PROGRAM SESI LIBAT URUS YAB KETUA MENTERI BERSAMA YB ADUN DAN YB AHLI PARLIMEN BAGI PENYEDIAAN BAJET TAHUN 2024

TEKS UCAPAN

 YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

 SEMPENA:

 PROGRAM SESI LIBAT URUS YAB KETUA MENTERI BERSAMA YB ADUN DAN YB AHLI PARLIMEN BAGI PENYEDIAAN BAJET TAHUN 2024

PADA:

10 SEPTEMBER 2023 (SELASA)

PINANG BALLROOM, TINGKAT 3, HOTEL JEN,

GEORGETOWN, PULAU PINANG

YANG BERHORMAT DATO’ DR. MOHAMAD BIN ABDUL HAMID

TIMBALAN KETUA MENTERI I PULAU PINANG;

YANG BERHORMAT TUAN JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH

TIMBALAN KETUA MENTERI II PULAU PINANG;

YANG BERHORMAT DATO’ HAJI ROSLI BIN ISA

SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG;

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG;

YANG BERHORMAT BARISAN AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI DAN AHLI PARLIMEN PULAU PINANG;

YANG BERHORMAT PUAN ZABIDAH BINTI SAFAR

PEGAWAI KEWANGAN NEGERI PULAU PINANG;

KETUA-KETUA JABATAN, AGENSI SERTA ANAK SYARIKAT KERAJAAN NEGERI;

WAKIL-WAKIL YB AHLI PARLIMEN DAN YB ADUN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG; DAN

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SERTA PARA HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN.

***Salutasi tertakluk kepada senarai akhir kehadiran

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia MADANI.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan wakil kepada Ahli-ahli Yang Berhormat ke sesi libat urus pada hari ini.

Sebagai makluman, sesi libat urus ini penting untuk Kerajaan Negeri mendapatkan input daripada Ahli-ahli Yang Berhormat berhubung penyediaan Bajet Negeri Pulau Pinang Tahun 2024.

  1. EKONOMI NEGERI PULAU PINANG

Kita sedia maklum bahawa ekonomi Pulau Pinang telah bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK sebanyak RM112.1 bilion. Seperti lazimnya, sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang tertinggi dan mencatatkan peningkatan bagi tahun 2022, iaitu 15.9 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 12.4 peratus. Pada masa sama, sektor perkhidmatan juga meningkat sebanyak 11.3 peratus, didorong oleh subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, Penginapan dan Makanan & Miniman serta Utiliti, Pengangkutan dan ICT.

Saya percaya bahawa kecemerlangan ini adalah didorong oleh penglibatan aktif pemain-pemain industri dan ekonomi yang telah memilih Pulau Pinang sebagai destinasi sektor pembuatan. Kejayaan ini sudah pasti ditunjangi oleh gagasan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

  1. KEDUDUKAN KEWANGAN NEGERI PULAU PINANG

 

Kedudukan kewangan negeri Pulau Pinang secara dasarnya adalah  stabil berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri yang diaudit oleh Ketua Audit Negara. Kerajaan Negeri juga telah menerima Sijil Bersih bagi tahun kewangan 2022, sekaligus membuktikan kecekapan tadbir urus kewangan negeri yang berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus atau C.A.T.

Dalam pembentangan Bajet 2022 yang lalu, dengan jangkaan Hasil Negeri sebanyak RM485.42 juta berbanding Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM935.53 juta, Kerajaan Negeri menjangkakan defisit sebanyak RM450.11 juta. Anggaran defisit tersebut dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki RM689.72 juta pada akhir tahun 2022. Jika dilihat dari segi defisit hasil berbanding belanja, Kerajaan Negeri mencatatkan peratusan melebihi 40 peratus.

Walau bagaimanapun, sehingga 30 September 2023,  Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil berjumlah RM455.75 juta yang meliputi Hasil Bukan Cukai berjumlah RM221.72 juta atau 48.65 peratus, Hasil Cukai berjumlah RM143.42 juta atau 31.46 peratus dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM90.59 juta atau 17.68 peratus daripada kutipan keseluruhan.

Saya tidak menafikan bahawa amaun defisit ini adalah tinggi, namun Kerajaan Negeri optimis bahawa kutipan hasil negeri akan dapat ditingkatkan semula dengan langkah-langkah pemulihan dan pemerkasaan ekonomi yang sedang diambil kini. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga percaya bahawa ekonomi negeri akan dapat ditingkatkan dengan pengurusan kewangan yang berhemah dan komitmen berterusan daripada semua pihak.

  1. PROJEK / PROGRAM / INISIATIF

Sebagai makluman semua, Visi Penang2030 sudah lima (5) tahun dilancarkan dan kini mencatatkan pencapaian sebanyak 47 peratus, yang merekodkan pelaksanaan lebih daripada 210 projek dan program sepanjang tempoh tersebut. Sebagai tambahan, selain memperjuangkan tadbir urus berintegriti, kebajikan rakyat, kelengkapan infrastruktur dan pembentukan sebuah rantaian ekosistem yang sempurna, Pulau Pinang kian menerajui teknologi pendigitalan dan inisiatif bandar pintar atau smart city berlandaskan pembangunan modal insan.

Kini, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk memperkasakan tujuh (7) bidang keutamaan yang bakal diberikan perhatian untuk tempoh lima (5) tahun akan datang. Antaranya adalah peluang pekerjaan, pembangunan jaringan ekosistem, ketersambungan jaringan pengangkutan, penambahbaikan aliran trafik, strategi mengatasi isu perubahan iklim, pembekalan air dan pembangunan komuniti termasuk belia, wanita serta warga emas. Oleh itu, program libat urus seumpama ini adalah amat bertepatan dalam memastikan setiap gerak kerja berada di landasan yang tepat bagi mencapai objektif yang disasarkan. 

Secara tuntas, tujuh (7) bidang keutamaan tersebut dijangka dapat merancakkan lagi ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu, terutama dalam sektor pembuatan elektrikal dan elektronik (E&E), Integrated Circuit Design, teknologi perubatan, Digital District dan Ekonomi Baharu.

  1. SESI LIBAT URUS BERSAMA YB ADUN DAN YB AHLI PARLIMEN BAGI PENYEDIAAN BAJET 2024

Sesi libat urus yang kedua kalinya dijalankan ini adalah bersandar kepada Visi Penang2030, iaitu Tema C – “Memperkasa Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Awam, di bawah Inisiatif Strategik C4: Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi”. Justeru, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mendapat maklum balas daripada Yang Berhormat ADUN serta Yang Berhormat Ahli Parlimen untuk mencadangkan projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing.  

Saya difahamkan sehingga semalam, iaitu 9 Oktober 2023, Jabatan Kewangan Negeri (JKN) telah menerima lapan puluh satu (81) cadangan projek daripada empat belas (14) Yang Berhormat ADUN dan Yang Berhormat Ahli Parlimen dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM 908.72 juta. Cadangan projek-projek tersebut akan dinilai dan diberikan keutamaan pelaksanaan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) serta Jabatan Kewangan Negeri (JKN).

Menerusi sesi libat urus ini, saya yakin dapat menambaik perancangan pembangunan di setiap kawasan di negeri ini secara mampan dan sejajar dengan strategi       serta aspirasi Penang2030. Dengan meneruskan usaha untuk menyampaikan kecemerlangan, Kerajaan Negeri menjalankan pelbagai program dan projek yang memberi manfaat kepada rakyat serta fokus untuk mengekalkan disiplin fiskal, perbelanjaan operasi yang berhemat serta memelihara pelaburan untuk memastikan daya tahan dan prestasi tinggi kewangan negeri. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kadar inflasi yang tinggi, prinsip serta nilai kerajaan kekal sama iaitu untuk membina kesetiaan, integriti, profesionalisme dan perpaduan dalam negeri ini.

Memandang ke hadapan, pelbagai cabaran akan dihadapi oleh negeri  ini dalam aspek perubahan iklim, kekurangan air mentah, tanah dan sumber kewangan terhad. Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memikul harapan serta aspirasi rakyat. Kerajaan Negeri serta komuniti harus bergerak bersama-sama untuk mengharungi pergolakan untuk masa depan negeri yang lebih cemerlang. Malah, kita juga perlu mencipta warisan yang mampan untuk generasi akan datang menerusi Visi Penang2030 serta memupuk semangat “LovePENANG”.

Saya yakin Sesi Libat Urus Bersama Yang Berhormat ADUN dan Yang Berhormat Ahli Parlimen Dalam Penyediaan Bajet Tahun 2024 ini akan dapat menambah baik kaedah penyediaan bajet tahunan Kerajaan Negeri demi pembangunan negeri Pulau Pinang yang lebih holistik.  Serentak itu, saya juga berharap agar sesi ini akan diteruskan oleh Jabatan Kewangan Negeri (JKN) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) pada tahun-tahun yang akan datang.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Zabidah binti Safar, Pegawai Kewangan Negeri dan barisan urus setia yang terlibat daripada Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang atas penganjuran sesi libat urus pada hari ini. Saya berharap agar objektif penganjuran tercapai dengan jayanya.

Dengan ini, saya merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Yang Berhormat  ADUN dan Yang Berhormat Ahli Parlimen Bagi Penyediaan Bajet  Tahun 2024.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang