PROGRAM JAULAH MERDEKA 4.0 TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA PROGRAM JAULAH MERDEKA 4.0 TAHUN 2023

 

26 OGOS 2023 (SABTU) | 8.45 PAGI

MASJID JAMEK JELUTONG

  

Selamat Pagi, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur dan pihak Masjid Jamek Jelutong serta semua peserta yang terlibat dalam penganjuran Program Jaulah Merdeka 4.0 yang diadakan pada hari ini. Program yang diraikan pada hari yang berbahagia ini adalah bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan Negara Yang Ke-66 Tahun 2023 ini yang bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

Saya difahamkan bahawa program ini merupakan acara tahunan yang akan diadakan pada hari Sabtu minggu terakhir sebelum sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun. Tradisi ini telah bermula sejak tahun 2019 namun pada 2021, ianya tidak dapat dilaksanakan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masih segar di ingatan saya bahawa pada bulan Ogos tahun lalu, saya hadir membuat pelepasan dalam Program Jaulah Merdeka 3.0 yang telah diadakan bermula di perkarangan Masjid Albukhary, Persiaran Karpal Singh, Sungai Pinang. Meriah dan penuh patriotik sekali!

Melihatkan program ini masih berterusan, saya berasa amat gembira dan berbangga dengan sikap keterbukaan, toleransi dan patriotik daripada golongan masyarakat di negeri Pulau Pinang yang sentiasa berusaha mengeratkan hubungan perpaduan melalui program-program seperti ‘Jaulah Merdeka’ ini. Sebagai sebuah negara berkonsepkan pendekatan Malaysia Madani yang berteraskan Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, saya berharap seluruh intipati masyarakat Pulau Pinang mampu menjadi penyumbang kepada kemampanan dalam pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

Serentak itu, adalah juga penting untuk kita bersama-sama menyuntik nilai kesejahteraan dalam komuniti masyarakat, sentiasa menonjolkan kreativiti dalam sektor pembangunan dan daya cipta, menjadi komuniti yang hormat-menghormati tanpa mengira latar belakang, posisi atau kedudukan, sentiasa berkeyakinan tinggi untuk memikul tanggungjawab dengan penuh integriti serta sentiasa menyantuni dan menerapkan nilai ihsan dan rahmah kepada semua pihak terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan atau sedang ditimpa masalah atau kesusahan.

Saudara dan saudari sekalian,

Sebagai sebuah negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara ke arah merealisasikan gagasan Visi Penang2030, saya mengambil kesempatan ini menyeru supaya semua pihak perlu mengambil pelbagai inisiatif bagi bersama-sama Kerajaan Negeri melaksanakan kepelbagaian program yang telah dirangka dalam tempoh lima tahun dari 2023 hingga 2028.

Tahun ini merupakan tahun ke-66 negara tercinta ini menghirup udara merdeka. Selain daripada pembinaan karakter diri daripada nilai-nilai Madani, pembangunan sosioekonomi yang seringkali diketengahkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga harus bergerak seiring demi kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia.

Kita telah membuktikan kejayaan menarik lebih daripada RM200 bilion pelaburan pembuatan diluluskan. Dalam pada itu, bagi terus memperkasakan pembangunan modal insan di Pulau Pinang, sekolah-sekolah di negeri ini memperoleh suntikan peruntukan tahunan melebihi RM146 juta. Berpegang kepada prinsip sebagai sebuah negeri cakna kebajikan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperuntukkan lebih daripada RM417 juta sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum dan juga agama. 

Sekali lagi pihak saya mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam acara Jaulah Merdeka sepanjang hari ini ke semua daerah di seluruh negeri Pulau Pinang, yang mana daerah Timur Laut pagi ini menjadi titik permulaan dan dijangka akan berakhir pada jam 4 petang di Masjid Al-Hidayah, Kuala Muda, Penaga Daerah Seberang Perai Utara.

Malah, difahamkan juga bahawa semua peserta akan sekali lagi mengambil bahagian dalam acara perbarisan bermotosikal pada Sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan pada 31 Ogos 2023 (Khamis) minggu hadapan bertempat di Batu Kawan. Syabas!

Ayuh marilah sama-sama kita terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kesetiaan dan kecintaan kita semua kepada negara Malaysia yang tercinta. Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada pihak penganjur khususnya di bawah seliaan Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I selaku Pengerusi Jawatankuasa MMK Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Adalah diharapkan agar program sedemikian dapat diteruskan lagi pada bulan Ogos tahun 2024 bagi merancakkan lagi suasana kempen kibarkan Jalur Gemilang di setiap premis masjid dan surau seluruh negeri Pulau Pinang.

Serentak itu, saya juga mohon agar semua peserta berhati-hati di jalan raya dan patuhilah arahan daripada pihak berkuasa PDRM dan lain-lain agensi yang teribat agar anda semua selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Program Jaulah Merdeka Takmir Pengimarahan Masjid: Ride To Khaira Ummah 4.0 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Salam hormat dan terima kasih semua.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang