KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KELIMA BELAS BERTARIKH 29 OGOS 2023 DI GEORGE TOWN

KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KELIMA BELAS BERTARIKH 29 OGOS 2023 DI GEORGE TOWN

_____________________________________________

PUPUK PERPADUAN, PRAKTIS POLITIK MATANG, RAKYAT TETAP DIUTAMAKAN

Berdirinya kita semua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 adalah atas mandat yang diberikan oleh setiap individu bergelar rakyat di negeri bertuah ini.

Ia adalah tidak wajar diperlekeh serta disia-siakan, sebaliknya perlu dimanfaatkan dengan inisiatif, pendekatan, usaha serta perdebatan matang yang boleh mencambahkan segala kebaikan demi pembangunan Pulau Pinang yang terus gemilang.

Walaupun berbeza ideologi, tekad untuk terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan negeri ini adalah perlu sentiasa menjadi pegangan. Kestabilan inilah yang bakal dan mampu terus membawa Pulau Pinang ke mercu kejayaan iaitu sebagaimana yang telah kita ukirkan sejak 15 tahun lalu.

Di DUN Penggal Ke-15 ini, saya menyeru dan tekankan kepada semua Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa jangan sesekali tanamkan kebencian, politik kaum dan sensitiviti agama di dalam perjuangan kita. Sebaliknya, segala perlakuan serta percakapan yang kita tunjukkan adalah perlu bertunjangkan kepada fakta dan prinsip matang yang tidak sesekali memecahkan pegangan keluhuran perlembagaan kita.

Jadikan DUN penggal ini sebagai contoh terbaik, medan untuk kita sama-sama perjuangkan segala kebaikan demi manfaat seluruh rakyat Pulau Pinang, negeri yang kita cintai ini. Sayangi Pulau Pinang, sayangi negara kita Malaysia tanah tumpahnya darah kita.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang