PELANCARAN PROGRAM PENANAMAN SATU JUTA POKOK DALAM SEHARI SEMPENA HARI BUMI
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA
PELANCARAN PROGRAM PENANAMAN SATU JUTA POKOK DALAM SEHARI SEMPENA HARI BUMI
22 JANUARI (ISNIN) | 3.45 PETANG
ANJUNG SERI MUTIARA
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya berasa amat bersyukur kerana pada petang ini kita semua dapat berkumpul bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Program Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari Sempena Hari Bumi yang diraikan saban tahun pada 22 April.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama, Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan YABhg. Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Binti Mohd. Nor atas kesudian untuk meluangkan masa bersama kita pada petang ini. Sesungguhnya kehadiran Tun dan Toh Puan telah menyerikan lagi majlis yang cukup bermakna ini.
Tuan Yang Terutama Tun, YABhg. Toh Puan serta para hadirin yang dihormati sekalian,
Inisiatif penanaman satu juta pokok ini adalah bertujuan untuk memelihara dan memuliharakan biodiversiti, di samping memitigasikan impak daripada perubahan iklim selari dengan usaha dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Saya yakin, dengan penglibatan komuniti, sektor kerajaan, badan korporat, dan sukarelawan, program ini dapat mewujudkan sinergi penjagaan alam sekitar yang berkekalan dalam kalangan masyarakat di negeri ini khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Tidak dinafikan bahawa usaha ini juga adalah selaras dengan pematuhan kepada kehendak Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 11) demi masa depan negara yang lebih lestari.
Harus saya akui, program menanam satu juta pokok pelbagai spesies dalam masa satu hari adalah langkah yang berani kerana kunci kejayaan kepada program ini memerlukan penglibatan daripada semua pihak.
Walau bagaimanapun, saya tidak teragak-agak dan yakin bahawa program ini akan menempah kejayaan yang besar sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang pertama berjaya menanam satu juta pokok dalam masa satu hari, sesuai dengan visi negeri ini iaitu menjadi inspirasi kepada negara.
Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun yang mencetuskan idea penanaman satu juta pokok dalam satu hari, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, YB Dato’ Seri Sundarajoo dan CEO Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Seri Sr. Hj. Rozali Bin Hj. Mohamud yang telah memikul tanggungjawab secara bersama bagi menjayakan program ini bersama-sama dengan kedua-dua Dato Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), para Pegawai Daerah serta Ketua-ketua Jabatan yang memastikan pelaksanaannya di kawasan jagaan masing-masing.
Tuan Yang Terutama Tun, YABhg. Toh Puan serta para hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagai pemimpin, saya sedar bahawa dalam usaha mewarisi sebuah negara kepada generasi muda tidak hanya terhad kepada usaha-usaha menstabilkan ekonomi, sosial dan politik semata-mata, namun yang paling penting adalah mewariskan kepada mereka dunia yang berdaya huni dengan persekitaran yang sihat, seimbang serta mampan. Alangkah indahnya sekiranya usaha-usaha memperkasakan golongan belia dan anak muda yang rancak dijalankan kini berjalan seiring dengan usaha pemulihan ekosistem demi masa depan yang lebih terjamin.
Inilah masanya untuk kita menelusuri apa yang telah terjadi kepada alam sekitar kita yang diakibatkan oleh kerakusan manusia sendiri yang mengejar keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar.
Saya sedar, dalam usaha menjadi sebuah negeri atau negara yang berdaya saing, pembangunan amat diperlukan bagi menjamin kehidupan seharian rakyat dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap, dalam masa sama mampu menarik para pelabur asing bagi meningkatkan pendapatan negeri atau negara.
Justeru, sebagai salah sebuah negeri utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sahaja menyokong penuh prinsip ESG, namun juga memfokuskan pelaksanaan ESG sebagai teras utama dalam projek-projek pembangunan negeri sebagai sebuah tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan alam sekitar. Usaha ini sekaligus telah meletakkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri peneraju dalam ekonomi hijau yang semakin mendapat perhatian di mata dunia.
Tuan Yang Terutama Tun, YABhg. Toh Puan serta para hadirin yang dihormati sekalian,
Sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk menghijaukan Pulau Pinang adalah amat penting, lebih-lebih lagi apabila menerusi kajian yang dijalankan di bawah Penang2030 menunjukan suhu purata Pulau Pinang dijangka akan meningkat sebanyak celsius menjelang tahun 2030. Gabungan jangkaan peningkatan suhu dan banjir pastinya akan memberi kesan terhadap kesejahteraan dan kesihatan penduduk serta mampu mengakibatkan kerugian daripada aspek ekonomi. Sebagai salah satu langkah mengurangkan impak daripada jangkaan tersebut, sehingga kini sasaran menanam 500,000 batang pokok telah dicapai serta sebuah kajian sedang dijalankan untuk menentukan sasaran baharu. Sudah tentunya, program pada hari ini secara langsung dapat menjadi salah satu usaha bagi pemulihan ekosistem di negeri ini.
Sudah tentu, terdapat banyak lagi usaha boleh dilakukan bagi pemuliharaan alam sekitar dan ekosistem di negeri ini namun, saya yakin sekiranya satu tarikh dapat diisytiharkan sebagai hari menanam pokok secara tahunan, ia akan memberikan peluang kepada rakyat untuk bersama-sama mengambil peluang tersebut untuk menanam pokok di tempat-tempat yang ditentukan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT). Dengan usaha ini, bilangan pokok akan bertambah dengan cepat sekaligus dapat mewujudkan persekitaran yang sejuk dan mengurangkan jejak karbon.
Sebagai penutup kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun, YABhg. Toh Puan, serta hadirin sekalian yang sudi hadir pada hari ini. Semoga usaha-usaha untuk memelihara dan memulihkan ekosistem ini mendapat sambutan yang positif daripada semua pihak demi masa depan dunia yang lebih baik.
Sekian, terima kasih.