MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

 

DEWAN MILLENIUM, KEPALA BATAS

16 SEPTEMBER | 10.25 PAGI

 

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor

 

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri & Parlimen

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral dan Konsul- Konsul Kehormat

Ketua-ketua Jabatan; Rakan-rakan Media; Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

Selamat Pagi, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran atas kesempatan untuk berkumpul bagi bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 pada hari yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan isteri, YABhg. Toh Puan ke majlis ini, yang mana kesudian Tun dan Toh Puan telah menyerikan lagi majlis yang cukup bermakna ini. 

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Jawatankuasa Induk yang terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) dan semua jabatan atau agensi Persekutuan serta Negeri yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Hadirin yang dihormati sekalian,

Tanggal 16 September merupakan tarikh keramat bersempena pembentukan Malaysia daripada gabungan Malaya iaitu tanah di Semenanjung bersama Sabah dan Sarawak.

Tahun ini merupakan sambutan ke-60 kita meraikan Hari Malaysia walaupun pernah ditentang hebat oleh negara-negara jiran suatu ketika dahulu. Demi menyemarakkan lagi semangat patriotik dan kepelbagaian dalam negara, kita di Pulau Pinang juga tidak ketinggalan untuk meraikan hari bersejarah ini di peringkat negeri hari ini.

Saya yakin ramai antara kita yang sedia maklum akan keberangkatan Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Sabah dan Sarawak sejak 3 September lalu untuk ‘Kembara Kenali Borneo’ yang tular di media sosial. Jujur, saya amat tersentuh melihat Seri Paduka Baginda berdua sudi mencemar duli meninjau dan meramahi rakyat bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, malah juga Sabah dan Sarawak. Tambah terharu, apabila kita semua dapat melihat sambutan meriah dan menyentuh hati daripada saudara mara kita di Sabah dan Sarawak. Terbukti, rakyat Malaysia sememangnya bersatu padu di bawah lembayung Raja Berpelembagaan.

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Hadirin yang dihormati sekalian,

Lazimnya, Hari Malaysia diraikan sebagai hari kemuncak sambutan Bulan Kebangsaan yang telah dilancarkan di peringkat negeri pada 21 Julai lalu di Padang Kota Lama. Sepanjang tempoh itu, pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan antaranya Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri pada 31 Ogos lalu di Stadium Batu Kawan yang cukup meriah.

Mengambil semangat tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, selain menghargai ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan yang melanda negara, ianya juga merupakan satu iltizam negara untuk membentuk warga Malaysia yang bersatu padu, saling hormat menghormati serta meraikan kepelbagaian.

Ianya dipacu oleh Kerangka Malaysia Madani yang menjadi pemangkin kepada masyarakat yang maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan. Tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini amat bertepatan dengan negeri kita tercinta yang telah sekian lama memacu kemajuan di samping mengecapi kemakmuran serta perpaduan kaum yang kukuh di negeri ini.

Keamanan dan perpaduan yang dikecapi sekarang ini adalah hasil usaha serta kerja keras para pejuang kemerdekaan serta segenap peringkat masyarakat di negeri ini dengan tekad yang satu, iaitu memastikan kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan negeri ini sentiasa terpelihara. Maka dengan itu, syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada semua.

Bercakap soal kemajuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang teguh menyokong usaha Kerajaan Pusat untuk merancang dan melaksanakan agenda Pembangunan negara yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, wadah Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim, RM15 bilion telah ditambah dalam peruntukan RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) demi menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih serta meneraju ekonomi Islam. Siling perbelanjaan RMK12 ini telah mengambil kira jangkaan kekal dalam sasaran defisit 3.5 peratus menjelang tahun 2025 yang mana penting bagi pembangunan ekonomi negara termasuk di Pulau Pinang memandangkan ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK sebanyak RM112.1 bilion. Lazimnya, sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang tertinggi dan mencatatkan peningkatan bagi tahun 2022 iaitu 15.9 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 12.4 peratus. 

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya dimaklumkan bahawa lebih 20,000 rakyat telah membanjiri perkarangan Stadium Batu Kawan semasa sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu. Kehadiran rakyat yang sudi bangun awal malah ramai yang turut membawa keluarga serta anak-anak kecil menjadi bukti bahawa semangat untuk meraikan Hari Kebangsaan tidak pernah pudar di dalam jiwa penduduk Pulau Pinang. Hati saya tersentuh melihatkan ibu bapa yang mendukung dan meletakkan anak-anak di atas bahu untuk melihat perarakan. Percayalah, ianya akan menjadi kenangan manis kepada anak-anak yang bakal memimpin negara kita satu hari nanti.

Mengimbas kembali detik sambutan tersebut, sebanyak 92 kontinjen berjalan kaki dan 25 kontinjen berkenderaan dari pelbagai agensi di seluruh Negeri Pulau Pinang telah mengambil bahagian. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para kontinjen dan semua yang terlibat atas komitmen serta sokongan yang telah diberikan ini. Syabas dan tahniah kepada semua!

Sebentar nanti akan diumumkan para pemenang yang telah dinilai sempena acara perbarisan dan perarakan mengikut kategori yang dipertandingkan. Di sini suka untuk saya umumkan, para pemenang perbarisan bagi setiap kategori pada tahun ini akan menerima hadiah berupa wang tunai RM3,000.00 selaku juara, RM2,000.00 kepada tempat kedua dan RM1,000.00 kepada pemenang tempat ketiga.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan yang turut sudi hadir bagi memeriahkan majlis pada pagi ini.

Semoga majlis ini memberikan nilai tambah dan terus menjadi sumbu kepada kita semua untuk menyemarakkan lagi rasa cinta akan negara dan meraikan keunikan rakyat Malaysia yang penuh toleransi, muhibah serta harmoni di bumi bertuah dan tercinta ini.

Selamat menyambut Hari Malaysia kepada semua. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang