MAJLIS PERASMIAN TAMAN RIMBA BANDAR WOODHAVEN
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
TAMAN RIMBA BANDAR WOODHAVEN
26 JUN 2023
JALAN BETEK, BUKIT MERTAJAM
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor
Yang Berhormat Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Merangkap Ahli Lembaga Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang
Yang Berhormat Puan Chong Eng
EXCO Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam
Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan
Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong
Timbalan Menteri Kewangan II Merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen
Yang Berbahagia Puan Rashidah binti Jalaludin
Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang
Yang Berbahagia Ketua-Ketua Jabatan
Ahli-Ahli Majlis, JPWK, JBPP dan MPKK Kawasan
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian
Salam Sejahtera, Salam LovePENANG dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang yang telah mengaturkan Majlis Perasmian Taman Rimba Bandar WoodHAVEN, Jalan Betek pada malam yang penuh bersejarah ini.
Sebelum meneruskan ucapan, sekalung penghagaan dan ucapan terima kasih juga kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta para jemputan atas kesudian melapangkan masa untuk memeriahkan acara ini.
Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan para hadirin yang dikasihi sekalian,
Sebagaimana sebelum sedia maklum, projek pembangunan Taman Rimba Bandar WoodHAVEN ini merupakan satu daripada 68 janji manifesto yang telah kita janjikan kepada rakyat Pulau Pinang pada tahun 2018.
Dan pada malam ini, saya gembira apabila projek penghijauan tanah lapang ini telah dapat dilaksanakan dengan baik sekali, dan bersedia untuk menjadikannya sebagai satu lagi tarikan baharu khususnya di kawasan Seberang Perai.
Tahniah dan syabas kepada Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang serta semua yang terlibat atas komitmen dan dedikasi dalam merealisasikan agenda pembangunan Kerajaan Negeri ini.
Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan para hadirin yang dikasihi sekalian,
Dengan gabungan konsep Taman Bandaraya dan Taman Botani Pulau Pinang, Taman Rimba Bandar WoodHAVEN yang bercirikan taman bercahaya ini merupakan ‘night park’ kedua telah dibina oleh Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang, selepas Taman Areca di KADUN Sungai Pinang.
Di atas tanah berkeluasan 6.5 ekar dengan kos pembinaan sebanyak RM2,471,015.87, pelbagai elemen telah diterapkan bagi mencipta suasana sebuah rimba bandar yang unggul untuk disesuaikan dengan aktiviti riadah dan rekreasi seisi keluarga, selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Dengan semangat LovePENANG juga, kita telah memperkenalkan satu lagi komponen penting dalam pembangunan projek ini iaitu Laman Keluarga atau “Family Lawn” yang pertama di taman rekreasi yang direka khusus bagi memberikan suatu pengalaman baharu kepada rakyat di mana ia menjadi antara komponen wajib yang telah kita syaratkan bagi pembangunan semua tanah lapang di Pulau Pinang.
Inilah antara komitmen Kerajaan Negeri dalam menitikberatkan usaha-usaha penghijauan dan mentransformasikan tempat-tempat awam sebegini, agar rakyat khususnya dapat menikmati dan memanfaatkan penggunaan infrastruktur yang lebih baik untuk aktiviti riadah dan rekreasi.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang dan semua rakan kerjasama yang telah menjayakan majlis pada malam yang berbahagia ini.
Kita berharap pembangunan Taman Rimba Bandar WoodHAVEN ini akan menjadi penanda aras dan pemangkin kepada kemajuan projek-projek pembangunan kawasan lapang yang lebih dinamik demi mencapai status Taman Dalam Bandar pada masa hadapan.
Sekian, terima kasih.