STEM SHOWCASE 2023
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN CHOW KON YEOW
PADA PENGANJURAN
STEM SHOWCASE 2023
SEMPENA MINGGU SAINS NEGARA
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
25 OGOS 2023 (JUMAAT) | 9.00 PAGI
SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN HAN CHIANG
JALAN HAN CHIANG, PULAU PINANG
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani,
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah bekerjasama dalam merealisasikan penganjuran STEM Showcase 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang Sempena Minggu Sains Negara. Malah, mengambil kesempatan ini juga, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang ke majlis ini.
Lazimnya, saya amat berbesar hati kerana berpeluang bersama-sama Yang Berhormat dan anda semua di karnival yang mencerminkan inisiatif jalinan kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan terutamanya dalam memupuk pembudayaan ilmu sains, teknologi dan inovasi (STI) secara bersepadu selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030.
Sebagaimana semua sedia maklum, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang merupakan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Tahun 2022, pertumbuhan Pulau Pinang direkodkan melebihi pertumbuhan nasional dan telah mengatasi kesemua negeri. Ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK sebanyak RM112.1 bilion.
Sektor pembuatan merupakan industri tertinggi yang menyumbang kepada ekonomi Pulau Pinang dengan kadar sebanyak 48.3 peratus. Angka tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa sektor berkaitan adalah sangat penting kepada negeri Pulau Pinang dan perlunya satu inisiatif dalam mewujudkan ekosistem yang menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan tersebut. Pulau Pinang dilengkapi dengan jaringan ekosistem yang baik seperti kos operasi yang berdaya saing serta kemudahan menjalankan perniagaan daripada segi ketersediaan infrastruktur dan taman-taman perindustrian bertaraf antarabangsa. Namun begitu, kekurangan bakat dalam bidang kejuruteraan dan teknikal kini semakin meningkat dan telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja kepada pemain industri malah juga kepada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya.
Justeru, sebagai usaha dalam menangani dilema tersebut, Kerajaan Negeri melalui insititusi-institusi berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik atau STEM iaitu Tech Dome Penang, Penang STEM, Penang Math Platform, Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Penang Digital Library telah mempergiatkan usaha dalam menyediakan peluang pembelajaran teknikal serta akademik dalam bidang bidang berkenaan untuk para pelajar mahupun dewasa di negeri ini.
Serentak itu, turut ditekankan di dalam Tema 7 Manifesto 2023, Kerajaan Negeri akan terus memastikan percambahan modal insan di negeri ini dengan:-
> Memperuntukkan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030;
> Penyaluran bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS);
> Tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40; dan juga
> Sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke IPTA.
Yang Berhormat dan hadirin sekalian,
Menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pihak sekolah dan guru, pendekatan dikenali sebagai ‘Penang STEM ecosystem’ juga telah ditubuhkan pada tahun 2017 untuk menawarkan pembelajaran STEM secara langsung di luar kokurikulum bagi melengkapkan pembelajaran secara teori di sekolah.
Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2023, seramai 45,464 pelajar dari sekolah rendah dan menengah telah menyertai program, bengkel dan aktiviti yang dianjurkan oleh pusat-pusat STEM tersenarai. Selain itu, Kerajaan Negeri juga komited dalam menangani isu kekurangan bakat apabila menetapkan sasaran untuk melatih sekurang-kurangnya 20,000 peserta dalam bidang STEM atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional iaitu TVET sebagaimana disasarkan di dalam gagasan Visi Penang2030 bagi memenuhi keperluan pihak industri dan seterusnya memacu pertumbuhan negeri ini secara menyeluruh.
Antaranya, program-program yang dilaksanakan iaitu Program Tech Start, Penang Digital Literacy Camp, Girls in Engineering dan German Dual Vocational Training adalah berstruktur dan berimpak tinggi untuk melahirkan bakat-bakat berkemahiran tinggi. Program-program dalaman serta jangkauan luar yang ditawarkan oleh pusat-pusat STEM berkaitan adalah merangkumi spektrum yang luas dan melibatkan penyertaan pelajar dari bandar dan juga luar bandar. Program-program tersebut dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama pemain industri yang bukan sahaja memberikan sokongan kewangan tetapi juga kepakaran teknikal untuk membantu para pelajar kita.
Saudara dan saudari sekalian,
Dalam menempuh pembangunan digital kini, kita diperkenalkan pula dengan industri ‘Kepintaran Buatan’ atau AI. Persoalan dan ketidakpastian yang timbul sama ada teknologi tersebut bakal menggantikan kemahiran manusia masih terlalu awal untuk diungkai. Maka, adalah penting bagi para pelajar untuk memilih laluan akademik yang betul khususnya bidang kejuruteraan, sains komputer dan lain-lain berkaitan yang merupakan antara sektor pekerjaan memerlukan tenaga kerja mahir dan terus memperoleh tempat di pasaran kerja.
Melalui inisiatif serta pendekatan yang telah diusahakan sejak tiga penggal lalu dalam melahirkan modal insan berkualiti selaras dengan pembangunan ekonomi Pulau Pinang, Kerajaan Negeri berharap segala usaha dapat memberi inspirasi dan seterusnya menggalakkan para pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya menceburi kerjaya dalam bidang STEM.
Bak kata pepatah, “Apa yang kita semai, itulah yang akan kita tuai” – maka adalah penting untuk kita memupuk generasi muda supaya memberi keutamaan kepada bidang sains, teknologi dan inovasi.
Yang Berhormat dan saudara saudari sekalian,
STEM Showcase 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang Sempena Minggu Sains Negara ini adalah antara usaha yang dapat menyemarakkan lagi minat dalam kalangan para pelajar terhadap bidang STEM.
Berdasarkan maklum balas positif daripada para pelajar, guru dan juga ibu bapa terhadap STEM Showcase yang diadakan pada tahun lepas serta yang diadakan di UOW Batu Kawan pada bulan Mei 2023, saya yakin bahawa karnival ini juga akan menjadi satu lagi aktiviti yang berimpak tinggi dalam tempoh dua hari ini.
Penganjuran karnival ini adalah satu contoh baik yang menunjukkan klomitmen semua pihak termasuk pihak industri, institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan profesional seperti Institution of Engineers (IEM), Technological Association Malaysia (TAM), Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) dan Institution of Engineering and Technology Malaysia (IET) dalam usaha melahirkan bakat-bakat yang holistik bagi pembangunan negeri ini dan juga negara kita. Kepakaran dan bimbingan mereka pastinya akan membantu generasi muda kita untuk menempuh laluan kerjaya STEM.
Malah, pada kesempatan ini, saya juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada syarikat-syarikat multinasional seperti Flex, Intel dan Jabil telah melangkah ke hadapan sebagai penaja utama bagi menjayakan penganjuran karnival ini bersama-sama pemain industri serta organisasi komersial lain. Terima kasih juga kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang atas sokongan yang diberikan termasuk mengambil bahagian dalam pelbagai bengkel serta aktiviti yang disediakan.
Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya pihak Tech Dome Penang, Penang Math Platform, tuan rumah lokasi karnival iaitu Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang serta pihak MOSTI dalam menjayakan penganjuran yang cukup bernilai ini. Saya amat mengharapkan agar pendekatan dan kerjasama yang ditunjukkan dalam penganjuran karnival ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.
Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan STEM Showcase 2023 Sempena Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.