UCAPAN PENGGULUNGAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2024   MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KELIMA BELAS PADA 30 NOVEMBER 2023 (KHAMIS)

UCAPAN PENGGULUNGAN

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2024

 

MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KELIMA BELAS

PADA 30 NOVEMBER 2023 (KHAMIS)

 

OLEH

 

YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW,

KETUA MENTERI PULAU PINANG

MERANGKAP

PENGERUSI JAWATANKUASA MMK

KEWANGAN, PEMBANGUNAN EKONOMI & TANAH DAN KOMUNIKASI

 

Selamat Sejahtera dan Salam Penang2030.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Yang Berhormat Ketua Pembangkang,

Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,

Ketua-Ketua Jabatan,

Rakan-Rakan Media, serta

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

PENDAHULUAN

  1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2024. Segala cadangan dan komen positif yang dibangkitkan ketika perbahasan sememangnya akan diambil kira untuk penambahbaikan selaras dengan hasrat kita untuk merealisasikan kejayaan Visi Penang2030- Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

KEWANGAN NEGERI

 

  1. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA telah melaporkan bahawa Ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK sebanyak RM112.1 bilion. Ini menjadikan KDNK Negeri Pulau Pinang bukan sahaja berkembang melebihi pertumbuhan KDNK nasional, malah mengatasi KDNK negeri-negeri lain dalam negara.

 

3.     Antara elemen pendorong kepada peningkatan KDNK Pulau Pinang pada tahun 2022 yang tinggi berbanding tahun 2021 ini adalah peningkatan aktiviti pelancongan dengan kehadiran tetamu hotel yang terdiri daripada pelancong asing melonjak kepada 5.58 juta orang pada tahun 2022 berbanding hanya 1.32 juta orang pada tahun 2021. Selain itu, terdapat lonjakan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan, utiliti, pengangkutan, maklumat dan komunikasi.

  1. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Batu Lanchang, pelaburan Kerajaan Negeri dalam pasaran saham adalah melalui pegangan saham beberapa syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu Petronas Dagangan Bhd., Tenaga Nasional Bhd., Telekom Malaysia Bhd., Axiata Bhd., Malaysia Airport Holdings Bhd., PBA Holdings Bhd dan Maxis Bhd. Sehingga 27 November 2023, Kerajaan Negeri memperolehi pulangan dividen berjumlah RM8,510,456.02 ke atas saham-saham yang dipegang ini.
  1. Nilai kos saham-saham tersebut adalah sebanyak RM233,964,073.19. Manakala nilai pasaran keseluruhan saham-saham tersebut di Bursa Malaysia pada 27 November 2023 adalah sebanyak RM362,855,907.82. Sekiranya saham-saham tersebut dijual mengikut harga pasaran semasa, Kerajaan Negeri akan memperoleh lebihan atau keuntungan berjumlah RM128,891,834.63.
  1. Saham-saham ini dimiliki oleh Kerajaan Negeri melalui belian ke atas tawaran langganan terbitan awal (IPO) dengan harga saham ditetapkan oleh syarikat yang membuat penyenaraian di Bursa Malaysia. Cadangan dan keputusan mengenai pembelian atau penjualan saham perlu diangkat untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
  1. Bagi saham Maxis yang dipegang oleh Kerajaan Negeri, ia adalah belian saham melalui peruntukan dari Akaun Amanah Kumpulan Wang Amanah Pelaburan Negeri Pulau Pinang. Bagi tujuan pentadbiran Akaun Amanah Kumpulan Wang Amanah Pelaburan Negeri Pulau Pinang ini, satu jawatankuasa yang disebut sebagai Lembaga diwujudkan. Sebarang bentuk pelaburan yang menggunakan Akaun Amanah Kumpulan Wang Amanah Pelaburan Negeri, termasuk cadangan melabur dalam ekuiti atau saham, perlu dibentang untuk perbincangan dan kelulusan Ahli Lembaga Kumpulan Wang Amanah Pelaburan Negeri (LKAPP). Begitu juga keputusan bagi pelupusan saham yang akan dilaksanakan, ianya berdasarkan keputusan mesyuarat LKAPP. Ahli LKAPP adalah terdiri daripada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai Pengerusi, tiga (3) Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri dan YB Penasihat Undang-undang Negeri  serta seorang (1) pegawai dari Jabatan Kewangan Negeri sebagai Setiausaha.
  1. Sehingga kini, saham-saham ini dipegang bagi mendapatkan pulangan dividen yang menyumbang kepada hasil negeri.
  1. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Bukit Tengah berkaitan perancangan Kerajaan Negeri dalam menjana pendapatan dan cadangan kajian pelaburan bagi memberi pulangan semula kepada negeri, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kewangan Negeri sentiasa mengkaji peluang untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan dalam pasaran kewangan melalui simpanan tetap dan lain-lain instrumen kewangan yang bersesuaian. Ini dilakukan dengan meneliti risiko-risiko pelaburan yang wujud tetapi dapat memberikan pulangan atau hasil yang stabil dan mapan kepada Kerajaan Negeri, melalui lebihan kewangan yang ada.
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dalam usaha untuk meningkatkan dan menambahbaik sumber pendapatan negeri. Merujuk kepada cadangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Bukit Tengah dan juga Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang semasa ucapan perasmian DUN ke-15 pada 17 November 2023, Sovereign Wealth Fund seperti diketahui telah diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia melalui penubuhan Khazanah Nasional Berhad atau dikenali sebagai Khazanah. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan anak syarikat yang berupaya menjana sumber pelaburan negeri. Sebagai contoh, Penang Development Corporation (PDC) yang meneroka bidang baru terutamanya dalam aspek pelaburan hartanah dan sumber pendapatan baharu. Walau bagaimanapun, pada masa ini, PDC masih belum mampu memberikan sumbangan semula kepada Kerajaan Negeri seperti mana yang dilakukan oleh Petronas di peringkat Kerajaan Persekutuan.
  1. Kerajaan Negeri percaya bahawa PDC dan juga anak-anak syarikat Kerajaan Negeri yang lain sentiasa komited untuk menyumbang semula kepada Kerajaan Negeri pada masa akan datang. Sungguhpun begitu, cadangan yang dikemukakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang adalah bernas dan akan dikaji dari setiap aspek sebelum tindakan proaktif diambil bagi membolehkan pendapatan negeri dapat dijana dengan lebih baik.
  1. Kerajaan Negeri juga menyambut baik cadangan untuk mewujudkan Zon Kewangan Khas di Pulau Pinang seperti mana di Forest City, Johor. Zon Kewangan Khas dilihat sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan dan merancakkan industri pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi sesebuah bandar atau kawasan. Hal ini kerana kos-kos seperti pengurusan, pendidikan, kesihatan, perniagaan adalah lebih berpatutan di kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Kewangan Khas dengan bantuan dan inisiatif daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Namun begitu, Kerajaan Negeri memerlukan kajian yang lebih komprehensif sebelum memutuskan untuk mewujudkan Zon Kewangan Khas di Pulau Pinang. Sekiranya Kerajaan Negeri memutuskan untuk mewujudkan zon tersebut, sokongan Kerajaan Persekutuan adalah penting. Ini berikutan, ia akan turut melibatkan pelbagai insentif percukaian.

PERUNTUKAN BAJET MENGURUS DAN PEMBANGUNAN TAHUN 2024

 

  1. Bajet 2024 disediakan berdasarkan pendekatan Bajet Berasaskan Hasil (Outcome-Based Budgeting-OBB) dengan menitikberatkan keberhasilan yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri secara amnya. Walaupun menyedari limitasi kemampuan fiskal negeri yang memperlihatkan jurang defisit yang semakin melebar, Kerajaan Negeri tetap komited merangka dan melaksanakan projek dan program untuk memacu pertumbuhan sosio ekonomi negeri dan seterusnya memastikan Visi Penang2030 berada pada landasan yang betul.
  1. Kerajaan Negeri tidak menafikan bahawa Bajet 2024 menunjukkan unjuran defisit berjumlah RM514.52 juta berbanding defisit tahun 2023 berjumlah RM467.12 juta iaitu penambahan sebanyak RM47.40 juta. Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira semua komitmen Kerajaan Negeri dan anggaran hasil Kerajaan Negeri Tahun 2024 yang terhad berjumlah RM533.08 juta, maka bajet defisit ini tidak dapat dielakkan. Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM1,047.60 juta ini perlu dibajetkan untuk memastikan jentera pentadbiran negeri beroperasi dengan efisien, menyediakan platform yang kondusif untuk menjana semula aktiviti ekonomi negeri, dan memastikan program kebajikan serta bantuan rakyat dapat diteruskan.
  1. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Penanti, anggaran perbelanjaan mengurus negeri pada tahun 2024 adalah lebih tinggi berbanding 2023 adalah disebabkan oleh peningkatan emolumen serta pelarasan harga kontrak bagi perolehan kerajaan. Pelarasan harga kontrak perolehan kerajaan adalah disebabkan oleh kenaikan kos bahan mentah serta pelaksanaan Perintah Gaji Minimum. Selain itu, kos pengurusan negeri turut meningkat disebabkan oleh faktor-faktor luar kawalan seperti peningkatan tarif utiliti, sewaan dan bahan bakar.

16.   Menjawab kepada soalan Yang Berhormat Seberang Jaya mengenai peruntukan dan perbelanjaan bagi Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI). Pada masa kini, peruntukan dan perbelanjaan CMI adalah selaras dengan pekeliling kewangan sedia ada di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) iaitu Bajet Mengurus dan Bajet Pembangunan. Selepas CMI diperbadankan sepenuhnya dan Kumpulan Wang Disatukan diwujudkan dengan akaun sendiri, maka penyata kewangan akan disediakan secara tahunan.

  1. Kerajaan Negeri akan menampung defisit tahun 2024 daripada rizab Kerajaan Negeri, termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki sebanyak RM1.67 billion pada 15 November 2023. Menjawab kepada soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Sungai Dua, Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa langkah bagi mengisi rizab negeri yang semakin berkurangan dengan meningkatkan jumlah terimaan hasil negeri dan mengurangkan jumlah tunggakan hasil negeri. Usaha bagi menambah kutipan hasil ini dilaksanakan melalui beberapa kaedah seperti penubuhan pasukan petugas khas (taskforce) di setiap daerah yang memainkan pelbagai peranan dalam meningkatkan kutipan hasil cukai tanah dan cukai petak, melakukan semakan cukai tanah di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan melancarkan Portal PgLand yang bermatlamat memudahkan orang awam untuk melakukan urusan berkaitan cukai tanah dan cukai petak secara atas talian. Selain itu, terdapat cadangan pengkelasan semula tanah desa ke tanah bandar melalui Seksyen 11 (ca) dan (d) KTN yang mana PBN berkuasa untuk mengubah atau meminda sempadan mana-mana daerah, daerah kecil, mukim, bandar atau pekan dan/atau menetapkan mana-mana kawasan negeri sebagai bandar atau pekan (selepas pengukuran dilakukan oleh Pengarah Ukur dan Pemetaan atau bagi pihaknya). Pemindaan sempadan ini boleh dilakukan melalui pemberitahuan dalam Warta. Sekiranya dapat dilaksanakan, hasil Kerajaan Negeri dijangka akan meningkat kerana kadar cukai tanah bandar lebih tinggi berbanding tanah desa.
  1. Kerajaan Negeri komited dan serius dalam usaha mempelopori penjanaan pendapatan baharu menerusi lain-lain sumber demi terus memacu pembangunan negeri ini secara menyeluruh. Antaranya, eksplorasi dan pemetaan hidrokarbon seismic membabitkan sumber minyak serta gas yang berkualiti tinggi kini sedang dijalankan di perairan Pulau Pinang dan dijangka selesai pada penghujung tahun ini. Syarikatminyak dan gas multinasional negara yang merupakan pihak yang melaksanakan kajian berkaitan akan membentangkan hasil penemuan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang kelak.
  1. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menerokai peluang-peluang pelaksanaan Projek Secara Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang boleh menjana hasil kepada Kerajaan Negeri.

20.   Projek Gurney Bay telah menarik minat ahli dewan yang mulia ini di mana keseluruhan kos projek adalah sebanyak RM221.0 juta. Kos projek ini telah mula diperuntukkan sejak tahun 2022 dan pada Bajet 2024, sebanyak Ringgit Malaysia Lapan puluh juta (RM80 juta) adalah diperuntukkan untuk projek Gurney Bay. Projek ini akan memberikan impak positif kepada ekonomi negeri Pulau Pinang.

21.   Projek Gurney Bay adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyediakan kawasan rekreasi hijau (green space) di kawasan Bandar Gurney selaras dengan Visi Penang2030 di bawah tema A4: Mempelbagaikan kemudahan sukan, rekreasi, kesenian dan kebudayaan. Selain itu, projek ini juga sejajar dengan UN Habitat SGD Goals dan merupakan satu produk untuk mewujudkan kawasan / ruang hijau sebagai komponen dalam urban living.

22.   Di dalam komponen projek Gurney Bay juga merangkumi dua (2) water body yang dinamakan sebagai water body ‘A’ dengan keluasan 6.95 ekar (302,742.00 kp) dan water body ‘B’ dengan keluasan 7.91 ekar (344,559.00 kp). Kini, kerja-kerja tambakan bagi water body ‘B’ sedang dijalankan di tapak dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2024.  Manakala, kerja-kerja tambakan water body ‘A’ dijadualkan bermula pada awal tahun 2024 selama 18 bulan.

23.   Gurney Bay akan dilengkapi dengan kemudahan tempat letak kereta. Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 800 lot tempat letak kereta, 238 lot tempat letak motosikal dan 12 lot tempat letak bas. Bagi mengurangkan carbon footprint, pengangkutan teksi air juga akan dilaksanakan di Gurney Bay.

24.   Sebagai kaedah penjanaan pendapatan melalui projek Gurney Bay, kedua-dua water body akan dijadikan sebagai satu landbank untuk dan mengikut harga pasaran terkini, nilai tanah di kawasan Persiaran Gurney adalah di antara RM900.00/kp bagi tanah yang menghadap ke kawasan Persiaran Gurney berdekatan bangunan-bangunan sedia ada dan RM1,300.00/kp bagi tanah menghadap ke kawasan persisiran Pantai menghadap ke Pulau Andaman, maka anggaran pulangan kepada Kerajaan Negeri melalui kedua-dua tapak tanah tersebut adalah bernilai  RM800 juta (anggaran berdasarkan harga pasaran sedia ada). Walau bagaimanapun, nilaian tanah akan dimuktamadkan setelah kerja-kerja tambakan selesai disempurnakan dan ukur halus dilaksanakan pada akhir tahun 2024.

25.   Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji beberapa cadangan aktiviti komersial tambahan yang akan diusahakan mengikut model PPPP di Gurney Bay seperti Eye of Penang, Viewing Tower, Floating ferry, ferris wheel dan theme parks. Terdapat cadangan supaya semua projek ini dilaksanakan melalui proses tender / RFP secara terbuka.

26.   Cadangan penubuhan Special Purpose Vehicle (SPV) baharu oleh Yang Berhormat Pulau Tikus untuk menguruskan Gurney Bay adalah disambut baik. Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira keadaan kewangan Kerajaan Negeri pada masa kini, cadangan penubuhan SPV akan dikaji keperluannya pada masa hadapan.

  1. Bajet Pembangunan Tahun 2024 yang dicadangkan adalah berjumlah RM374,718,160.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Tujuh Puluh Empat Juta,Tujuh Ratus Lapan Belas Ribu, Seratus Enam Puluh) bagi sembilan (9) jabatan negeri seperti perincian di Risalah Bil. No. 7 Tahun 2023. Sumber bagi Perbelanjaan Pembangunan ini adalah melibatkan punca negeri sebanyak RM353.12 juta dan pemberian Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan sebanyak RM21.60 juta. Bajet Pembangunan tahun 2024 adalah meningkat sebanyak RM47.96 juta atau 14.68 peratus, berbanding tahun 2023 yang berjumlah RM326.76 juta.
  1. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Kebun Bunga, unjuran sebanyak RM21.0 juta yang dijangka diterima oleh Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2024 bagi maksud Kumpulan Wang Pembangunan Negeri. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM20.553 juta diberikan oleh Kerajaan Persekutuan berdasarkan kepada Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP). Pemberian TAHAP oleh Kerajaan Persekutuan adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu seperti populasi. Manakala sebanyak RM1.05 juta diunjurkan bagi pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang. Sebagai makluman, selain daripada peruntukan berkaitan bajet pembangunan negeri, Kerajaan Persekutuan juga menyalurkan Peruntukan Malaysian Road Record Information System (MARRIS) yang bertujuan untuk menyelenggara jalan-jalan negeri. Seperti mana peruntukan TAHAP dan peruntukan EFT, peruntukan MARRIS secara dasarnya disalurkan berpandukan kepada panjang jalan negeri yang didaftarkan di dalam sistem MARRIS. Sebagai tambahan, Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan sejumlah RM25.0 juta bagi pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town.
  1. Kejayaan pembangunan dan pemulihan ekonomi yang dicapai sehingga kini adalah hasil usaha bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berganding bahu demi memastikan pelaksanaan projek atau program yang memberikan manfaat kepada rakyat. Penyediaan peruntukan kepada inisiatif berimpak tinggi juga merupakan salah satu strategi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negeri. Saya ingin menekankan bahawa hala tuju Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 adalah selari dengan hasrat yang diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Di kesempatan ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kerjasama yang telah diberikan dan diharapkan agar hubungan ini berkekalan dan dapat dieratkan lagi pada masa hadapan.

30.   Bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang sekian lama kita nanti-nantikan, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Bilion (RM10 bilion) bagi pelaksanaan jajaran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke KOMTAR dan seterusnya ke Seberang Perai. Projek ini dilihat akan memberi impak kepada penyuraian kesesakan lalu lintas dan seterusnya menarik minat kepada pelancong serta pelabur ke negeri ini.

  1. Walau bagaimanapun, adalah menjadi fokus Kerajaan Negeri untuk memastikan keutamaan diberikan dalam meluluskan peruntukan yang lebih tinggi oleh Kerajaan Persekutuan supaya program dan projek dapat dilaksanakan dengan segera kepada rakyat di negeri ini. Perkara ini sering dibangkitkan melalui medium yang bersesuaian seperti Mesyuarat Majlis Kewangan Negara dan mesyuarat-mesyuarat lain yang melibatkan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

 

32.   Kerajaan Negeri juga menyahut baik cadangan daripada Yang Berhormat ADUN Sungai Dua supaya mempertimbangkan pemberian peruntukan yang adil kepada ADUN Pembangkang untuk dinikmati oleh rakyat negeri ini tanpa mengira perbezaan ideologi politik, agama dan bangsa. Peruntukan yang lebih adil kepada ADUN Pembangkang akan diteliti dan disemak semula oleh Kerajaan Negeri berdasarkan kepada dasar-dasar semasa.

  1. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Sungai Dua dan Bukit Tambun, geran-geran kepada Anak-anak Syarikat, Badan-badan Berkanun Negeri dan lain-lain Agensi adalah geran peruntukan kegunaan perbelanjaan mengurus. Golongan sasar yang menerima manfaat daripada geran-geran ini adalah berdasarkan kepada fungsi anak syarikat/ badan berkanun itu sendiri. Sebagai contoh, golongan sasar yang menerima peruntukan daripada Penang Women Development Corporation (PWDC) adalah golongan wanita. Berdasarkan kepada perincian agihan geran sebanyak RM98.5 juta pada tahun 2024 adalah seperti berikut:

Pemberian Geran Oleh Kerajaan Negeri kepada Agensi / Anak Syarikat /

Badan Berkanun Negeri Bagi Tahun 2024

     

Bil

Tajuk

Anggaran Tahun 2024

(RM)

1

Penang Global Tourism Sdn Bhd

7,000,000.00

2

Penang International Convention & Exhibition Bureau (PICEB)

5,000,000.00

3

George Town World Heritage Incorporated (GTWHI)

 
 

-  Mengurus (termasuk GTHC)

3,000,000.00

 

-  George Town Festival

1,000,000.00

4

Penang Woman Development Corporation (PWDC)

2,000,000.00

5

HARMONICO

1,300,000.00

6

Digital Penang

4,000,000.00

7

Penang STEM

600,000.00

8

Penang Science Cluster

800,000.00

9

Penang Tech Centre Bhd (Tech Dome)

850,000.00

10

Penang Green Council (PGC Strategies Sdn Bhd)

2,000,000.00

11

Penang Youth Development Corporation (PYDC)

1,500,000.00

12

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP)/PFC

8,000,000.00

13

PIHH Development Sdn Bhd (Halal Hub)/PHI

1,800,000.00

14

PTMP/PICSB

8,000,000.00

15

Invest Penang

1,800,000.00

16

Penang Institute

5,500,000.00

17

Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP)

1,600,000.00

18

Perbadanan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang

 8,000,000.00

19

Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang

5,000,000.00

20

Lembaga Wakaf Hindu

 1,500,000.00

21

Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang

 13,000,000.00

22

Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang

 2,000,000.00

23

Majlis Sukan Negeri

 12,000,000.00

24

Penang Philharmonic

 250,000.00

25

George Town Conservation & Development Corporation

 1,000,000.00

 

JUMLAH

98,500,000.00

34.     Menjawab kepada soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Berapit, KPI telah disediakan untuk semua kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) demi memastikan pencapaian dan hala tuju tercapai. Kenaikan gaji adalah berdasarkan prestasi kerja dan pencapaian tahunan termasuk pencapaian KPI yang ditetapkan, rekod kehadiran yang baik dan prestasi tanpa tindakan disiplin. Penilaian KPI dilaksanakan berdasarkan Laporan Penilaian Prestasi pegawai yang mana ianya akan menentukan peratusan kenaikan gaji seseorang pegawai. Kenaikan gaji tahunan bagi GLC adalah di dalam lingkungan dua peratus (2%) sehingga 10% daripada gaji pokok.

35.   Untuk makluman Yang Berhormat Berapit, tiada sebarang ganjaran yang diberikan kepada  Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah GLC kecuali elaun menghadiri mesyuarat kepada Pengerusi adalah di antara RM250.00 sehingga RM400.00, manakala elaun bagi Ahli Lembaga yang menghadiri mesyuarat adalah RM200 sehingga RM350.00.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

PEMBANGUNAN EKONOMI

 

36.   Projek pembangunan hospital sebanyak 66 peratus dan service suites dan hotel sebanyak 34 peratus di Taman Manggis, George Town oleh Kuala Lumpur International Dental Center Sdn. Bhd. (KLIDC) telah melalui proses perolehan tender terbuka. Tanah yang didaftarkan adalah pegangan pajakan negeri yang tidak boleh dipinda milik, cagar, pajak, pajakan kecil atau sebarang bentuk urusniaga melainkan setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Machang Bubuk, KLIDC telah membuat pembayaran sebanyak RM10,323,459.42 merangkumi pembayaran pemajuan pembangunan, sumbangan untuk pembinaan dan menaiktaraf serta persimpangan, sewa tempat kerta di tapak, caruman perparitan, cukai taksiran, cukai tanah dan sebagainya.

 

37.   Berdasarkan kepada soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Bukit Tambun berkenaan perancangan untuk membangunkan semula Tapak Pesta agar lebih berdaya saing di samping menjenama semula Pesta. Sidang Dewan yang dimuliakan, terdapat beberapa bercadang untuk mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi dan sosialisasi dengan mempelbagaikan lagi aktiviti dan program yang boleh dianjurkan sepanjang tahun iaitu Bazar Ramadan dan Aidilfitri, ekspo jualan produk-produk tempatan, tapak Urban Street Dining, Ruang Seni Komuniti, Taman Komuniti atau Taman Semaian Komuniti, program dan aktiviti melibatkan kerjasama dan kunjungan antarabangsa. Tapak Pesta ini mungkin turut akan terlibat dengan pembangunan projek LRT namun masih menunggu cadangan muktamad dari MRT Corp.

 

PEMBANGUNAN TANAH DI PULAU PINANG

 

38.   Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Machang Bubuk, terdapat tiga (3) lot tanah milik yang dikenal pasti milik syarikat 1MDB iaitu di GRN4661, GRN53264 Mukim 13, Daerah Timur Laut dan GRN43187 Seksyen 3, Bandar Ayer Itam, Daerah Timur Laut. Ketiga-tiga hak milik didaftarkan atas nama 1MDB RE (Air Itam) Sdn. Bhd. yang ditukar nama kepada Ayer Itam Properties Sdn. Bhd. pada 17 April 2018. Tanah 1MDB yang dimaksudkan di Air Itam tersebut adalah di bawah kategori First Grade. Kaveat pendaftar telah dimasukkan ke atas ketiga-tiga hak milik pada 11 Julai 2018 dan masih berkuat kuasa sehingga kini. Terdapat juga notis penyitaan dan kaveat pendaftar yang didaftarkan atas permintaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Proses kaveat hanya menghalang urusniaga dan tidak menghalang pembangunan. Pemilik-pemilik tanah boleh membangunkan tanah tersebut dengan kelulusan Kebenaran Merancang.

39.   Seperti sedia maklum, beberapa negeri di Malaysia termasuk Kedah, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Johor dilaporkan mempunyai sumber REE iaitu unsur nadir bumi yang berpotensi sebagai sumber pendapatan negeri masing-masing.

40.   Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Bagan Dalam, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah meluluskan Negeri Perak iaitu di kawasan Kenering, Daerah Gerik sebagai projek perintis (pilot project).

41.   Pelaksanaan projek ini telah melalui beberapa proses pra-pelaksanaan antaranya termasuk melaksanakan kajian EIA. Penyediaan garis panduan serta beberapa syarat-syarat konsultansi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

42.   Mesyuarat Majlis Mineral Negara dan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) telah diadakan dan dibincang kerana di peringkat pusat telah bersetuju dengan penyediaan Garis Panduan Pengeluaran Mineral Nadir Bumi yakni Rare-Earth Element (REE). Namun pihak Kementerian masih belum mengedarkan kepada negeri-negeri dan kemungkinan sedang dimurnikan syarat-syarat yang patut dimasukkan. Dokumen SOP ini menjelaskan secara holistik mengenai rantaian aktiviti perlombongan dan prosedur yang perlu dipatuhi agar aktiviti yang dijalankan menepati kehendak perundangan dan keselamatan yang berkaitan. Prosedur ini ditetapkan bagi memelihara kemampanan industri perlombongan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk serta perlindungan terhadap alam sekitar.

43.   Bagi Negeri Pulau Pinang, berdasarkan kajian persampelan di beberapa lokasi seperti Teluk Bahang, Balik Pulau dan di sekitar Nibong Tebal oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), didapati Pulau Pinang juga mempunyai sumber nasir bumi yang dianggarkan bernilai RM100.0 billion.

44.   Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sedang mengatur perbincangan dengan JMG untuk mendapatkan khidmat nasihat.

45.   Pada masa ini, Pulau Pinang telah mempunyai Enakmen Mineral (Pulau Pinang) 2001 yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2006. Bagi melancarkan pelaksanaan Enakmen Mineral ini, Peraturan-Peraturan Mineral Pulau Pinang perlu diwujudkan yang antara lainnya diperlukan bagi penetapan fi, sewa dan royalti dan kaedah memungutnya, penetapan kesalahan yang boleh dikompaun dan kaedah bagi mengkompaun kesalahan, kebenaran remitan, rebat atau tangguhan pembayaran sewa dan fi, penetapan kuasa dan kewajipan pegawai di bawah Enakmen, menetapkan kandungan mana-mana kajian kebolehlaksanaan, pelan pemulihan, pengukuran, pelan, laporan dan apa-apa taksiran lain yang perlu bagi maksud Enakmen, penetapan aktiviti yang tidak dibenarkan dalam sesuatu rizab mineral dan membuat peruntukan bagi apa-apa perkara lain yang pada amnya menguatkuasakan peruntukan Enakmen Mineral.

46.   Berdasarkan kepada soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bukit Tengah berkaitan status terkini kes satu (1) di mahkamah yang mana plaintif-plaintif yang terdiri daripada empat (4) pihak iaitu Batu Tiga Quarry Sdn. Bhd., Koperasi Gabungan Negeri Pulau Pinang,  Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai dan Syarikat Barkat Sdn. Bhd. menyaman Pentadbir Tanah SPT dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Status terkini kes adalah masih berjalan dan difahamkan tarikh perbicaraan seterusnya adalah pada bulan Disember 2023.

PENGURUSAN AIR PULAU PINANG

47.   Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, pada permulaannya fokus Kerajaan Negeri adalah mendapatkan air mentah daripada negeri Perak. Namun selepas beberapa siri perundingan dan surat menyurat kepada negeri Perak, Kerajaan Negeri tidak mendapat maklum balas yang positif dalam pembelian air mentah. Namun begitu, Negeri Perak telah menyatakan kesanggupan untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang. Apabila penjualan melibatkan air terawat, maka semestinya air dirawat terlebih dahulu di Perak sebelum dijual kepada Pulau Pinang dan adalah mustahil untuk loji rawatan berada di Pulau Pinang.

48.   Kerajaan Negeri tiada pilihan lain selain meneroka semua sumber-sumber yang ada agar dapat mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap sumber air dari Sungai Muda yang sedia kita maklum bahawa terdapat beberapa siri banjir lumpur berlaku yang telah menyebabkan gangguan air kepada ribuan pengguna. Justeru, pembelian air terawat yang dirawat terlebih dahulu di Perak adalah salah satu pilihan yang perlu dipertimbangkan dengan serius oleh Kerajaan Negeri.

49.   Merujuk soalan tambahan daripada Yang Berhormat Penaga, Kerajaan Negeri melalui PBAPP sentiasa meneroka sumber-sumber baharu yang berpotensi untuk dijadikan sumber bekalan air bagi Negeri Pulau Pinang. Walau bagaimanpun, kajian kebolehlaksanaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengenal pasti keperluan-keperluan teknikal dari segi kualiti dan kuantiti sumber tersebut sesuai untuk dijadikan sumber air. 

PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC)

  1. Merujuk kepada soalan Yang Berhormat ADUN Sungai Dua, peletakan jawatan oleh YBhg. Datuk Seri Lee Kah Choon sebagai Penasihat Khas Pelaburan Kepada Ketua Menteri serta sebagai Ahli Lembaga PDC dan Invest Penang adalah berikutan YBhg. Dato’ Seri Lee Kah Choon telah lama berhasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri (Special Investment Advisor to the Chief Minister), khususnya pada tahun 2022 bagi mengelakkan konflik kepentingan (conflict of interest) selepas dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah (non-independent director) di syarikat-syarikat tersenarai dalam Bursa Saham iaitu Federal Oats Mill Sdn. Bhd., Aemulus Holdings Bhd., L&P Global Bhd. dan Nation Gate Holdings Bhd. Namun begitu, saya telah memohon untuk menangguhkan peletakan jawatan ini sehingga selesai Pilihan Raya Negeri (PRN). Maka itu, sebaik selesai PRN, YBhg. Dato’ Seri Lee Kah Choon telah membuat permohonan semula peletakan jawatan ini dan saya menerima peletakan jawatan beliau pada akhir September 2023.

51.   Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan projek rejuvenasi KOMTAR oleh pihak PDC yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Komtar bagi kemajuan dan kegemilangan bangunan KOMTAR. Kerajaan Negeri melalui PDC akan sentiasa melibatkan pemegang taruh dan Yang Berhormat ADUN Komtar di dalam perancangan dan pelaksanaan rejuvenasi KOMTAR.

52.   Berkaitan dengan soalan tambahan daripada Yang Berhormat ADUN Air Putih berkenaan perubahan kolaborasi PDC dengan UMECH Construction Sdn. Bhd. kepada UMECH Land Sdn. Bhd., pertukaran rundingan ini telah dibentangkan dan dimaklumkan oleh pihak UMECH di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas bertarikh 28 November 2022, seterusnya dibentangkan oleh PDC di dalam Mesyuarat Lembaga PDC Bil. 1/2023 bertarikh 9 Februari 2023. Justeru itu, kenyataan bahawa perkara ini tidak dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat adalah tidak benar.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

KOMUNIKASI- PENCAPAIAN PENANG2030

 

  1. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam Memperkasa Rakyat Untuk Memperkukuh Penyertaan Awam melalui Strategik Inisiatif C2 – Meningkatkan Penyertaan Belia, Wanita dan Warga Emas dalam Kehidupan Masyarakat, Kerajaan Negeri komited untuk menerajui inisiatif utama bagi mengadakan program pembelajaran sepanjang hayat yang berkonsepkan bimbingan dan latihan sepanjang tahun.
  1. Sebagai makluman Yang Berhormat Machang Bubuk penubuhan Pusat Penang2030 ini adalah berperanan sebagai pusat guna sama literasi digital bagi menjalankan aktiviti pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti yang melibatkan pelbagai jabatan, agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di negeri Pulau Pinang. Pusat ini juga dijadikan platform untuk memperkasa rakyat dan menggalakkan keharmonian dalam masyarakat di negeri Pulau Pinang dari segi sosial, ekonomi, budaya, kreativiti, politik, literasi digital, media, sivik, etika, kesihatan dan kewangan di bawah tanggungjawab sepenuhnya ADUN kawasan.
  1. Maka, peranan Pusat Penang2030 adalah merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, umur, jantina, pekerjaan dan latar belakang. Keperluan pelaksanaan program/ aktiviti di setiap KADUN adalah berbeza mengikut kesesuaian dan perancangan YB ADUN kawasan masing-masing. Antaranya program-program yang telah dilaksana melibatkan warga emas adalah seperti klinik celik digital, mini karnival kesihatan, senamrobik, kelas yoga, program food bank dan sebagainya.

PENUTUP

 

56.   Pelbagai cabaran perlu dilalui seiring tanggungjawab berat yang digalas demi memastikan Pulau Pinang terus menjadi sebuah negeri maju di samping mencapai kedudukan ekonomi jitu serta cemerlang. Namun, dengan hasil komitmen yang tidak berbelah bagi daripada semua pemimpin, Jabatan, Agensi dan GLC yang membentuk jaringan kerjasama pelbagai pihak membolehkan Kerajaan Negeri menjalankan amanah untuk membangunkan negeri dan kemakmuran rakyat negeri Pulau Pinang.

57.   Usaha dan objektif yang disasarkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Konsep Malaysia Madani akan didukung di peringkat negeri dan diterjemahkan dalam Visi Penang2030. Semoga Bajet Tahun 2024 ini akan menjadi titik kebangkitan kita untuk sama-sama memulihkan ekonomi dan memacu negeri Pulau Pinang ke peringkat yang lebih tinggi selaras dengan Visi Penang2030- Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sekian, terima kasih.

Saya mohon menyokong.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang