LAWATAN KERJA KE TAPAK PROJEK JALAN BYPASS DARI AYER ITAM KE LEBUHRAYA TUN DR. LIM CHONG EU (PAKEJ 2)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA LAWATAN KERJA KE TAPAK PROJEK
JALAN BYPASS DARI AYER ITAM KE LEBUHRAYA TUN DR. LIM CHONG EU (PAKEJ 2)
10 JUN 2023
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua yang menyertai Lawatan Kerja ke Tapak Projek Jalan Bypass Dari Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (Pakej 2) pada pagi yang berbahagia ini.
Selepas lawatan pertama saya ke tapak ini pada Januari 2022 yang lalu, hari ini saya gembira untuk kembali ke sini bagi meninjau projek Pakej 2 yang telah mencapai kemajuan sebanyak 35 peratus.
Meskipun mengambil masa yang agak lama untuk dimulakan sejak daripada peringkat kajian reka bentuk dan kebolehlaksanaan (feasibility study) bermula pada tahun 2013, namun inilah komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan penyediaan fasiliti dan infrastruktur kepada rakyat negeri ini adalah diutamakan dan yang terbaik selari dengan kepesatan pembangunan yang berterusan di negeri yang tercinta ini.
Kerajaan Negeri akan terus berusaha keras bagi mencari alternatif lain agar infrastruktur yang akan dibina adalah yang terbaik dan usaha ini dilakukan secara berterusan dan berperingkat demi menjamin keselesaan kepada rakyat Negeri Pulau Pinang.
Selain itu, Kerajaan Negeri bersama dengan Kerajaan Persekutuan juga sedang merancang beberapa projek infrastruktur mega, sebagai contoh Projek Gurney Bay yang sedang rancak berjalan dan seterusnya adalah projek yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri iaitu Bayan Lepas LRT Line, yang akan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Tanjung Bungah.
Kerajaan Negeri berharap usaha-usaha yang dilakukan ini akan dapat membawa Pulau Pinang menjadi negeri contoh kepada negeri-negeri lain serta menaikkan lagi nama Malaysia di mata dunia.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Berdasarkan rekod data oleh pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia, pada tahun 2009 jumlah bilangan kenderaan yang berada di negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 1.75 juta kenderaan berbanding jumlah penduduk negeri ketika ini berjumlah 1.58 juta orang.
Manakala, data sama juga menunjukkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan jumlah pendaftaran dengan kenaikan sebanyak 9.50 peratus setahun, di mana kadar ini adalah merupakan di antara yang tertinggi di negara ini.
Dari segi aspek pelancongan pula, kemasukan pelancong daripada luar ke negeri ini juga menunjukan peningkatan yang sangat ketara, di mana mengikut data daripada Jabatan Pelancongan, jumlah pelancong yang datang ke negeri ini pada tahun 2021 adalah sebanyak 7,367 (pandemik), manakala pada tahun 2022, jumlah pelancong mencatatkan peningkatan mendadak kepada 629,476 pelancong.
Berdasarkan kepada data-data ini, ianya menunjukkan keperluan yang sangat mendesak terhadap fasiliti dan juga infrastruktur yang terbaik bagi menyelesaikan masalah penguraian trafik yang lebih efisien di negeri ini.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Bagi memastikan kelancaran projek ini, Kerajaan Negeri melalui rakan-rakan kerjasama komited dan sentiasa akan membantu pemaju utama projek ini iaitu Consortium Zenith Construction (CZC) meliputi semua aspek termasuk kewangan dan proses mempercepatkan pemilikan tanah sama ada tanah Kerajaan Negeri, tanah Kerajaan Persekutuan mahupun tanah-tanah persendirian.
Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Zairil Khir Johari, Exco Pengangkutan dan Infrastruktur, bersama pasukannya daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Penang Infrastructure Corporation (PIC) dan lain-lain agensi yang terlibat atas dedikasi dan komitmen bagi memastikan kelancaran projek ini, termasuklah beberapa kali mengadakan kunjungan hormat bertemu Menteri dan Kementerian yang terlibat bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit.
Saya berharap agar projek ini berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan, sekaligus menjadi satu lagi kayu pengukur kepada rakyat negeri ini sebagai janji dan tanggungjawab kami untuk memberikan keselesaan kepada semua.
Sekian, terima kasih.