MAJLIS PELANCARAN PROJEK PEMBAHARUAN SEMULA BANDAR (PSB) MAHSURI, BAYAN BARU

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROJEK PEMBAHARUAN SEMULA

BANDAR (PSB) MAHSURI, BAYAN BARU

19 JUN 2023

TAPAK PROJEK PEMBAHARUAN SEMULA BANDAR MAHSURI

 

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail

Menteri Dalam Negeri merangkap ADUN Pantai Jerejak

YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan & Perancangan Bandar dan Desa

 

YB Puan Roslinda binti Mohd Shafie

Penasihat Undang-Undang Negeri

YB Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri

YB Sim Tze Tzin

Ahli Parlimen Bayan Baru

Yang Berusaha Puan ‘Ainul Fadhilah binti Samsudi

Pengurus Besar, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP)

YBhg. Dato’ Seri Khor Teng Tong

Pengasas & Penasihat Eksekutif Nilai Arif Sdn Bhd

Para Pengerusi, Perbadanan Pengurusan Blok F, G, H, J, K dan L, Mahsuri 5 Point Blok

Ketua-Ketua Jabatan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan Majlis Pelancaran Projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) Mahsuri, Bayan Baru pada pagi yang berbahagia ini.

Sesungguhnya majlis ini sangat bermakna dan signifikan sekali kepada Kerajaan Negeri umumnya dan sudah tentunya melakar sejarah tersendiri kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) sejak penubuhannya pada tahun 2021.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Seperti yang tuan / puan sedia maklum, Kerajaan Negeri sentiasa dan akan terus memberi fokus kepada menjurus kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang. Justeru itu, penyediaan perumahan merupakan antara komponen penting dalam mewujudkan institusi keluarga yang sejahtera dan selamat.

Di bawah aspirasi Visi Penang2030 melalui Inisiatif Strategik A1 iaitu: Menangani Isu Kemampuan dan Kepelbagaian Perumahan, tiga (3) sasaran telah ditetapkan seperti beriku:

Sasaran 1: Pembekalan 220,000 unit Rumah Mampu Milik pelbagai kategori menjelang 2030;

Sasaran 2: Pembekalan 22,000 unit sewa beli (RTO) bagi mengatasi isu pembiayaan

                   pinjaman; dan

Sasaran 3: 3,000 keluarga mendapat faedah pembaharuan semula bandar.

Khusus bagi sasaran ketiga, terdapat lima (5) projek perintis pembaharuan semula bandar di negeri Pulau Pinang iaitu dua (2) di Daerah Timur Laut (DTL), satu (1) di Daerah Barat Daya (DBD), satu (1) di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan satu (1) di Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Pada mulanya kita mensasarkan hanya seramai 3,000 keluarga akan memperolehi faedah daripada pembaharuan semula bandar, tetapi setelah menelitinya kembali, dianggarkan seramai 6,020 keluarga akan terlibat dalam proses ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Hari ini kita berada di salah satu (1) daripada lima (5) tapak projek Pembaharuan Semula Bandar iaitu di  Mahsuri, Bayan Baru yang akan menjadi projek perintis kepada pelaksanaan berkonsepkan housing redevelopment yang pertama seumpamanya di negeri Pulau Pinang yang akan memberi faedah kepada 300 pemilik asal dan sekitar 1,480 unit kediaman baharu di tapak ini.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Jagdeep selaku Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa yang sangat aktif dan sentiasa ke hadapan, bersama dengan pasukan LPNPP yang telah bekerja keras dalam merealisasikan misi dan visi perumahan negeri ini.

Pelaksanaan URC Mahsuri ini adalah sebahagian daripada kelulusan Kerajaan Negeri berkaitan Rancangan Pelan Induk 2021 – 2025 Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai RMMPg yang setakat ini mengandungi 14 buah projek di mana sembilan (9) daripadanya adalah pemajuan Rumah Mampu Milik (RMM) dan lima (5) lagi pula melibatkan Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Sebanyak 32,992 unit RMM yang terdiri daripada 3,432 unit RMM A, 9,043 RMM B dan 20,517 unit RMM C dianggarkan dapat dibekalkan.

Kita sedar semasa proses penyediaan dan pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM), ia bukan hanya dilihat kepada angka semata-mata, tetapi perlu menitikberatkan aspek kualiti dan persekitaran yang berdaya huni dan mampan.

Dan saya gembira hasrat ini mampu direalisasikan oleh YB Jagdeep dan LPNPP di mana saya dimaklumkan bahawa setiap pemajuan rumah mampu milik LPNPP bersama rakan pemaju telah disyaratkan untuk memperolehi skor QLassic dan Green Building Index (GBI) sebagai langkah untuk menjamin kualiti pembinaan dan workmanship yang dibekalkan serta memelihara alam sekitar.

Saudara Jagdeep juga dalam beberapa siri majlis penyampaian kunci Perumahan Mampu Milik telah menunjukkan kepada saya, fasiliti dan kemudahan di skim RMM di Negeri Pulau Pinang adalah lengkap, pelbagai dan setanding dengan taraf kondominium.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Projek Pembaharuan Semula Bandar Mahsuri 5 Point Blok ini adalah projek atau produk pertama Projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Pulau Pinang yang melibatkan pembangunan berstrata atau milikan individu.

Berdasarkan landskap perumahan sekitar Bayan Baru dan Mahsuri juga, terdapat banyak lagi skim perumahan kos rendah berstrata (walkup flat) yang berpotensi untuk fasa seterusnya.

Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memperluaskan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ini di mana kita telah meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB) pada Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bilangan 9 Tahun 2022 bertarikh 20 September 2022.

Justeru, LPNPP perlu terus mengkaji potensi dan keperluan membaharui bandar khususnya di kawasan urban bagi mengoptimumkan penggunaan tanah termasuk jalinan kerjasama bersama lain-lain agensi.  

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Seperti yang dinyatakan oleh YB Jagdeep sebentar tadi, pembaharuan semula bandar bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan pula terdapat kekangan kepada akta-akta sedia ada.

Sebagai contoh proses penamatan skim strata yang memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik petak untuk pelaksanaan projek PSB ini sepertimana termaktub dalam Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318].

Saya berharap dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat membantu untuk melihat keperluan pengwujudan akta berkaitan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau pindaan kepada akta-akta sedia ada supaya dapat memudahkan kelancaran Projek Pembaharuan Semula Bandar ini bukan sahaja untuk Pulau Pinang tetapi untuk keseluruhan Malaysia.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Jagdeep, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Pejabat YB Parlimen Bayan Baru, Pejabat YB ADUN Pantai Jerejak, Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Barat Daya (PDTDBD), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),  Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Pulau Pinang (PTG), Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG) dan lain-lain jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan projek-projek yang dirancang.  

Tidak dilupakan kepada penduduk serta pengurusan Perbadanan Pengurusan (MC), Mahsuri 5 Point Block atas kerjasama baik yang diberikan, termasuk komitmen persetujuan melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa atau Extraordinary General Meeting (EGM) yang telah diadakan pada tahun 2022 yang lepas bagi memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada LPNPP sebagai agensi pelaksana projek PSB Mahsuri ini.

Kerajaan Negeri dan warga Pulau Pinang menanam harapan yang besar untuk melihat projek pembangunan dan pembaharuan semula bandar ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang agar penempatan dengan pesekitaran yang lebih sempurna dan selesa, kemudahan sosial serta infrastruktur yang lebih selesa dapat dinikmati penduduk.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacita merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) Mahsuri, Bayan Baru.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang