KARNIVAL BOLA SEPAK AKAR UMBI LovePENANG 2023

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW PADA KARNIVAL BOLA SEPAK AKAR UMBI LovePENANG 2023

 

30 SEPTEMBER 2023 | 10.00 PAGI

PADANG POLO

 

Terima kasih Tuan Pengacara Majlis

YBhg. Dato’ Ir Rajendran a/l P. Anthony

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang,

Yang Berusaha Encik Muhamad Azrai bin Mohamad Zaini

Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri,

Yang Berhormat Encik Lau Keng Ee,

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang.

Yang Berusaha Encik Mohd. Azizudin bin Mohd. Shariff

Presiden, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang

Barisan Ahli-ahli Jawatankuasa, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang,

Rakan-rakan media; para peserta

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi, salam sejahtera, salam LovePENANG.

Terlebih dahlu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada barisan urus setia Karnival Bola Sepak Akar Umbi LovePENANG 2023 yang terdiri daripada Unit Penang2030, Pejabat Ketua Menteri serta Persatuan Bolasepak Pulau Pinang kerana berjaya menganjurkan program di pagi yang berbahagia ini.

Sekalung penghargaan juga kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Taman Botani yang turut sama bertungkus-lumus dalam penganjuran program ini.

Malah, saya juga ingin memanjatkan rasa syukur kerana sambutan yang diterima untuk karnival bola sepak ini adalah amat menggalakkan dengan penyertaan 72 pasukan bagi Kategori Bawah Lapan (8) Tahun, Bawah 10 Tahun dan Bawah 12 Tahun. Kesemua pasukan yang bertanding adalah pasukan tempatan yang terdiri daripada anak jati Pulau Pinang!

Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Pulau Pinang kerana dapat mengumpulkan kesemua pasukan ini di sini pada hari ini.

Hadirin sekalian,

Penganjuran Karnival Bola Sepak Akar Umbi LovePENANG 2023 merupakan bukti sokongan padu Kerajaan Negeri terhadap pembangunan sukan di negeri ini khasnya sukan bola sepak. Di peringkat profesional, Kerajaan Negeri saban tahun menyediakan peruntukan yang besar kepada pasukan Penang FC untuk bersaing dalam Liga Super Malaysia.

Bagi membuktikan Kerajaan Negeri komited dalam menggilap dan menyerlahkan bakat anak-anak tempatan dalam arena bola sepak, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan tenaga pemain import mulai musim hadapan.

Oleh itu pada tahun ini, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk melaksanakan program bola sepak di peringkat akar umbi bagi mencungkil bakat-bakat baru yang diharapkan akan menjadi wira bola sepak negeri seterusnya dapat diserlahkan sehingga ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Saya berasa amat gembira melihat riak wajah ceria dan bersemangat daripada peserta-peserta muda yang sudah pasti tidak sabar untuk membuat tendangan pertama sebentar sahaja lagi. Terima kasih juga kepada para ibu bapa yang hadir untuk memberi semangat kepada anak – anak dan sekali gus memeriahkan lagi suasana karnival pada hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Umumnya, program ini adalah amat bertepatan dengan slogan ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’ di bawah gagasan Visi Penang2030 yang mana mana Kerajaan Negeri percaya bahawa pembangunan manusiawi yang sempurna adalah bermula daripada keluarga bahagia serta anak-anak yang dididik dengan cemerlang. Ianya akan melahirkan generasi yang hebat dan kelak akan menyumbang kepada kemakmuran negeri ini dan negara secara amnya.

Visi Penang2030 yang telah dilancarkan pada 29 Ogos 2018 yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan rakyat serta kebersamaan dengan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan sasaran menjelang tahun 2030, manakala Kempen LovePENANG pula telah dilancarkan pada 10 Jun 2022 sebagai medium untuk mendekati rakyat agar lebih difahami intipati gagasan visi berkenaan. Justeru, pelbagai program dan aktiviti diadakan seperti yang sedang kita nikmati ketika ini.

Dengan usaha-usaha berterusan ini, saya berharap pembangunan sukan di negeri ini berada atas landasan yang tepat, selaras dengan hasrat dan matlamat Visi Penang 2030. Kerajaan Negeri mengalu-alukan serta menggalakkan sebarang inisiatif dan usaha daripada pihak swasta dan persatuan-persatuan untuk mempelbagaikan kemudahan rekreasi dan sukan.

Selaras itu, Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan komited dalam usaha untuk mempertingkatkan dan memperkasakan bidang sukan agar negeri ini dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti untuk negeri Pulau Pinang dan negara amnya. Dato’ Nicol Ann David (squash/skuasy) dan Dato’ lee Chong Wei (badminton) adalah buktinya.

Namun, saya ingin berpesan kepada pada semua anak-anak yang mengambil bahagian dalam program pada hari ini supaya sentiasa mengutamakan pembentukan peribadi yang baik, fokus kepada aspek akademik dan menghindarkan diri daripada gejala sosial yang tidak sihat. Anda bukan sahaja harapan ibu bapa dan waris namun anda merupakan harta dan harapan negara yang paling berharga.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang ada di sini, yang sentiasa menyokong program-program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri. Sesungguhnya, kehadiran anda semua memberi titik semangat kepada Kerajaan Negeri dalam usaha merealisasikan Visi Penang2030.

Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam program-program yang akan datang. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Akar Umbi LovePENANG 2023.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang