SAMBUTAN HARI INOVASI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

TEKS UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA SAMBUTAN HARI INOVASI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

2 NOVEMBER 2023 (KHAMIS) | 12.30 TENGAHARI
KONKOS TINGKAT 3, KOMTAR

Yang Berhormat Dato' Haji Rosli Bin Isa
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato' Mohd Zakuan Bin Zakaria
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)

Yang Berbahagia Dato' Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)

Yang Berbahagia Dato-Dato

Ketua-ketua Jabatan Negeri, Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan
Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan

Pegawai-pegawai Kanan; Rakan-rakan media dan juga para hadirin yang berada di sini mahupun yang sedang menonton secara dalam talian melalui laman Facebook Rasmi Pejabat SUK Pulau Pinang.

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menjemput saya merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2023 ini. Suka saya nyatakan di sini bahawa saban tahun, saya dapat melihat semakin banyak projek-projek inovasi dihasilkan oleh jabatan serta agensi kerajaan yang berimpak tinggi dan berjaya diketengahkan ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa bagi mewakili Negeri Pulau Pinang.

Maka pada hari ini, kita berkumpul bagi meraikan kreativiti penjawat awam negeri Pulau Pinang. Hari Inovasi ini juga merupakan manifestasi Kerajaan Negeri dalam menghargai usaha para peserta kumpulan inovasi yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang sentiasa berusaha untuk mencapai peningkatan, membina masa depan lebih baik, dan membangunkan ekonomi negeri dengan lebih efisien serta berdaya tahan di samping dapat memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Hadirin yang saya hormati,

Sambutan Hari Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun ini bertemakan ‘Inovasi Pemacu Masa Hadapan Mampan’. Saya amat bangga melihat penjawat awam kini bergerak seiring dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memfokuskan kepada pembangunan dan inovasi bagi memastikan masa hadapan yang lebih baik, cemerlang dan lestari.

Semoga usaha-usaha inovasi yang telah dilakukan sehingga hari ini dapat mewujudkan sinergi yang lebih kukuh dah utuh di samping dapat merealisasikan dasar serta program Kerajaan Negeri berlandaskan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Inovasi tidak akan berhasil sekiranya hanya terhenti di peringkat konsep atau idea, tetapi ianya merupakan usaha berterusan untuk membawa perubahan positif dari semasa ke semasa. Dengan semangat inovasi, kita dapat merangka masa depan negeri agar dapat menjadi pemangkin negeri pintar sekaligus mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini khususnya serta rakyat Malaysia amnya.

Sebagai contoh yang dapat kita banggakan pada hari ini, sebuah projek inovasi yang memenangi Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2020 iaitu projek ‘Penang Smart Parking’ yang telah disenarai pendek di peringkat kebangsaan bagi Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) anjuran MAMPU yang menawarkan hadiah utama berupa ganjaran wang tunai sebanyak RM1 juta. Sekali lagi, tahniah diucapkan kepada kumpulan projek ‘Penang Smart Parking’ yang diterajui oleh Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat SUK Pulau Pinang bersama-sama dengan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Sebagai makluman, pada tahun ini, buat julung kalinya kita meluaskan penyertaan pertandingan inovasi kepada penjawat awam bagi agensi-agensi Persekutuan di Pulau Pinang dan sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan. Sebagaimana harapan yang saya sebutkan sebentar tadi, Kerajaan Negeri mengharapkan inisiatif ini akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini melalui peningkatan prestasi perkhidmatan yang diberikan secara keseluruhan.

Pada tahun ini, kita menerima 24 penyertaan Pertandingan Kumpulan Inovatif Dan Kreatif Peringkat Negeri Pulau Pinang (KIK), 10 penyertaan projek Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang (AIKNPP), dan 16 penyertaan bagi Pertandingan Innovation Blast. Tahniah diucapkan kepada semua peserta!

Hari ini, kita juga menoleh sejenak mengenang pengalaman kita dalam menghadapi cabaran-cabaran yang tidak pernah terbayangkan sebelumnya, khususnya semasa pandemik. Tetapi dalam pada masa krisis tersebut, kita telah menyaksikan bagaimana inovasi mampu membantu kita bergerak ke hadapan terutamanya daripada aspek pendigitalan. Banyak usaha-usaha baharu dalam penyampaian perkhidmatan telah diwujudkan bagi memberi kemudahan kepada rakyat yang mana teknologi, kesepaduan, dan usaha bersama ini telah menjadi pemangkin kepada pelbagai kejayaan kita.

Saya percaya, hasil kerja keras Kerajaan Negeri bersama-sama penjawat awam di negeri ini telah mewujudkan suasana yang kondusif inovasi. Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan pemikiran kreatif dalam kalangan anak muda, serta memberikan sokongan kepada usahawan serta penyelidik untuk membina produk dan perkhidmatan yang bermutu tinggi. Malah, peluang untuk berkolaborasi dengan sektor swasta serta masyarakat sivil juga perlu diharmonikan bagi menghasilkan produk yang berimpak tinggi kepada seluruh lapisan masyarakat.

Sekiranya kita dapat bersama-sama menggalakkan inovasi di peringkat negeri, saya percaya kita dapat mencapai pembangunan yang mapan, meningkatkan taraf hidup rakyat, dan memainkan peranan penting dalam mentransformasikan negeri ini. Hari Inovasi Peringkat Negeri pada hari ini yang bertemakan ‘Inovasi Pemacu Masa Hadapan Mampan’ perlu dihayati oleh kita semua kerana sesungguhnya kita merupakan agen perubahan penting untuk memperkasakan negeri dan negara kita melalui inovasi.

Mengakhiri ucapan pada hari ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemenang yang akan dinobatkan sebentar lagi. Semoga dengan kemenangan ini, ia dapat dijadikan penanda aras baharu dan menjadi dorongan kepada semua warga penjawat awam di negeri Pulau Pinang untuk terus membuat anjakan inovasi seiring dengan era globalisasi yang mana sekaligus dapat menyumbang kepada penghasilan ekonomi negeri berpendapatan tinggi, signifikan dan juga berimpak tinggi.

Maka dengan itu, saya dengan sukcaitanya merasmikan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang