MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023
18 NOVEMBER | 11.45 PAGI
PENANG CHINESE TOWN HALL
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Pertamanya, saya bersyukur kerana dengan izin dan kesempatan yang diberikan, dapat kita berkumpul bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Hari Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2023 pada hari yang berbahagia ini.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya sangat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor ke majlis ini. Kehadiran Tuan Yang Terutama Tun bersama-sama Toh Puan pada hari ini telah menyerikan lagi sambutan majlis yang penuh bermakna serta unik ini.
Mengambil kesempatan ini, sekalung penghargaan diucapkan kepada Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo kerana di bawah dorongan beliau melalui Pejabat Timbalan Ketua Menteri II dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta agensi-agensi yang terlibat, penganjuran acara sambutan ini dapat diadakan dengan penuh warna-warni. Lazimnya, sambutan pada hari ini tidak mungkin tercapai tanpa komitmen serta semangat positif dan perpaduan yang telah anda tanamkan dalam jiwa setiap individu yang terlibat. Syabas saya ucapkan!
Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan barisan hadirin yang dikasihi sekalian,
Hari Deepavali merupakan antara perayaan yang sangat dinanti-nantikan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat India malah juga seluruh masyarakat yang membentuk negara kita Malaysia. Saya melihat sambutan Pesta Cahaya yang berwarna-warni ini merupakan salah satu contoh momen kebersamaan kepada kita semua pada hari ini tanpa mengira kaum dan juga agama. Inilah nilai perpaduan yang sudah lama tersulam, dan saya sentiasa berdoa agar keharmonian ini sentiasa subur dalam kehidupan masyarakat.
Selain berkongsi dan meraikan kepelbagaian budaya daripada segi makanan, pakaian tradisi dan sebagainya, rakyat Malaysia khususnya di Pulau Pinang sememangnya sangat berbesar hati untuk turut meraikan perayaan semua kaum di Malaysia. Kebiasaan ini sekaligus mencerminkan nilai kasih sayang dan saling menghormati antara kita yang sentiasa menginginkan keharmonian berbanding perbalahan.
Nilai perpaduan merupakan intipati yang amat penting bagi membentuk sebuah masyarakat atau tamadun yang yang berdaya saing dan maju. Oleh itu, dalam era pembangunan yang semakin pesat pada hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus sentiasa memperkasakan peranan setiap lapisan masyarakat termasuk masyarakat India baik dari segi politik, sosial mahupun ekonomi. Usaha ini adalah bagi memastikan tiada pihak yang tercicir atau tersisih daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk maju bersama bagi mencapai gagasan Visi Penang2030.
Bagi menjamin masa depan negara yang lebih utuh dengan kepimpinan pemimpin yang berilmu dan berwawasan, saya yakin pentingnya pembentukan awal dari segi sahsiah serta ilmu pengetahuan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat menitikberatkan aspek akademik anak-anak di negeri ini. Seperti yang telah saya ungkapkan dalam perutusan sambutan Deepavali pada 10 November lalu, Pulau Pinang adalah negeri pertama dalam negara yang menyediakan peruntukan khas untuk sekolah-sekolah Tamil melalui bajet tahunan sejak dari tahun 2009.
Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan hadirin yang dikasihi sekalian,
Lebih RM25 juta telah disalurkan kepada 28 sekolah untuk pelbagai pembangunan pendidikan. Malah, di bawah kerangka Visi Penang2030 juga, Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan peruntukan geran tahunan kepada RM2 juta setahun kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) untuk melaksanakan sebarang projek atau program khas yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan pendidikan, infrastruktur dan juga perubatan khas kepada masyarakat India di negeri ini. Saya yakin, peruntukan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan pengurusan yang telus dan adil oleh barisan kepimpinan HEB yang baru dilantik.
Malah pada 15 Oktober lalu, saya telah menyampaikan inisiatif secara one-off kepada 264 pelajar berketurunan India melalui biasiswa pendidikan oleh HEB. Percayalah, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memberi sokongan dan sumbangan kepada anak muda dalam pembangunan sosial khususnya pendidikan. Semoga inisiatif-inisiatif yang telah diberikan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat India secara keseluruhan khususnya dalam terus menyuntik semangat mereka untuk terus memperkasakan kemajuan negeri Pulau Pinang yang dicintai ini.
Saya tidak ingin berucap panjang, sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2023 pada hari ini. Semoga kita semua melangkah maju selaras Visi Penang2030, dan pada masa sama menyimpulkan ikatan tali perpaduan antara kita semua yang mana saat indah ini membawa keriangan kenangan tidak dapat dilupakan.
Sekali lagi, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan yang sudi memeriahkan penganjuran pada hari ini. Malah, kepada semua yang berada di sini dengan semangat kesepakatan, sesungguhnya semangat dan senyuman yang terukir adalah amat bermakna kepada saya dan juga barisan kepimpinan saya.
Deepavali Valthukkal! Sekian terima kasih.