MAJLIS MAKAN MALAM MEP ENVIRO TECHNOLOGY SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN KE-17

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA 

MAJLIS MAKAN MALAM MEP ENVIRO TECHNOLOGY SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN KE-17

13 JANUARI 2024 (SABTU) | 7.00 PETANG

SPICE ARENA

 

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada MEP Enviro Technology atas kesudian menjemput saya menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Menyambut Ulang Tahun ke-17 MEP Enviro Technology pada hari yang berbahagia ini. Majlis ini adalah bagi menghargai usaha-usaha kelestarian, inovasi dan sumbangan daripada syarikat ini yang menjalankan kerja-kerja pengurusan sisa yang lebih lestari dan mampan di Pulau Pinang.

Sebagai Ketua Menteri, saya amat terharu dan bangga apabila berpeluang menyaksikan pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh syarikat tempatan khususnya yang bertapak di Pulau Pinang seperti MEP Enviro Technology. Selain daripada berkembang maju, syarikat ini turut menjadi pihak industri peneraju dalam menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang tidak hanya memberi sumbangan kepada ekonomi, malah juga kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar, selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Hadirin sekalian,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong penuh komitmen yang dimainkan oleh MEP Enviro Technology dalam usaha untuk memacu industri dan negeri ke arah kelestarian alam sekitar dan dunia yang lebih hijau. MEP Enviro Technology harus menjadi salah satu contoh yang menginspirasi bagi industri pengurusan sisa lain di Malaysia. Ditambah pula, beberapa tahun kebelakangan ini, prinsip ESG telah menjadi bualan hangat di peringkat global yang telah membentuk paradigma dalam kalangan pemain industri dalam pembuatan keputusan sama ada sektor perniagaan mahupun pelaburan.

Sebagaimana diketahui, prinsip ESG umumnya mencerminkan komitmen terhadap kelestarian, etika dan akauntabiliti. Sebagai salah sebuah negeri utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang secara terbuka menyokong penuh prinsip ESG bukan sahaja berjaya mengukuhkan status negeri sebagai pusat pelaburan serta perdagangan antarabangsa malah juga meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri peneraju dalam ekonomi hijau yang semakin mendapat perhatian di mata dunia. Hal ini sekaligus telah menarik banyak peluang pelaburan dan perniagaan daripada syarikat-syarikat yang memfokuskan pelaksanaan ESG sebagai teras utama syarikat masing-masing sebagai sebuah tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan alam sekitar.

Ini terbukti apabila Pulau Pinang disenaraikan sebagai penyumbang utama kepada pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan negara dengan menguasai 42 peratus bagi tempoh suku ketiga dari bulan Januari hingga September tahun 2023, sekaligus mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM44.9 bilion merentasi pelbagai sektor merangkumi sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan. Saya berharap, pada tahun ini Pulau Pinang akan meningkatkan lagi rekod ini disamping MEP Enviro Technology turut menyumbang kepada kejayaan yang bakal dicipta bersama.

Hadirin yang dihormati,

 

Saya juga dimaklumkan bahawa MEP giat melaksanakan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumbangan kepada setiap lapisan masyarakat yang memerlukan. Saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengalu-alukan usaha murni daripada pihak industri dalam membantu meningkatkan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat di samping memacu ekonomi yang mampan untuk negeri ini khususnya dan negara Malaysia yang tercinta, amnya.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan MEP Enviro Technology atas komitmen yang teguh kepada prinsip ESG, kelestarian, dan juga pelaksanaan inisiatif-inisiatif CSR. Semoga usaha perusahaan ini akan terus menjadi contoh dan memberi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain ke arah masa depan Pulau Pinang yang lebih mampan dan lestari. Semoga MEP Enviro Technology akan terus berjaya serta berdiri teguh bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menjadikan negeri ini sebuah negeri contoh dalam memastikan pembangunan yang lestari daripada segi sosioekonomi.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang