PERASMIAN PROGRAM LITERASI DIGITAL

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA

PERASMIAN PROGRAM LITERASI DIGITAL

 

7 OKTOBER 2023 | 3.00 PETANG

 

HUI PAK TONG HEONG HOOI, JALAN KEDAH

[SALUTASI]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

  • Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar dan waris yang hadir dalam Perasmian Program Literasi Digital yang diadakan pada petang yang mulia ini.
  • Terima kasih saya ucapkan kepada barisan ibu bapa dan waris yang sudi menggalakkan anak-anak untuk menyertai program ini, dan syabas juga saya ucapkan kepada anak-anak semua kerana kehadiran anda pada petang ini menunjukkan bahawa masing-masing mempunyai tekad yang mendalam untuk menambah ilmu pengetahuan walaupun di peringkat usia yang masih muda.
  • Program Literasi Digital ini adalah julung kali diadakan yang melibatkan 15 pelajar berumur 10 sehingga 13 tahun dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dan ia merupakan anjuran pusat khidmat saya.
  • Objektifnya adalah untuk memastikan generasi muda tidak ketinggalan dalam bidang teknologi khususnya apabila keupayaan penggunaan komputer adalah sangat penting dalam menyelesaikan tugasan dengan efektif dan efisien walaupun di peringkat sekolah ketika ini.
  • Kita kini sudah memasuki fasa yang mana setiap individu sebaik-baiknya menjadi ‘celik teknologi’ bagi memudahkan kehidupan seharian, oleh itu Kerajaan Negeri telah melancarkan Visi Penang2030 sejak lima (5) tahun lalu yang bukan sahaja memberi penekanan terhadap pembangunan institusi kekeluargaan, malah turut merangkumi aspek negeri hijau dan pintar bagi mencapai matlamat tersebut.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  • Anak-anak ini akan mengikuti program yang berpandukan 24 modul yang telah disediakan oleh Tech Dome Penang yang dijangkakan mengambil masa dari dua (2) sehingga tiga (3) bulan bergantung kepada keupayaan anak-anak untuk memahami serta menguasai teknik-teknik penggunaan perisian atau ‘software’ yang terlibat.
  • Setiap pembelajaran modul akan mengambil masa selama 1 jam 30 minit dan sesi pembelajaran tersebut bakal diadakan di lokasi ini. Antara ‘software’ yang akan didedahkan adalah Microsoft Word, Excel, Powerpoint dari peringkat asas sehingga advance, malah anak-anak juga akan diajar teknik computer programming, machine learning (ML) dan banyak lagi.
  • Menyentuh mengenai inisiatif Penang STEM membabitkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, pendekatan dikenali sebagai ‘Penang STEM ecosystem’ telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2017 untuk menawarkan pembelajaran STEM secara langsung di luar kokurikulum bagi melengkapkan pembelajaran secara teori di sekolah.
  • Di bawah agensi-agensi pelaksana seperti Penang Science Cluster (PSC); Tech Dome Penang (TDP); Karpal Singh Penang Learning Centre (KSPLC); aCAT Penang (@CAT); Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Penang Digital Library (PDL), bagi tempoh Januari sehingga Jun 2023, seramai 45,464 pelajar dari sekolah rendah dan menengah telah menyertai program, bengkel dan aktiviti yang dianjurkan oleh pusat-pusat STEM tersenarai.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

  • Saya berharap anak-anak yang menyertai program khas ini dapat memanfaatkan peluang untuk memudahkan proses penyiapan tugasan malah boleh juga diambil sebagai salah satu cara untuk mengasah ilmu dan bakat dalam bidang teknologi.
  • Saya sedar semua anak-anak masih muda namun ingat, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pasaran pekerjaan di masa hadapan mungkin akan lebih mencabar berbanding ketika ini, oleh itu gilaplah potensi masing-masing ketika masih muda.
  • Saya ingin berpesan kepada anak-anak semua supaya jadilah generasi yang mempunyai nilai ihsan, berilmu, berwawasan dan sihat supaya dapat memimpin negara dengan cemerlang pada masa hadapan.
  • Maka dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Literasi Digital di Hui Pak Tong Heong Hooi, Jalan Kedah pada petang yang berbahagia ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang