MAJLIS "FELLOWSHIP NIGHT 2023'' ANJURAN MAJLIS DATO-DATO NEGERI PULAU PINANG  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS "FELLOWSHIP NIGHT 2023'' ANJURAN MAJLIS DATO-DATO NEGERI PULAU PINANG

 

28 NOVEMBER 2023 | 8.30 MALAM

 

EVERGREEN LAUREL HOTEL

 

 

YB. Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I,

dan isteri YBhg. Datin Noraini Binti Abdul Jalil

YB. Tuan Jagdeep Singh Deo a/l Dato’ Seri Utama Karpal Singh

Timbalan Ketua Menteri II

YB. Dato’ Hj. Rosli bin Isa

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB. Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YBhg. Dato’ Seri (Dr.) Hj. Abdul Rafique bin Abdul Karim

Presiden, Majlis Dato’ Dato’ Negeri Pulau Pinang

YA. Dato’ Anand Ponnudurai

Hakim, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

YDH. DCP Datuk Mohamed Usuf bin Jan Mohamad

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang

YBhg. Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Datin Seri-Datin Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin,

Rakan - Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Selamat petang, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan ke Majlis ‘Fellowship Night 2023’ pada petang yang berbahagia ini.

Malah, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden, Dato’ Seri (Dr.) Hj. Abdul Rafique bin Abdul Karim dan seluruh Majlis Pengurusan Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang atas penganjuran majlis pada hari yang berbahagia ini.

Hadirin sekalian,

Secara peribadi, saya berasa amat bersyukur dengan jemputan ke majlis sebegini kerana ia merupakan salah satu platform untuk saya bertemu dengan anda semua, insan-insan yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada negeri Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk merealisasikan Visi Penang2030 iaitu untuk bersama-sama seluruh rakyat negeri ini dalam memastikan perkembangan pesat pembangunan sosio-ekonomi masyarakat secara menyeluruh. Dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang senantiasa berdedikasi berhubung percambahan idea demi pembangunan sosial Pulau Pinang sebagaimana dimainkan oleh Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang, saya yakin matlamat yang disasarkan akan lebih cepat dicapai.

Sebagaimana diketahui umum, Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang merupakan salah satu NGO yang terkemuka di Pulau Pinang yang sering menganjurkan pelbagai jenis program serta aktiviti kemasyarakatan serta kebajikan yang bermanfaat kepada masyarakat umumnya seperti Majlis Jalan Amal Mesra Bersama Tuan Yang Terutama, Majlis Malam Penaung, Program Derma Darah dan lain-lain berkaitan.

Sebagai Ketua Menteri, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan berharap semoga semangat kerjasama ini dapat terus mekar demi pembangunan sosial di negeri ini. Ketahuilah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat menghargai peranan dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh para NGO kerana anda semua adalah salah satu agen yang membantu kerajaan mengambil tindakan yang lebih proaktif untuk menyelesaikan isu yang membelenggu masyarakat tempatan.

Hadirini sekalian,

Saya difahamkan bahawa sambutan ’Fellowship Night 2023’ ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli-ahli majlis yang lama dan baharu untuk saling mengenali dan beramah mesra dengan barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli yang baharu diterima ke Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang ini. Mereka adalah kalangan individu yang telah dikurniakan darjah-darjah kebesaran seperti Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN), Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Ke-74 baru-baru ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Ingin saya mengingati sesama kita bahawa adalah menjadi amanat masing-masing untuk kita semua saling menjaga tingkah-laku dan budi pekerti tanpa mengira latar belakang atau pangkat. Dengan rezeki yang telah dikurniakan kepada kita semua di sini, teruskanlah menjadi teladan yang baik sebagai pemimpin dan rakyat yang dihormati oleh masyarakat secara keseluruhan. Jadikanlah sifat hormat-menbhormati dan baik hati sebagai pedoman untuk kita semua meneruskan kehidupan seharian.

Sebagai penutup bicara, sekalung penghargaan diucapkan kepada barisan penganjur yang menjayakan penganjuran yang penuh bermakna ini. Bersama-samalah kita berganding bahu dan berusaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri yang maju jaya dalam merealisasikan Visi Penang2030.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang