MAJLIS PECAH TANAH PANGSAPURI KAMPUNG BARU, SIMPANG AMPAT  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH

PANGSAPURI KAMPUNG BARU, SIMPANG AMPAT

 

9 JULAI 2023

MASJID JAMEK AL-IHSANIAH

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Caretaker Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Caretaker Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

 

Saudara Goh Choon Aik

Mantan ADUN Bukit Tambun

 

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Yang Berusaha Encik Mohamad Saaddudin bin Khalid

Penghulu Kawasan Bukit Tambun, Pejabat Daerah dan Tanah, Seberang Perai Selatan (wakil Pegawai Daerah SPS)

 

Yang Berbahagia Datuk Seri Kenneth H’ng Bak Tee

Ketua Pegawai Eksekutif/ Pengarah Urusan Kumpulan, GUH Holdings Berhad

 

Encik Lewis H’ng Chun Li

Ketua Pegawai Operasi GUH Holdings Berhad

 

Puan Siti Jamilah binti Awang

Naib Presiden, Bahagian Harta (wakil Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn Bhd)

 

Yang Berusaha Ustaz Haji Mohd Sofkhi bin Haji Ibrahim

Pengerusi Masjid Jamek Al-Ihsaniah, Simpang Ampat

 

Yang Berusaha Encik Shahidi bin Sheriff

Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Ah-Ihsaniah

 

Para Jemputan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pemaju, syarikat GUH Development Sdn. Bhd. yang telah mengaturkan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Kampung Baru, Simpang Ampat pada petang yang berbahagia ini.

Di atas tanah dengan keluasan 2.3 ekar, hari ini kita bakal menyaksikan satu lagi projek perumahan kos rendah atau dikenali sebagai RMM A bakal direalisasikan di negeri ini, khususnya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun dan Parlimen Batu Kawan.

Ini menjadikan sebanyak 34 skim Rumah Mampu Milik (RMM) di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) khususnya dan 339 skim RMM keseluruhanya dibekalkan di Pulau Pinang, sejak tahun 2008.

Untuk makluman hadirin sekalian, saya dimaklumkan bahawa pencapaian semasa pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM) dalam pelbagai peringkat pembangunan telah mencapai sebanyak 151,055 unit RMM iaitu 68.66 peratus daripada sasaran di bawah Visi Penang2030.

Dan dengan simbolik acara pecah tanah ini, ia sekaligus mengukuhkan statistik dan angka pembekalan 220,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) yang disasarkan oleh Saudara Jagdeep dan pasukan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) menjelang tahun 2030.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sepertimana yang dimaklumkan, satu (1) blok rumah pangsa setinggi 20 tingkat yang terdiri daripada 208 unit Rumah Mampu Milik Jenis A (RMM A) akan dibangunkan di atas tanah lapang bersebelahan Masjid Jamek Al-Ihsaniah, Simpang Ampat ini sebagai keperluan kuota penyediaan rumah kos rendah bagi tujuan penempatan penghuni-penghuni Kampung Baru.

Sebanyak 140 keluarga asal dari Kampung Baru, Simpang Ampat telah menandatangani perjanjian dengan pihak pemaju untuk menerima seunit rumah pangsa kos rendah 900 kaki persegi sebagai saguhati, manakala 22 “extended family” turut ditawarkan seunit rumah pangsa kos rendah 750 kaki persegi dengan harga kawalan negeri.

Dengan penawaran unit-unit rumah pangsa kos rendah ini, diharapkan ia dapat menyuraikan masalah-masalah berbangkit yang wujud, di samping memberikan kegembiraan kepada para penghuni untuk memiliki kediaman yang lebih selesa untuk dihuni.

Hadirin yang dikasihi sekalian, 

Saya difahamkan bahawa pemaju telah mendapat kelulusan pelan kerja tanah dan telah mengemukakan notis permohonan memulakan kerja tanah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mempercepatkan proses meluluskan permohonan mula kerja tanah agar kerja-kerja tanah dapat dimulakan sebaik sahaja kebenaran memulakan kerja diperolehi.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada pemaju tetuan GUH Developlement Sdn. Bhd. atas komitmen dalam menyokong serta merealisasikan isu penempatan penghuni-penghuni Kampung Baru, Simpang Ampat ini.

Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Kerajaan Negeri komited untuk memacu dan membangunkan agenda perumahan negeri dengan mampan bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Kampung Baru, Simpang Ampat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang