PERASMIAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SK TAMAN MERAK 2023/2024

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PERASMIAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN

SK TAMAN MERAK 2023/2024

 

27 JANUARI 2024 (SABTU) | 8.30 PAGI

 

DEWAN INSPIRASI CEMERLANG,

SK TAMAN MERAK

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, terima kasih diucapkan kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput saya ke majlis yang berbahagia ini.  Sekalung penghargaan juga saya ucapkan kepada para ibu bapa dan waris yang telah menunjukkan komitmen tinggi untuk turut sama hadir ke majlis ini. Saya percaya, kerjasama dan sokongan yang erat daripada ibu bapa dan waris adalah sangat diperlukan bukan sahaja dalam aspek mendidik anak-anak, tetapi juga sokongan padu kepada rancangan dan program yang dianjurkan pihak sekolah demi pembangunan yang seimbang kepada anak-anak kita.

Hadirin yang dihormati,

 

Bagi menjamin kecemerlangan para pelajar, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Sudah tentu, dengan didikan dan bimbingan daripada guru, usaha tersebut semakin mudah untuk digapai. Sehubungan itu, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan tahniah kepada para pendidik yang gigih dalam memastikan anak-anak pelajar menerima ilmu demi pembangunan bangsa. Syabas juga diucapkan kepada guru-guru kerana berjaya memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan berkualiti sehingga mencapai kecemerlangan yang diimpikan.

Pada hari ini, kita dapat melihat peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja hadir ke sekolah untuk belajar tetapi juga untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.  Sistem pendidikan negara kini menuju ke arah pengajian yang dipandu teknologi digital yang lebih bersifat interaktif serta fleksibel.

Kerajaan Negeri umumnya amat komited dan serius terhadap sektor pendidikan kerana pendidikan melahirkan modal insan yang berkualiti.   Pembangunan modal insan merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Peralihan sektor ekonomi kepada pengetahuan, teknologi dan aktiviti berintensif inovasi memerlukan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi yang sedia ada. Oleh itu, Pulau Pinang juga menuju ke arah persekitaran pembelajaran digital dengan melaksanakan Program Perpustakaan Digital dengan melengkapkan kemudahan jalur lebar 5G di 88 buah sekolah di negeri ini.

Hadirin yang dihormati,

Sebagai sebuah negeri pengeluar produk elektrik dan elektronik (E&E) dan menjadi antara lokasi utama hab pembuatan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memfokuskan kepada penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di samping bidang-bidang profesional lain. Saya sedar, anak-anak di sini semuanya masih muda, namun ingatlah pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Industri kini amat memerlukan bakat-bakat profesional, oleh itu, Kerajaan Negeri meneruskan pelbagai inisiatif bagi merealisasikan usaha ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga meneruskan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40. Status sebagai B40 tidak harus menjadi penghalang kepada akses pendidikan. Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan anak-anak keciciran hanya disebabkan masalah kewangan. Dalam pada itu, sebanyak RM60 juta turut akan disalurkan kepada sekolah bantuan menjelang tahun 2030 sebagaimana yang terkandung dalam Manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang 2023.

Buat ibu bapa dan waris yang dihormati, sebagai seorang bapa, saya sedar bukan mudah untuk kita membesarkan anak-anak terutamanya di zaman ini. Saya mohon kesabaran ibu bapa dan waris yang mulia supaya sentiasa menggalakkan anak-anak menceburi bidang-bidang yang mereka minati di samping memberikan bimbingan daripada segi pembangunan pendidikan serta juga sahsiah. Bagi melahirkan generasi masa hadapan yang lebih terjamin, pembangunan sahsiah juga perlu ditekankan kerana sayanglah orang yang berilmu tanpa adab.

Sebelum saya mengakhiri ucapan pada hari ini, sekali lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada anak-anak pelajar yang dikasihi sekalian atas penerimaan anugerah dan pencapaian ini. Saya berharap agar kecemerlangan ini tidak berakhir di sini sahaja, tetapi teruskanlah kecemerlangan ini pada setiap masa tanpa mengira peringkat usia. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. 

Sebagai penutup kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa majlis pada hari ini serta terima kasih kepada semua pihak lain yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi memastikan kelancaran majlis pada hari ini.

Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlang Sekolah Kebangsaan Taman Merak bagi Sesi Akademik 2023/2024.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang