MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN HARI BULETIN 2.0

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN

HARI BULETIN 2.0

 

25 JUN 2023, AHAD | 1.30 PETANG |

KOMPLEKS SUKAN BALIK PULAU

__________________________________

Selamat petang, Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Syukur, kerana pada hari yang indah dan permai ini, kita  berkesempatan untuk bersama-sama berkumpul serta meraikan Hari Buletin 2.0 dalam suasana yang harmoni, ceria dan penuh bersemangat.

Pada hari ini jua, cukup istimewa buat kita semua untuk berada di Kompleks Sukan Balik Pulau melihat anak-anak kita bergaul mesra, gelak ketawa keluarga serta rakan-rakan kita yang begitu harmoni, hidup penuh kesepakatan. Syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri kerana telah berjaya merealisasikan penganjuran Hari Buletin buat kali kedua pada tahun ini.

Pemilihan lokasi penganjuran hari ini di Balik Pulau pastinya mengupas kembali memori ketika saya menetap di sini iaitu di daerah yang penuh keunikan dengan kepelbagaian demografi penduduk serta keindahan alam semulajadi yang tiada tandingannya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Penganjuran Hari Buletin 2.0 yang diadakan hari ini mempunyai coretan sejarahnya tersendiri yang mungkin ada antara kita yang tidak tahu mengenainya.

Penganjuran kali kedua ini adalah susulan kesinambungan kejayaan penganjuran kali pertama pada 18 Mac lalu di Taman Tangling, Bukit Tambun iaitu di bawah parlimen saya -Parlimen Batu Kawan. Selain meramahi komuniti setempat, Buletin Mutiara yang merupakan media rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin ‘give back’ kepada pembaca serta pengikut setia laman media sosial kami menerusi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan khas untuk seisi keluarga.

Adalah menjadi harapan kami bahawa dengan sokongan berterusan daripada anda semua di sini, penganjuran Hari Buletin akan menjelajah ke seluruh Pulau Pinang sebagai salah sebuah platform interaksi seisi keluarga, dan pada masa sama bagi mengeratkan lagi hubungan rakyat serta Kerajaan Negeri dalam merealisasikan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara sebagaimana diuar-uarkan sejak lima tahun lalu

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian,

Menyorot kembali sejarah penerbitan pada tahun 2010, Buletin Mutiara berperanan untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar-dasar kerajaan. Sesuai dengan peredaran masa, Buletin Mutiara kini bukan sahaja boleh didapati dalam bentuk akhbar tetapi juga secara dalam talian bagi membolehkan capaian yang lebih meluas.

Menerusi peredaran masa dan perkembangan teknologi, kita sering kali terdengar mengenai fakta-fakta berita yang disensasikan tanpa dibuktikan kesahihannya. Malah, ada juga yang begitu fanatik dengan laman-laman sosial yang menyiarkan liputan-liputan sebegitu rupa. Selain menimbulkan salah faham, kandungan-kandungan yang kadang kala menyentuh isu perkauman secara tidak langsung mampu menyebabkan perbalahan serta perpecahan keharmonian sesebuah negeri dan juga negara.

Justeru, pilihlah, tapis dan teliti apa yang ingin kita baca. Juga kepada anak-anak kita, jangan sesekali membiarkan mereka terpedaya dan ‘ketagih’ dengan bahan-bahan bacaan negatif serta laman-laman sosial yang mampu menyebabkan pembentukan sahsiah diri yang tidak elok.

Menyentuh mengenai isu ini, adalah menjadi etika serta pegangan Buletin Mutiara untuk hanya melaporkan berita-berita benar tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Dengan ini, penerbitan ini kini terus gah menjadi akhbar pilihan yang diterbit siar oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan secara tidak langsung penganjuran Hari Buletin ini adalah manifestasi penerimaan rakyat Pulau Pinang terhadap sidang redaksi ini.

Berlandaskan kepercayaan yang diberikan, pastinya kami ingin meneroka demi memantapkan lagi peranan sedia ada dengan mendekati pembaca-pembaca kami dan seterusnya membawa kisah setiap daripada anda untuk dikongsi bersama. Dengan ini, saya amat mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak sama ada kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta untuk bersama-sama Buletin Mutiara memperjuangkan laporan serta sebaran berita yang sahih!

Hadirin yang saya muliakan,

Saya tidak bercadang untuk bercakap lebih lama kerana difahamkan bahawa para peserta acara-acara menarik seperti pertandingan menyanyi, mewarna, melukis, pakaian beragam, grafiti dan acara sukaneka keluarga yang diadakan sejak pagi tadi berdebar-bedar menunggu keputusan pemenang masing-masing.


Menerusi penganjuran pada hari ini, kita berjaya mengumpulkan kira-kira 350 peserta dari seluruh negeri Pulau Pinang. Tahniah kepada anda semua! Malah, sekalung penghargaan juga kepada pasukan-pasukan keselamatan, perkhidmatan, sektor perniagaan yang turut mengambil bahagian. Jangan lupa selepas ini, nikmatilah keenakan ‘Raja Buah’ yang amat sinonim dengan Balik Pulau ini.

Dengan ini, saya dengan sukacita merasmikan Majlis Penutup Hari Buletin 2.0 Tahun 2023. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang