JAMUAN MAKAN MALAM PERDANA SUKYA KE-12 2023 PULAU PINANG DAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-33 PEYATIM
UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA
JAMUAN MAKAN MALAM PERDANA
SUKYA KE-12 2023 PULAU PINANG DAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-33 PEYATIM
PADANG KAWAD, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
30 OGOS | 8:00 MALAM
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan isteri, YABhg. Toh Puan ke majlis ini yang mana kesudian Tun dan Toh Puan telah menyerikan lagi majlis yang cukup bermakna ini.
Dalam pada itu, saya juga ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan kepada saya dan isteri untuk turut bersama-sama dalam Jamuan Makan Malam Perdana Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) pada malam ini.
Umumnya, saya amat terharu dan gembira dengan penglibatan lebih 3,000 anak-anak yatim dari seluruh negara yang dapat berada di sini. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Jamuan Makan Malam Perdana Sempena Temasya Sukan Anak-Anak Yatim Malaysia (SUKYA) Ke-12 Tahun 2023 Pulau Pinang Dan Sambutan Ulang Tahun Ke-33 PEYATIM.
Tahniah juga kepada semua rumah-rumah kebajikan anak-anak yatim seluruh negara yang mengambil bahagian dalam SUKYA ke–12 yang mana Persekutuan Kebajikan Anak Yatim Islam Negeri Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada acara gemilang yang telah berlangsung selama enam (6) hari ini.
Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,
Saya difahamkan bahawa PEYATIM telah ditubuhkan pada 19 November 1990 hasil daripada gabungan pertubuhan serta asrama anak-anak yatim di seluruh negara. PEYATIM adalah sebuah badan amal sukarela yang memberi khidmat kepada anak-anak yatim dengan menggabungkan pertubuhan serta asrama anak-anak yatim berdaftar dalam negara untuk mempertingkatkan kegiatan di pertubuhan masing-masing.
Sehingga kini, sebanyak 82 buah Pertubuhan Anak-Anak Yatim telah menjadi ahli gabungan persatuan di seluruh negara dengan kira-kira 300,000 keahlian di bawah naungan PEYATIM yang mana bilangan berkaitan adalah bertambah dari semasa ke semasa.
Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu dan bertungkus lumus menjaga kebajikan anak-anak istimewa ini. Anak-anak ini merupakan masa depan negara. Satu hari nanti, mereka akan mengambil alih tampuk pimpinan negara, oleh itu tanggungjawab dalam menjaga, mendidik dan mengasuh mereka merupakan sebuah tanggungjawab besar dan merupakan sebuah tugas yang amat mulia.
Sebagai makluman semua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran saya dan khidmat nasihat daripada Tuan Yang Terutama Tun senantiasa menjadikan pemerkasaan kebajikan sebagai pegangan utama. Cakna Kebajikan Rakyat, tema ini merupakan tunjang pertama dalam Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang selain 15 yang lain. Berpegang kepada prinsip ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperuntukkan lebih daripada RM417 juta sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum dan juga agama demi mencapai gagasan Visi Penang2030. Visi ini dicetuskan oleh saya sendiri iaitu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,
Sebagai perkongsian bersama, saya juga difahamkan bahawa sebuah kolej sedang diusahakan oleh PEYATIM yang bakal dikenali sebagai Universiti College Bestari (UCB). Di sini saya ingin mencadangkan agar pihak-pihak yang berkenaan menekankan kursus-kursus memfokuskan kepada kemahiran teknikal selaras dengan keperluan pembangunan negeri ini. Adalah penting bagi para pelajar untuk memilih laluan akademik yang sesuai dan diperlukan khususnya membabitkan bidang kejuruteraan, sains komputer dan lain-lain berkaitan yang merupakan antara sektor pekerjaan memerlukan tenaga kerja mahir dan terus memperoleh tempat di pasaran kerja.
Selain daripada penekanan pembentukan sahsiah dan akademik anak-anak istimewa ini, PEYATIM juga mempunyai dua (2) aktiviti kurikulum tambahan utama iaitu Majlis Tilawah Al-Quran dan Nasyid Peringkat Kebangsaan (MTQN) dan SUKYA yang diadakan pada peringkat kebangsaan dengan kekerapan dua (2) kali setahun.
Sekali lagi syabas saya ucapkan kepada PEYATIM kerana usaha sebegini dapat memupuk dan mencungkil bakat anak-anak kita untuk menjadi seorang individu yang berilmu, versatil dan juga berbakat.
Sebagai penutup kata, saya berharap agar lebih ramai persatuan mahupun individu dapat tampil ke hadapan berganding bahu bersama-sama Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan dalam meneruskan usaha memperkasakan anak-anak yatim serta golongan kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang agar kita dapat membentuk sebuah masyarakat MADANI.
Sekali lagi, ribuan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun atas kehadiran ke majlis ini. Terima kasih juga atas segala khidmat nasihat dan sokongan yang telah diberikan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik sehingga kini.
Dengan ini, saya merasmikan Temasya Sukan Anak-Anak Yatim Malaysia (SUKYA) Ke-12 Tahun 2023 Pulau Pinang dan Sambutan Ulang Tahun Ke-33 PEYATIM. Malah, mewakili seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-66.
Sekian terima kasih.