MAJLIS PERASMIAN MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA (MSAM) 2023
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA (MSAM) 2023
1 OKTOBER 2023 | 4.30 PETANG
SETIA FONTAINES, BERTAM
PULAU PINANG
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Anwar bin Ibrahim
Perdana Menteri Malaysia
Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB)
Encik Ahmad Zulqarnain Onn
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB
Barisan Pengurusan Kanan dan Pasukan Kepimpinan Kumpulan PNB
Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri
Dif-dif Kehormat dan para jemputan
Rakan-rakan media
Dan hadirin sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya ke Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 pada petang yang berbahagia ini. Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) di atas penganjuran acara perdana. Izinkan saya mengucapkan terima kasih kerana sudi berkunjung ke negeri Pulau Pinang, bagi meneruskan misi pendidikan pelaburan.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kepulangan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke negeri kelahirannya bagi menyerikan lagi majlis ini.
Kami juga mengalu-alukan kehadiran PNB di Setia Fontaines, Bertam pada pagi ini, bersempena MSAM 2023 yang bukan sahaja fokus untuk mendidik mengenai pengurusan kewangan dan pentingnya pelaburan di peringkat awal usia, malah turut memberi perhatian khusus kepada elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta agenda kelestarian.
Kedua-dua agenda ini adalah selari dengan gagasan Visi Penang2030 yang dilancarkan pada Ogos 2018, yang bukan sahaja memberi penekanan terhadap pembangunan institusi kekeluargaan, malah turut merangkumi aspek negeri hijau dan pintar sebagai hala tuju dalam pentadbiran Kerajaan Negeri bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Saya juga berasa sukacita untuk memaklumkan bahawa walaupun negeri ini merupakan sebuah negeri yang kecil, Pulau Pinang kini berada pada kedudukan ketiga teratas dalam senarai purata pelaburan unit amanah PNB di seluruh negara dengan jumlah pelabur seramai kira-kira 714,000 yang telah melanggan lebih 14.3 billion unit.
YAB Perdana Menteri dan hadirin sekalian,
Dengan bertunjangkan empat tema iaitu meningkatkan daya huni sebagai peningkatan kualiti hidup rakyat, menaik taraf ekonomi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan umum dan melabur dalam infrastruktur serta kemudahan awam bagi meningkatkan daya tahan dalam pelbagai keadaan, Visi Penang2030 adalah wawasan berinovasi yang merangkumi semua aspek pembangunan tanpa meminggirkan mana-mana entiti.
PNB juga tidak asing lagi dikenali dengan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) yang memberi impak tinggi kepada masyarakat sekeliling yang selari dengan salah satu inisiatif dalam Fasa Kedua visi Penang2030 – Accelerating Penang 2030, iaitu ‘Inisiatif Pembinaan Komuniti’.
Melalui inisiatif berkaitan, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan barisan agensi serta perwakilan terpilih untuk bersama-sama secara aktif mempromosi serta mengkoordinasi barisan sukarelawan di negeri ini supaya nilai sayang-menyayangi dan saling membantu itu sentiasa subur dalam komuniti ke arah membentuk masyarakat Madani.
YAB Perdana Menteri dan saudara serta saudari yang dihormati sekalian,
Seperti yang semua sedia maklum, Ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK sebanyak RM112.1 bilion sekaligus menjadikan negeri ini muncul sebagai negeri dengan pertumbuhan ekonomi paling tinggi dalam negara.
Sektor pembuatan merupakan industri tertinggi yang menyumbang kepada ekonomi Pulau Pinang dengan kadar sebanyak 48.3 peratus dan secara tidak langsung membuktikan bahawa sektor berkaitan adalah sangat penting kepada negeri ini dan perlunya satu inisiatif dalam mewujudkan ekosistem yang menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan tersebut.
Namun begitu, masalah kekurangan bakat dalam bidang kejuruteraan dan teknikal masih lagi perlu diberikan perhatian khusus yang mana ia telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja kepada pemain industri malah juga kepada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya.
Justeru, sebagai usaha dalam menangani dilema tersebut, Kerajaan Negeri melalui insititusi-institusi berasaskan STEM iaitu Penang Science Cluster (PSC), Tech Dome Penang, Penang STEM, Penang Math Platform, Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Penang Digital Library telah mempergiatkan usaha dalam menyediakan peluang pembelajaran teknikal serta akademik dalam bidang bidang yang berkenaan untuk para pelajar mahupun dewasa bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di negeri-negeri lain.
Sebagai contoh, sebuah program yang sedang berjalan iaitu Girls in STEM oleh PSC, yang mengadakan bengkel sains dan teknologi kepada anak-anak gadis di sekolah dan komuniti luar bandar di enam negeri dalam negara, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak bagi menggalakkan dan menyediakan peluang yang saksama sekaligus meningkatkan akses golongan wanita kepada peluang-peluang pekerja dalam bidang sains serta teknologi bukan sahaja di Malaysia malah juga seluruh dunia.
Malah, minggu lalu saya baru sahaja hadir majlis perasmian PSC@Bagan yang mana sebuah lagi pusat STEM baru dibuka di bahagian Seberang Perai. Pembukaan pusta berkaitan bukan sahaja dapat mengurangkan masa perjalanan para pelajar di sini untuk ke bahagian pulau, malah ia juga membuka peluang kepada anak-anak dari negeri-negeri jiran seperti Kedah dan Perak untuk turut bersama-sama menggilap bakat dan ilmu pengetahuan dalam bidang STEM di sini.
Bak kata pepatah, ‘apa yang disemai, itulah yang dituai’, maka adalah penting untuk kita memupuk generasi muda supaya memberi keutamaan kepada bidang sains, teknologi dan inovasi. Saya mengambil maklum bahawa MSAM tahun ini menerapkan elemen STEM di dalam acaranya dan kami mengalu-alukan inisiatif tersebut untuk melahirkan bakat-bakat yang holistik bagi pembangunan negeri ini dan juga negara kita.
YAB Perdana Menteri dan hadirin sekalian,
Penganjuran MSAM adalah contoh baik yang wajar diteruskan di masa akan datang, dalam usaha Kumpulan PNB meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dan meneruskan mandatnya untuk mempertingkatkan kehidupan seluruh rakyat Malaysia.
Malah, pada kesempatan ini, saya juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada Syarikat-syarikat Kumpulan PNB serta rakan korporatnya, agensi-agensi kerajaan berkaitan, rakan-rakan media serta warga kerja PNB yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan MSAM 2023.
Saya amat mengharapkan agar pendekatan dan kerjasama yang ditunjukkan dalam penganjuran acara ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang. Pintu Pulau Pinang sentiasa terbuka.
Sekian, terima kasih.