MAJILIS SAMBUTAN ULANG TAHUN PENUBUHAN PDC KE-54

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJILIS SAMBUTAN ULANG TAHUN PENUBUHAN PDC KE-54

 

14 NOVEMBER 2023 (SELASA) | 8.30 PAGI

ATRIUM PDC, PDC  

_____________________________________

YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I

YB Tuan Jagdeep Singh Deo

Timbalan Ketua Menteri II

YBhg. Dato' Aziz bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif PDC

Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC

Ketua-Ketua Bahagian dan Unit PDC

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang ke Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang atau dikenali sebagai PDC yang ke-54. Terima kasih saya ucapkan di atas jemputan untuk saya hadir merasmikan majlis ini bersama-sama semua warga PDC pada pagi yang mulia ini.

PDC merupakan sebuah agensi Kerajaan Negeri yang berperanan membangun dan memajukan negeri Pulau Pinang. Dengan menjadikan ‘Spearheading Sustainable Growth’ sebagai slogan, ia adalah bertepatan dengan peranan PDC dalam usaha memaksimumkan kemajuan ekonomi di negeri ini. Malah, PDC juga telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi tenaga pemikir Kerajaan Negeri dalam merancang dan melaksanakan taman perindustrian serta pembangunan perbandaran, pembangunan semula bandar, menyediakan rumah mampu milik dan juga menarik pelaburan dari dalam serta luar negara.

Pada tahun ini, PDC bakal menyambut ulang tahun yang ke-54 hasil penubuhannya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak 17 November 1969 dan diperbadankan di bawah Enakmen 1971. Bersempena majlis yang bersejarah ini, saya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-54 kepada seluruh warga PDC yang telah menabur bakti dan bertungkus-lumus untuk menaikkan nama PDC ke tahap yang lebih baik sehingga saat ini.

Boleh saya katakan, PDC merupakan salah sebuah organisasi yang cemerlang dalam menerajui aspek pembangunan dalam negeri Pulau Pinang. Tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua yang telah menyalurkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas selama ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selaras dengan Visi Penang2030 yang berteraskan kepada empat (4) tema, saya memantau dan mengakui bahawa PDC telah, sedang dan akan memainkan peranan yang amat penting. Bagi Tema 1 iaitu meningkatkan daya huni bagi meningkatkan kualiti kehidupan, yang mana isu-isu awam seperti perumahan, keselamatan, kebajikan dan sebagainya dititikberatkan. PDC mempunyai rekod yang cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan tema ini. Serentak itu, PDC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berusaha menyediakan dan membina Rumah Mampu Milik yang kini berada di pelbagai peringkat pelaksanaan. Ini dapat dibuktikan apabila PDC telah membina Projek Rumah Mampu Milik PDC yang pertama iaitu Suria 1 di Bandar Cassia, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan yang mengandungi 520-unit.

Bagi tema ini, PDC telah membangunkan tiga (3) buah Bandar Baru di negeri Pulau Pinang dengan keluasan dan bilangan unit perumahan seperti berikut:

Kawasan

Keluasan

Perumahan*

Bandar Bayan Baru

3,455 ekar

9,079 unit

Bandar Seberang Jaya

1,124 ekar

6,980 unit

Bandar Cassia, Batu Kawan

6,326 ekar

2,724 unit

Jumlah

10,905 ekar

18,783 unit

Bandar satelit PDC iaitu Bandar Cassia yang berkonsepkan Eco-City mencerminkan evolusi perancangan dan idea PDC selama 54 tahun. Antara pencapaian lain yang telah disumbang hasil daripada pembangunan di Bandar Cassia kepada Pulau Pinang adalah pelaburan oleh syarikat swasta di Batu Kawan seperti ASPEN Group, EcoWorld, Paramount, PE Land dan IKEA. Pelaburan-pelaburan besar ini menonjolkan tahap keyakinan syarikat global yang terkenal dalam negara terhadap potensi negeri Pulau Pinang. Dengan kehadiran IKEA dan Design Village, Batu Kawan telah menjadi destinasi sehenti menarik untuk tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri bagi membeli-belah, ‘food hunting’ dan juga mendapatkan pelbagai perkhidmatan perlu.

Seterusnya, bagi Tema 2 iaitu menaik taraf ekonomi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah. Selaras dengan tema ini, sepanjang penubuhan PDC, saya mengakui agensi ini telah berjaya membangunkan taman-taman perindustrian yang telah mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung serta meningkatkan taraf hidup serta kualiti kehidupan rakyat di Pulau Pinang. Malah, PDC juga telah berjaya menarik masuk pelbagai sektor pembuatan yang terkenal ke Pulau Pinang sepanjang 54 tahun ini, yang mana antaranya ialah Intel, AMD, Hewlett-Packard, Clarion, National Semiconductor, Hitachi, Litronix, Sony, Robert Bosch dan banyak lagi.

Saya mengambil maklum bahawa PDC juga memainkan peranan yang penting dalam membimbing dan membantu industri-industri kecil untuk membangun serta menjadi syarikat-syarikat gergasi, malah telah tersenarai di Bursa Saham. Syabas saya ucapkan!

Bagi Tema 3 iaitu memperkasa rakyat bagi mengukuhkan penyertaan masyarakat sivik, Kerajaan Negeri melalui PDC telah mewujudkan Skim Pinjaman Harapan (SPH) yang merupakan program Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa MMK Pembangunan Keusahawanan bagi membantu mewujudkan satu sistem penyaluran modal tambahan yang mudah dan tidak membebankan usahawan. Melalui modal tambahan berkaitan, usahawan termasuk golongan wanita dan belia dapat mengembangkan perniagaan mereka serta secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup serta pendapatan isi rumah secara keseluruhan.

Bagi Tema 4 iaitu melabur dalam pembangunan infrastruktur serta kemudahan awam bagi meningkatkan daya tahan, PDC juga telah membina banyak infrastruktur dan memperuntukkan kawasan serta kemudahan awam di seluruh Pulau Pinang. Projek terkini, Sia Boey juga telah dilaksanakan oleh PDC iaitu Taman Bandar Arkeologi yang pertama di Malaysia yang mentransformasikan kawasan tersebut menjadi kawasan hijau di tengah-tengah kesibukan kota yang memberi manfaat biodiversiti dengan strategi yang lebih luas untuk mengurangkan impak perubahan iklim di Pulau Pinang.

Saudara dan saudari sekalian.

Dengan pelbagai projek yang telah dibangunkan dan sedang dirancang, sebagai Ketua Menteri, saya berbangga dengan pencapaian, semangat dan komitmen warga PDC yang tinggi untuk perubahan positif dan berharap ianya akan terus mendorong PDC ke tahap yang lebih tinggi. Walaupun adakalanya terdapat kekurangan sepanjang perjalanan yang dilalui tetapi ianya tidak sepatutnya dilihat sebagai satu kegagalan.

Namun, harus saya ingatkan di sini bahawa dalam setiap kejayaan, pasti akan ada ujian atau halangan yang lebih besar menanti di hadapan. Saya berharap PDC sentiasa dapat menempuhi setiap ujian, sentiasa belajar daripada kesilapan serta komited untuk menambah baik perkhidmatan demi rakyat Pulau Pinang.

Saya percaya ulang tahun ini adalah salah satu penanda aras akan pencapaian dan usaha keras oleh semua kakitangan serta pihak yang terlibat. Dengan ini, saya mengambil kesempatan pada pagi ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan semoga PDC akan meneruskan perjalanan dengan telus, amanah serta efisien supaya lebih banyak kejayaan dapat dikecapi bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri lestari yang membangun dengan pesat dan moden.

Maka dengan itu, saya merasmikan Majilis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan PDC yang Ke-54.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang