MAJLIS SAMBUTAN HARI DEEPAVALI PDC 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI DEEPAVALI PDC 2023

5 DISEMBER 2023 (SELASA) | 12.30PM

ATRIUM, PDC

 

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas kesudian menjemput saya menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali pada hari ini. Masih belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Deepavali Naal Vaazhthukkal kepada semua terutama kepada seluruh kakitangan PDC yang beragama Hindu.

Hadirin sekalian,

Sebagai sebuah agensi yang mempunyai kakitangan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama, saya percaya PDC tidak pernah gagal untuk meraikan setiap perayaan masyarakat tempatan dengan penuh tradisi sebagai lambang meraikan nilai perpaduan dan hormat menghormati dalam kalangan warga kerja PDC. Saya difahamkan bahawa setiap kali menjelang perayaan, sebuah jawatankuasa akan dibentuk dalam kalangan warga kerja PDC bagi menggerakkan dan menjayakan majlis dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Syabas saya ucapkan!

Sebagaimana diketahui, PDC merupakan agensi Kerajaan Negeri yang berperanan dalam membangun serta memajukan negeri Pulau Pinang secara keseluruhan. Slogan ‘Spearheading Sustainable Growth’ yang dibawa sehingga kini juga adalah bertepatan dengan peranan PDC dalam mengembangkan kemajuan ekonomi di negeri ini. Serentak itu, PDC juga telah dipertanggungjawabkan menjadi tenaga pemikir kepada Kerajaan Negeri dalam merancang serta melaksanakan taman perindustrian dan pembangunan perbandaran, pembangunan semula bandar, menyediakan rumah mampu milik serta merancakkan industri pelaburan.

Kini, permintaan untuk tanah perindustrian semakin meningkat. PDC pada tahun ini juga telah membangunkan dua (2) kawasan perindustrian yang baru di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) iaitu Bandar Cassia Technology Park dan Batu Kawan Industrial Park 3 berkonsepkan Integrated Industrial Park dengan jumlah keluasan bersih seluas 673 ekar bagi memenuhi permintaan dari pelabur industri yang semakin meningkat.

Konsep pembangunan taman perindustrian baru oleh PDC tersebut adalah selari dengan arah tuju Kerajaan Negeri iaitu berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) yang mana penjenamaan semula taman-taman perindustrian baharu adalah perlu dibangunkan bagi merancakkan iklim pelaburan di Pulau Pinang.

Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam memacu ekonomi dengan menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pilihan pelabur bagi aktiviti-aktiviti perkhidmatan perniagaan global, hab penyelidikan & pembangunan (R&D) serta hab Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), maka PDC telah juga membangunkan projek GBS By the Sea, iaitu projek GBS ketiga PDC selepas GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri yang mana syarikat semikonduktor, AMD Global Services (M) Sdn. Bhd. juga akan menjadi salah satu penyewa yang terbesar dengan menyewa hampir 70 peratus ruang lantai bangunan tersebut. Projek GBS By the Sea berkaitan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024, dan sekaligus akan memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka masa panjang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan pelbagai projek yang telah dan sedang dalam proses mahupun yang masih di dalam peringkat perancangan, saya berbangga dengan pencapaian, semangat serta komitmen warga PDC yang tinggi untuk perubahan positif dan berharap ianya akan terus mendorong organisasi berkenaan ke tahap yang lebih tinggi. Justeru, saya berharap PDC akan terus meningkatkan prestasi kini supaya organisasi berkenaan dapat menjadi game changer dan terus menerajui pembangunan sosio ekonomi Pulau Pinang pada masa yang akan datang.

Sebagai penutup kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan majlis pada hari ini. Semoga kita semua dapat terus memperkasakan jalinan dan kerjasama erat ini untuk menggerakkan transformasi negeri Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan unggul, lokasi pilihan para pelabur serta pilihan penghuni yang inginkan kehidupan yang mampan dan berkualiti.

Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Deepavali PDC 2023 yang bertemakan Colourful Deepavali pada hari ini.

Sekian, terima kasih. Nandri, Vanakkam.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang