MAJLIS PERASMIAN DAN PENYERAHAN PUSAT TRANSIT GELANDANGAN PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DAN PENYERAHAN
PUSAT TRANSIT GELANDANGAN PULAU PINANG
16 JUN 2023 (JUMAAT)
JALAN C.Y CHOY
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang
YB Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Phee Boon Poh
Exco Alam Sekitar dan Kebajikan
YB Puan Zabidah binti Safar
Pegawai Kewangan Negeri
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
YB ADUN-ADUN Negeri Pulau Pinang
YB Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang
Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Para Jemputan
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur atas peluang dan kesempatan yang diberikan untuk berkumpul bagi bersama-sama menjayakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang pada pagi Jumaat yang mulia ini.
Saya secara peribadinya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, YB Saudara Phee Boon Poh dan pasukan atas komitmen berterusan, kerja keras serta dedikasi dalam mengendalikan projek perintis ini.
Dengan peruntukan sebanyak RM4.4 juta, hari ini sejarah baru dilakar apabila impian Pulau Pinang untuk mewujudkan Pusat Transit Gelandangan yang pertama di negeri ini akhirnya berjaya direalisasikan.
Di atas tanah milikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan keluasan sebanyak 1,370 meter persegi (m2) yang mempunyai satu (1) unit rumah kedai yang telah diisytiharkan sebagai bangunan warisan kategori dua (2), pusat ini kini telah dilengkapi dengan sebuah pejabat, ruang bengkel/seminar, ruang asrama lelaki (60 katil) dan wanita (18 katil), kafeteria, surau, ruang jemuran dan yard, ruangan pocket park untuk aktiviti riadah, kemudahan bilik mandi dan tandas, bilik pemeriksaan kesihatan serta kemudahan OKU mengikut garis panduan MS1184 Universal Design, selain turut dijadikan sebagai recycle station bagi membolehkan golongan ini menjana pendapatan kelak.
Selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, pusat ini dibina berdasarkan konsep triple net zero iaitu zero waste, zero energy dan zero water yang mematuhi ciri-ciri bangunan hijau (GBI) berstatus platinum di mana antara aspek yang diberi perhatian adalah penggunaan solar panel untuk penjanaan tenaga elektrik, pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) untuk menjimatkan penggunaan air bersih dan pemasangan sistem Grey Water Harvesting untuk penyiraman pokok bunga.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Kerajaan Negeri memandang serius berkaitan pengurusan golongan gelandangan kerana ia bukan sahaja melibatkan masalah sosial dan kebajikan rakyat malah juga membawa kesan dan impak negatif kepada imej sektor pelancongan di negeri ini.
Meskipun kita sedar mungkin kewujudan pusat ini tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya, tetapi Kerajaan Negeri percaya inisiatif dan usaha ini mampu menjadi langkah penting dan titik tolak dalam menangani masalah gelandangan yang sering dikaitkan dengan isu kebersihan, keselamatan dan masalah sosial yang berleluasa di negeri ini.
Di bawah program Empowering The Street Citizen, aspirasi pusat ini bukan hanya sekadar penempatan sementara yang memberikan kemudahan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi turut memfokuskan kepada aspek pendayaupayaan golongan gelandangan menerusi latihan kemahiran mengikut minat dan kebolehan masing-masing.
Justeru, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang yang bertindak sebagai operator dalam mengendalikan pengoperasian pusat ini akan terus memantau dan melakukan intervensi yang bersesuaian agar golongan ini dapat diselamatkan, berdikari dan kembali berintegrasi kepada masyarakat.
Pihak JKM juga akan bekerjasama dengan Mutiara Foodbank dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu perseorangan bagi menyelaras dan memastikan aktiviti agihan makanan menjadi lebih teratur dan tiada pembaziran dan lambakan makanan berlaku di sini.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan inisiatif yang cukup bermakna ini.
Kepada rakan-rakan di agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Tenaga Kerja, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta lain-lain agensi, kita masih memerlukan perhatian, kerjasama dan kolaborasi ini pada masa-masa akan datang agar isu-isu yang melibatkan golongan gelandangan ini dapat ditangani dan diselesaikan secara kolaboratif dan holistik.
Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.