MAJLIS ANUGERAH SUKAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2019-2022

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH SUKAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2019-2022

10 JUN 2023

BERTAM RESORT, KEPALA BATAS

Salam Sejahtera & Salam LovePENANG.

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan untuk kita sama-sama berkumpul bersempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang Tahun 2019-2022 pada malam yang berbahagia ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) serta urus setia yang terlibat atas komitmen dan kerja keras dalam merealisasikan majlis yang berprestij ini.

Sebelum meneruskan ucapan, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, para jemputan serta para atlet dan pasukan atas kesudian memeriahkan majlis ini.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

 

Pada hari ini, Kerajaan Negeri amat berbesar hati untuk menyampaikan insentif kejayaan kepada kesemua atlet dan pasukan yang telah mempamerkan aksi cemerlang dan mengharumkan nama Malaysia amnya, dan negeri Pulau Pinang khususnya.

Sesungguhnya, kejayaan yang dilakar oleh para atlet negeri ini bukan sahaja meletakkan Pulau Pinang dan Malaysia di peta sukan antarabangsa malah juga telah membuka mata peminat sukan negara mengenai keupayaan luar biasa para atlet yang menjadi aset penting dalam mengharumkan sukan negeri serta negara di pentas antarabangsa.

Kerajaan Negeri berharap agar pengiktirafan yang diberikan pada majlis ini akan menjadi pencetus semangat dan sumber inspirasi kepada para pelapis dalam kalangan atlet muda negeri yang berpotensi untuk terus digilap dan melakar kejayaan yang semakin gemilang.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Semasa Kejohanan Sukan Malaysia XX MSN 2022 kali ke-20 tahun lalu, Pulau Pinang telah meraih 30 pingat emas, 28 pingat perak dan 42 pingat gangsa serta mendapat tempat ke-7 keseluruhannya.

Dengan ini, saya amat berharap agar atlet-atlet negeri akan terus berusaha dengan gigih untuk meraih lebih banyak pingat terutamanya pingat emas dan mencapai keputusan yang lebih baik di Sukan Malaysia XXI kali ke-21 di Sarawak pada tahun 2024 nanti.

Jadikanlah ia sebagai pentas landasan permulaan untuk anda melakar kejayaan yang lebih cemerlang di peringkat antarabangsa nanti.

Umumnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) sentiasa komited dalam menganjurkan program-program sukan yang berpestij dalam negeri atau negara dalam mempelbagaikan kejohanan dan mendukung segala usaha-usaha individu, persatuan sukan, atau agensi sukan dalam melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa.

Selaras dengan komitmen ini juga, Kerajaan Negeri melalui MSNPP akan terus melipatgandakan usaha serta memperkasakan lagi program-program pembangunan sukan negeri agar ia berada atas landasan yang tepat, sekaligus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Bagi mendukung dan merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri telah mempelbagaikan kemudahan sukan dan rekreasi yang mana sebanyak 92 projek dilaksanakan sama ada pembinaan fasiliti sukan baharu atau menaiktaraf fasiliti sukan sedia ada seperti gelanggang futsal, bola keranjang, sepak takraw, trek jogging dan berbasikal. Ini termasuk juga pembinaan taman rekreasi seperti WoodHaven Park, Bukit Mertajam dan juga Taman Areca, Sungai Pinang.

Serentak itu, program-program sukan turut dipergiatkan di bawah Program “Sports For All” dengan pelaksanaan 77 klinik sukan yang melibatkan 35 jenis sukan dan memberi manfaat kepada 19,228 peserta. Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Akademi e-Sports dan Galeri Sukan Pulau Pinang yang pertama bagi membuktikan komitmen dalam pembangunan sukan negeri ini.

Adalah diharapkan menerusi inisiatif serta pendekatan khas ini, ia bakal memantapkan lagi pencapaian atlet-atlet kita di arena sukan sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para atlet yang telah dicalonkan dan akan menerima anugerah di Majlis Anugerah Sukan pada kali ini.

Semoga dengan  pengiktirafan yang diberikan, ia akan menjadi pencetus semangat kepada anda semua dalam melakarkan kejayaan yang terus cemerlang di sukan yang diceburi.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang