PEMBUBARAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PEMBUBARAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG
27 JUN 2023, SELASA | 2.30 PETANG
AUDITORIUM A, KOMTAR
__________________________________
YB Dato’ Law Choo Kiang
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang
YB Prof. Dr. P. Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang
YB Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Barisan Exco Kerajaan Negeri
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri; barisan Ahli Parlimen; YB-YB Senator
Ketua-Ketua Jabatan; Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Syukur, kerana pada petang ini kita dapat berkumpul bersama-sama menyaksikan sebuah lagi catatan sejarah penting bagi negeri Pulau Pinang. Pada hari ini juga, kita bakal mengembalikan amanat serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat lima tahun lalu.
Apa yang pasti, kita telah membuktikan bahawa kita tidak pernah mensia-siakan kepercayaan tersebut. Kita telah membuktikan bahawa kita telah dan senantiasa memikul amanat yang diberikan, memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan yang sentiasa menjadi pegangan, dan pastinya kita membangun bersama-sama dalam percambahan sosial ekonomi negeri Pulau Pinang yang dicintai ini.
Barisan Ahli Yang Berhormat yang dihormati sekalian,
Mengimbas kembali liku-liku yang kita lalui bersama sejak tahun 2018, banyak memori yang terukir. Yang indah dijadikan kenangan, yang pahit dijadikan pengajaran serta pengalaman bermakna untuk kita memperbaiki dan membawa kita ke tahap yang lebih baik.
Menyorot kembali tanggal 29 Ogos 2018, Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara digagaskan sebagai satu wawasan pembangunan yang terdiri daripada empat (4) tema utama yang melibatkan semua rakyat Pulau Pinang.
Sebagaimana yang saya kongsikan pada 9 Jun lalu, pencapaian Visi Penang2030, setelah lima (5) tahun kita bertungkus-lumus dan berganding bahu menjayakannya. Hasil titik peluh dan komitmen bersama ini membawa kita ke arah pencapaian sebanyak 47 peratus daripada jumlah keseluruhan inisiatif strategik Visi Penang2030 yang mana sebanyak 210 projek dan program telah dijalankan atau dalam pelaksanaan. Syabas diucapkan kepada semua!
Merenung kembali, dalam tempoh lima (5) tahun ini juga, kita telah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19 yang menuntut perhatian penuh dalam menangani keperluan kritikal penduduk melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agesi Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan dalam menyebar luas maklumat yang tepat berhubung pengurusan pandemik di negeri ini.
Secara peribadi, saya merasakan ia diibaratkan sebagai suatu cabaran getir buat seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lancar. Susulan itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) yang bertindak untuk mengenal pasti masalah serta cabaran yang dihadapi baik dari segi pelancongan, ekonomi, infrastruktur, digitalisasi dan juga pekerjaan. Syukur, kerana kita mampu bangkit semula dan proses pemulihan pasca pandemik juga berjaya memulihkan pelbagai sektor terjejas yang kini telah meletakkan kembali Pulau Pinang di persada dunia.
Malah, sebagai tindak balas kepada fasa pemulihan pandemik COVID-19 juga, kita telah melancarkan kempen LovePENANG pada bulan Jun 2022 yang mana ia telah menyemarakkan lagi semangat seluruh rakyat jelata di negeri ini untuk terus utuh sebagai sebuah pasukan yang teguh, harmoni dan sayangkan perpaduan. Slogan tersebut akan kita terus semarakkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini kelak.
Hadirin sekalian,
Hari ini, berdirinya saya di sini juga adalah untuk berkongsi pencapaian terkini Manifesto yang kita telah janjikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2018.
Pada Mei 2022, saya mengumumkan bahawa tahap pencapaian Manifesto 2018 adalah berjumlah 90 peratus dengan 52 manifesto ditepati dan tahap pelaksanaan (14). Kini, sehingga Jun 2023, sebanyak 61 manifesto telah ditepati dan mencatatkan pencapaian berjumlah 92.4 peratus. Tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat sekalian!
Antara tunjang pencapaian utama yang menyumbang kepada pertambahan peratusan berkaitan adalah pada aspek infrastruktur yang mana Pakej 1- North Coastal Paired Road (Jalan Berkembar dari Tanjung Bunga ke Teluk Bahang) akan diteruskan sebagai penyuraian kesesakan lalu lintas sedia ada kini. Malah, Pakej 2 – Jalan Pintasan (by-pass) dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam pula dijangka siap pada 2025 manakala bagi Penang Third Link Project, kajian kebolehlaksanaannya (feasibility) telah siap pada April 2023 dan bakal menumpukan kepada fasa pelaksanaan.
Bagi projek transit aliran ringan (LRT) yang sekian lama kita nanti-nantikan, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membiayai 100 peratus pembinaannya, malah jajaran jaringan aliran berkaitan turut diperluaskan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sehingga Tanjung Bunga.
Dalam memperbanyakkan lagi penyediaan pusat rekreasi kepada rakyat negeri ini, ikon terbaru di sepanjang persiaran Gurney, Gurney Bay sedang giat dibangunkan. Fasa satu Gurney Bay iaitu sebuah taman persisiran awam dengan ruang hijau terbuka dijangka siap pada pertengahan tahun 2023.
Tidak terkecuali adalah usaha dalam memodenkan pengurusan sisa pepejal menerusi Kajian Roadmap Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Pulau Pinang 2050 yang bakal mengenal pasti, mengkaji, meneroka teknologi kaedah rawatan, meneliti perancangan serta operasi dan seterusnya menyediakan sebuah pelan pengurusan menyeluruh serta holistik secara berkesan. Disentralisasi kuasa kepada Kerajaan Negeri yang sekian lama kita perjuangkan juga telah memperlihatkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan pada 24 November 2022.
Di sini, berani saya katakan bahawa tiada sebuah pun lain-lain Kerajaan Negeri yang menjalankan pemantauan sebagaimana kita di Pulau Pinang. Seperti yang kita janjikan terhadap amanat yang diamanahkan, kita tidak sesekali akan mensia-siakan setiap undi yang diberikan kepada kita.
Barisan Ahli Yang Berhormat sekalian,
Kita bakal berhadapan dengan lima (5) cabaran utama menjelang tahun 2030 iaitu sumber air, tanah pembangunan, bakat, perubahan iklim dan juga ekonomi.
Justeru, sekiranya diberi mandat dan peluang untuk memerintah Pulau Pinang dalam tempoh lima (5) tahun akan datang, sekali lagi saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada:
(i) Penjanaan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E), Integrated Circuit (IC) Design, teknologi perubatan, Digital District dan ekonomi baru;
(ii) Penang Strategy for Economic Ecosystem Development atau ‘Penang SEED’ bakal menjadi garis panduan dalam perancangan pembangunan ekonomi dalam tempoh lima (5) tahun yang mensasarkan pencapaian dinamik, kesaksamaan, prospek kerjaya berkualiti dan pengekalan kesejahteraan selaras dengan gagasan Visi Penang2030. Menerusi ‘Penang SEED’ juga, jangkaan pertumbuhan trajektori semasa sebanyak 3.5 peratus bakal dikekalkan pada setiap tahun dari tempoh 2023 hingga 2028. Malah, garis panduan berkaitan turut menjangkakan pencapaian pertumbuhan tahunan sehinga 5.8 peratus dengan menarik lebih RM10 bilion pelaburan pembuatan diluluskan dan pasaran pekerjaan dianggarkan berkembang sebanyak 1.4 peratus pada tempoh sama;
(iii) Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mana projek keutamaan adalah projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dan serta merealisasikan projek ‘Silicon Island’, Penang South Island (PSI);
(iv) Menambah baik aliran trafik serta penyelesaian mobiliti pengangkutan awam dan menuntut peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan lebuhraya bertingkat atau Juru - Sungai Dua Expressway;
(v) Mengatasi isu perubahan iklim dengan projek-projek tebatan banjir, bandar rendah karbon dan kemudahan kenderaan elektrik (EV);
(vi) Melaksanakan Pelan Kontigensi Air 2030 bagi memastikan krisis air tidak berulang di Pulau Pinang; dan ketujuh
(vii) Memperkasakan rakyat dan memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, belia, wanita dan warga emas.
Hadirin sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan saya, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas segala komitmen, sokongan dan juga kepercayaan barisan Ahli Yang Berhormat yang diberikan kepada saya untuk mentadbir negeri Pulau Pinang sepanjang tempoh lima (5) tahun ini.
Siapa kata kita tidak melakar sebarang pencapaian? Siapa kritik yang kita ini perlahan atau ‘slow’. Adakah Yang Berhormat semua bersetuju dengan dakwaan ini?! Jikalah benar semua kritikan dan dakwaan tersebut, maka tidaklah Pulau Pinang mampu memegang gelaran sebagai antara ‘jaguh pelaburan negara’ dengan jumlah pelaburan RM200 bilion dalam tempoh 15 tahun sejak tahun 2008. Daripada jumlah tersebut, bagi Pulau Pinang, jumlah pelaburan diluluskan bagi tahun 2019 hingga 2022 merupakan yang tertinggi iaitu berjumlah RM120.9 bilion.
Pada tahun 2022, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama negara dengan sumbangan 30.8 peratus, malah turut berjaya mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sebanyak RM72.4 bilion pada September 2022, daripada jumlah dagangan Malaysia yang berjumlah RM256.9 bilion.
Terbaru, saya ingin kongsikan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tengah hari tadi yang mengumumkan bahawa ekonomi Pulau Pinang NOMBOR SATU di Malaysia iaitu bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM112.1 bilion pada harga malar (tahun 2021: RM99.0 bilion). Menurut laporan tersebut, sebanyak empat (4) negeri telah bertumbuh melebihi pertumbuhan nasional iaitu Pulau Pinang (13.1 peratus), Selangor (11.9 peratus), Pahang (10.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.2 peratus). Syabas kepada semua!
Dengan suntikan kejayaan-kejayaan tersebut, terbukti bahawa kita telah bersama-sama membawa Pulau Pinang untuk kekal masyhur dan gemilang di mata dunia. Apa yang pasti, kita akan terus lakukannya bersama sekali lagi, buktikan bahawa kita boleh dan sentiasa teguh bersama!
Anak muda merantau membawa harapan,
Pesan bapa sentiasa terpahat tanpa terbilang.
Gagasan Visi Penang2030 sebagai pedoman,
Membawa amanat rakyat Pulau Pinang terus gemilang.
Negeri indah diberi nama Pulau Pinang,
Pengalaman berharga terpahat dalam sanubari.
Jasa barisan YB sentiasa dikenang,
Teguh bersama kita buktikan lagi!
Sekian, terima kasih.