MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STPM DAN SPM PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STPM DAN SPM PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
9 NOVEMBER 2023 (KHAMIS) | 2.00PM
UITM, PERMATANG PAUH
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran kerana semua dapat berhimpun menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan SPM bagi tahun 2022 di Dewan Besar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang pada petang ini.
Dengan tulus ikhlas, saya mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelajar dari negeri Pulau Pinang yang berjaya mengharumkan nama negeri dari segi akademik dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Secara keseluruhan, setelah meneliti ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I sebentar tadi, negeri kita telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan yang mana seramai 688 daripada 19,499 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 berjaya memperoleh keputusan semua A.
Ini merupakan pencapaian yang membanggakan yang mana gred purata negeri (GPN) bagi tahun 2022 adalah 4.6, iaitu peningkatan 0.17 berbanding 4.77 pada tahun 2021. Malah, saya difahamkan bahawa sebanyak 24 sekolah berjaya mencapai keputusan 100 peratus iaitu kesemua calon berjaya mendapat sijil SPM bagi tahun 2022.
Bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula, sebanyak 16 daripada 25 sekolah kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM telah mencapai keputusan penuh 100 peratus bagi tahun 2022 yang mana seramai 2,007 calon layak mendapat sijil. Tahniah diucapkan!
Anak-anak yang dikasihi, prestasi cemerlang ini sudah pasti merupakan hasil titik peluh dan usaha keras anda semua dalam menimba ilmu. Sememangnya, tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu. Ketahuilah bahawa kejayaan ini merupakan sebuah permulaan kepada masa depan yang lebih cerah. Usaha perlu diteruskan, tekad harus ditanamkan, bina cita-cita mulai sekarang serta teruskan semangat perjuangan untuk mengharungi cabaran dalam memacu kejayaan yang seterusnya.
Terdapat lebih banyak rintangan yang bakal ditempuhi apabila meningkat dewasa, oleh itu saya berharap agar anak-anak mengekalkan rekod kecemerlangan ini di samping mengimbangi tuntutan-tuntutan lain sebagai seorang anak. Malah saya yakin ada dalam kalangan kalian yang sudah mula mencari rezeki untuk membantu keluarga. Teruskanlah usaha untuk menjadi seorang insan yang berakhlak, cemerlang dalam akademik serta sihat tubuh badan demi membina sebuah masyarakat Madani. Jangan dilupakan ibu bapa atau waris yang telah banyak berkorban bagi memastikan anda semua telah berjaya pada hari ini.
Mana mungkin kita semua lupa hasil kecemerlangan ini juga merupakan usaha para pendidik yang bertungkus-lumus memastikan kecemerlangan serta keseimbangan dinamik dalam diri setiap pelajar. Terima kasih seluhurnya kepada semua warga pendidik yang telah menunjukkan khidmat bakti yang tinggi dalam agenda pendidikan anak bangsa.
Saya sedar, usaha mendidik bukanlah sebuah tanggungjawab yang mudah apatah lagi tanggungjawab seorang guru pada masa ini tidak terhad hanya kepada mendidik sahaja. Sekali lagi sekalung penghargaan saya ucapkan kerana anda semua menggalas tanggungjawab yang mulia dalam melahirkan sebuah masyarakat dan tamadun yang berilmu demi masa depan negara.
Oleh yang demikian, sebagai pemangkin semangat pelajar untuk lebih mampan dan berdaya saing, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan ini berbesar hati ingin memberikan insentif kewangan kepada semua pelajar cemerlang STPM dan SPM Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 yang hadir hari ini. Sebagai makluman semua, pembayaran insentif secara elektronik (eft) sedang berlangsung ketika ini ketika saya memberi ucapan ini, dan pelajar sekalian boleh mula menyemak akaun bank masing-masing sejurus selepas selesai majlis ini nanti.
Buat anak-anak para pelajar cemerlang pendidikan berkeperluan khas STPM dan SPM, insentif penghargaan sebanyak RM7,500 turut diberikan kepada Anugerah Pelajar Terbaik Pelajar Istimewa (Khas), dan semoga suntikan semangat ini dapat terus menjadi tonggak kepada barisan penerima untuk terus menongkah arus perdana ini.
Malah sebagai makluman semua, kesemua para pelajar yang hadir pada hari ini merupakan senarai pelajar terbaik negeri Pulau Pinang bagi tahun 2022 yang telah dinominasikan oleh Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan Majlis Peperiksaan Malaysia. Tepukan gemuruh untuk anak-anak kita hari ini!
Hadirin yang dihormati sekalian,
Mengambil peluang pada hari ini juga, saya amat menggalakkan anak-anak, guru-guru malah ibu bapa untuk meneroka bidang berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan seterusnya dijadikan sebuah aliran atau kursus pilihan di peringkat pengajian tinggi atau boleh menggalakkan anak-anak yang berminat atau berbakat untuk berkecimpung dalam bidang teknikal. Harus saya tekankan di sini bahawa bidang ini tidak seharusnya dijadikan sebagai back-up plan kerana permintaan bagi graduan teknikal adalah sangat tinggi ketika ini.
Serentak itu, Kerajaan Negeri akan terus memastikan percambahan modal insan dalam negeri ini seperti yang tertera dalam Manifesto Perpaduan 2023 iaitu dengan:
- Memperuntukkan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030;
- Penyaluran bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS);
- Mewujudkan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40;
- Serta menyumbangkan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke IPTA.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini juga berbesar hati ingin menyampaikan Anugerah Sekolah Terbaik kepada enam (6) sekolah dalam negeri Pulau Pinang yang telah menunjukkan prestasi terbaik dan cemerlang dalam keputusan STPM dan SPM tahun lalu.
Semoga sumbangan ini dapat memangkin semangat yang lebih tinggi dan komitmen padu, bukan hanya kerana ia adalah satu tuntutan kerja, tetapi lebih kepada pelaksanaan tugas serta tanggungjawab sebati dengan naluri dan jiwa untuk mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang terbaik.
Sekian, terima kasih.