat dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, meningkatkan prestasi KADUN dan juga mendekati rakyat.
Tema D : Melabur Dalam Persekitaran Fizikal Bagi Meningkatkan Daya Tahan
- Projek-projek seperti Gurney Bay dan Bandar Cassia Technology Park (BCTP) dilaksanakan bagi mengimbangi pembangunan melalui perancangan ruang yang berkesan. Selain itu, Kerajaan Negeri bersama-sama agensi-agensi negeri seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Invest Penang (IP), ketiga-tiga Pejabat Tanah dan Daerah di Seberang Perai serta jabatan-jabatan kerajaan berkaitan mempunyai misi yang penting dalam memastikan pembangunan masa depan di bahagian Seberang Perai dan juga pulau kian seimbang dengan mewujudkan projek-projek pembangunan berteraskan kelestarian serta kedayahunian bagi rakyat Pulau Pinang dan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan infrastruktur.
- Menerusi projek penaiktarafan di Padang Kota Lama (North dan East seafront), Kerajaan Negeri memberi fokus untuk pembangunan Penang Bay, yang baru-baru ini telah mendapat anugerah UN-Habitat dalam mencapai matlamat sustainable development goals (SDGs) dan akan menjadi projek pemangkin zon ekonomi baru bagi George Town dan Seberang Perai.
- Bagi menyuraikan trafik dan kesesakan lalu lintas, Kerajaan Negeri telah membina Lebuhraya Bukit Kukus dan Jalan Pintasan Air Itam- Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada penggunaan pengangkutan awam dan menyalurkan 98 juta untuk inisiatif Pas Mutiara My50, perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT), BEST Komtar dan juga tambang feri.
- Selain itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) hingga Tanjung Bunga untuk kemudahan rakyat negeri ini. Panggilan tender bagi projek tersebut dijangka bermula pada hujung tahun ini, dan fasa pertama dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun.
- Bagi projek mitigasi banjir, sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan dalam temnpoh lima (5) tahun ini dengan pelaksanaan projek-projek tebatan banjir berimpak tinggi antaranya:-
- Projek Tebatan Banjir Parit 4
- Projek Tebatan Banjir Parit 5
- Projek Tebatan Banjir Mak Mandin
- Projek Tebatan Banjir Bayan Baru
- Projek Tebatan Banjir Sungai Nipah
Mengatasi Perubahan Iklim
- Kerajaan Negeri akan memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang diwartakan ditambah dan tidak sesekali dikurangkan. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah mewartakan hampir 1,000 hektar Hutan Simpanan Kekal pada tahun 2022. Pulau Pinang merupakan antara negeri yang tidak mengamalkan pembalakan di kawasan Hutan Simpanan Kekal. Pada tahun sama juga, keluasan Hutan Simpanan Kekal di Pulau Pinang telah ditingkatkan dari 5,386.7 hektar ke 6,063.25 hektar.
- Selaras dengan itu juga, sebanyak 161,490 pokok telah ditanam oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Perhutanan Negeri sejak tahun 2019 hingga kini. Turut membanggakan adalah kadar kitar semula bagi negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 53.2 peratus.
Hadirin yang dihormati sekalian,
- Dalam menjayakan pencapaian Visi Penang2030, kita sentiasa menjalin kerjasama yang baik dengan badan-badan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta secara menyeluruh.
- Meneliti pencapaian yang diukir bersama-sama ini, nescaya ia adalah hasil dedikasi kita dalam memperjuangkan amanat rakyat Pulau Pinang dan manifestasi terhadap sokongan serta kepercayaan yang diberikan. Saya percaya bahawa pencapaian ini mampu meningkatkan keyakinan rakyat Pulau Pinang bahawa kita merupakan sebuah Kerajaan Negeri yang boleh dipercayai bagi terus meletakkan negeri ini ke tahap yang lebih cemerlang.
- Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha serta komitmen untuk merealisasikan Visi Penang2030 dalam tempoh yang berbaki tujuh (7) tahun ini. Saya amat yakin barisan kepimpinan Kerajaan Negeri mampu melakukannya sebagaimana yang telah dibuktikan dalam cabaran menempuh pandemik COVID-19 sebelum ini hasil daripada sokongan semua pihak.
- Dalam tempoh lima (5) tahun memperjuangkan pentadbiran berintegriti, kebajikan rakyat, kelengkapan infrastruktur, pembentukan sebuah rantaian ekosistem, kini, kita sedang menerajui teknologi pendigitalan, inisiatif smart city berlandaskan pembangunan sumber insan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang terus gemilang serta terbilang.
- Kita akan terus bergerak seiringan sebagai sebuah pasukan dalam memartabatkan Pulau Pinang demi merealisasikan visi yang telah diukir untuk muncul sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
- Saya yakin kita mampu melakukannya demi negeri yang kita cintai ini, keharmonian serta kemakmuran yang terjalin kini bakal menjadi medan kepada anak cucu kita untuk terus membawa Pulau Pinang ke persada antarabangsa dan kemegahan dunia.
Berbekal ilmu belayar ke timur,
Tersemat impian sebagai panduan.
Pulau Pinang negeri aman dan makmur,
Suntikan LovePENANG sebagai pengikat perpaduan.
Sekian, terima kasih.