MAJLIS PECAH TANAH RUMAH MAMPU MILIK MANDARIN RESIDENSI
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH RUMAH MAMPU MILIK MANDARIN RESIDENSI
17 JUN 2023
JALAN TEOCHEW SATU, AIR ITAM
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa
YB Yeoh Soon Hin
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Paya Terubong
YB Joseph Ng
ADUN Air Itam
YBhg. Dato’ Tean Kok Ping
Pengarah, Focal Products Sdn. Bhd.
Encik Eugene Ooi
Pengarah, Focal Product Sdn. Bhd.
Encik Lee Thean Yew
Pengarah ACME Holding Berhad
Para Jemputan
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada syarikat Focal Products Sdn. Bhd. atas jemputan sempena Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Mandarin Residensi, Air Itam pada pagi yang berbahagia ini.
Di atas tanah dengan keluasan 4.2 ekar, hari ini kita bakal menyaksikan satu lagi projek perumahan mampu milik bakal direalisasikan di negeri ini, khususnya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Paya Terubong.
Sepertimana yang semua sedia maklum, DUN Paya Terubong dan jirannya, DUN Air Itam merupakan antara kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu lebih daripada 100,000 penduduk.
Justeru, majlis pada hari ini diharapkan menjadi simbolik kepada permulaan dan pemangkin kepada penyertaan lebih ramai pemaju untuk memilih dan membina RMM di kawasan ini.
Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada bulan ini juga dan dijangka siap pada Jun 2026, melibatkan keseluruhan 646 unit yang terdiri dari 153 unit RMM C1 pada harga RM150,000 dan 493 unit C3 pada harga RM300,000.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada pemaju tetuan Focal Products Sdn Bhd atas komitmen dalam menyokong serta merealisasikan agenda perumahan Kerajaan Negeri.
Ini merupakan satu usaha sama yang begitu membanggakan, dan layak mendapat pujian.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Dalam memenuhi permintaan yang tinggi terhadap pemilikan rumah mampu milik di negeri ini, jalinan kerjasama semua pihak termasuk agensi swasta adalah sangat diperlukan.
Ini adalah kerana permintaan kepada RMM sentiasa tinggi, lagi-lagi di kawasan tumpuan yang strategik dengan pelbagai daya tarikan termasuk kemudahan dan infrastruktur.
Sehingga hari ini, sebanyak 150,955 unit (68.6 peratus) pelbagai jenis RMM telah berjaya disiapkan, dalam pembinaan dan perancangan, daripada keseluruhan pembekalan 220,000 unit yang disasarkan menjelang tahun 2030.
Dalam Jawatankuasa Perancangan Negeri/State Planning Committee (SPC), Kerajaan Negeri amat serius dalam melihat aspek perincian pembangunan dan jenis produk yang akan dibina dan ditawarkan kepada rakyat.
Sehubungan itu, jika ada cadangan berkaitan RMM, ia selalunya diberi keutamaan. Pembinaan RMM disatu-satu lokaliti secara tidak langsung adalah strategi pengekalan penduduk asal, kerana jika hanya rumah mahal dibina ataupun kadar sewa yang tinggi akan menyebabkan penduduk mencari alternatif yang lebih jimat.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini.
Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Mandarin Residensi.
Sekian, terima kasih.