MAJLIS MAKAN AMAL & PERASMIAN DEWAN TERTUTUP SMK WESTLANDS

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS MAKAN AMAL & PERASMIAN DEWAN TERTUTUP SMK WESTLANDS

 

24 JUN 2023

SMK WESTLANDS

Yang Berbahagia Tuan Mohamad Zawawi bin Ahmad

Wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Pn Nor Hanita Binti Mohd Hanapiah

Pengetua SMK Westlands

Yang Dihormati Tuan Hj Ahmad Bin Ibramsa,

Yang Dipertua PIBG SMK Westlands

Bekas-bekas pelajar, para tetamu  dan penyumbang serta warga SMK Westlands

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Westlands atas jemputan sempena Majlis Makan Amal & Perasmian Dewan Tertutup SMK Westlands yang telah diatur pada pagi yang berbahagia ini.

Sesungguhnya saya amat berbesar hati untuk turut serta bersama dengan para guru dan kakitangan, jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), para pelajar serta alumni SMK Westlands bagi sama-sama menyaksikan satu lagi detik bersejarah yang bakal menjadi mercu kebanggaan warga sekolah ini khususnya.

Meskipun hanya diadakan secara ringkas, tetapi saya pasti majlis ini memberikan makna yang cukup besar sebagai simbolik kepada penyatuan dan kerjasama erat antara warga sekolah dan pihak PIBG dalam merealisasikan dewan ini.  

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan pelajar, inilah salah satu bentuk kerjasama yang harus diberikan contoh dan pujian. Hari ini, permuafakatan antara pihak sekolah, PIBG dan alumni telah menjadi kunci kejayaan yang mampu mentransformasikan landskap dan persekitaran sekolah ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam usaha mengumpul dana sehingga membolehkan sebuah dewan tertutup dengan kos sebanyak RM450,000.00 berjaya disiapkan dengan jayanya.

Diharapkan dengan terbinanya dewan serbaguna ini, dapat merancakkan lagi agenda pemerkasaan dan pembangunan sahsiah pelajar melalui penganjuran pelbagai program dan aktiviti yang memberikan manfaat dan impak maksimum kepada semua.

Saya dimaklumkan bahawa usaha mengumpul dan mengutip dana masih giat diteruskan bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan pendingin hawa dan keperluan-keperluan lain dapat dilaksanakan.

Di kesempatan ini, saya menyeru kepada pihak-pihak berkepentingan baik daripada syarikat swasta dan badan korporat,  badan bukan kerajaan (NGO) dan individu dapat terus memberikan sokongan terhadap inisiatif ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Meskipun sektor pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun di pihak Kerajaan Negeri, kita komited dalam memastikan para pelajar di negeri ini menerima pendidikan berkualiti dalam suasana yang kondusif, terutama dalam mendepani dunia tanpa sempadan yang cukup mencabar pada masa kini.

Menyedari hakikat ini, kerjasama dan gandingan mantap antara semua pihak adalah sangat dituntut sekaligus merealisasikan hasrat kita untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti  dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada warga sekolah SMK Westlands, PIBG, alumni dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Melangkah ke-66 tahun penubuhan sekolah ini, semoga SMK Westlands terus gah menjadi pusat kecemerlangan akademi, sekaligus melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang pada 60 tahun akan datang dan seterusnya, sebagaimana moto sekolah ‘School for Gentlemen’.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Dewan SMK Westlands, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang