MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH SEKOLAH HIJAU 2023 DAN PERASMIAN ANUGERAH SEKOLAH HIJAU 2024 PERINGKAT PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH SEKOLAH HIJAU 2023 DAN PERASMIAN ANUGERAH SEKOLAH HIJAU 2024 PERINGKAT PULAU PINANG
1 FEBRUARI 2024 (JUMAAT) | 2.00 PETANG
THE LIGHT HOTEL
Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk hadir bersama-sama di Majlis Penyampaian Anugerah Sekolah Hijau Tahun 2023 pada hari yang berbahagia ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Dalam bidang pendidikan khususnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited dalam usaha untuk menjamin setiap anak-anak di negeri ini mempunyai akses kepada pendidikan serta menuntut ilmu dalam suasana yang selesa dan kondusif. Saya percaya, pendidikan berkualiti mampu melahirkan generasi masyarakat yang tinggi ilmu pengetahuannya.
Persekitaran yang hijau, selamat, responsif dan penuh kasih sayang adalah antara elemen penting bagi menyokong pembangunan kanak-kanak pra-sekolah, pelajar, mahupun belia. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk menyediakan ruang serta peluang kepada anak-anak ini melibatkan diri dalam usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar sekaligus meningkatkan kesedaran mereka dalam cabaran semasa yang semakin mengancam bumi pada ketika ini.
Kanak-kanak dan belia merupakan dua golongan yang memegang peranan amat penting dalam menangani krisis iklim dan alam sekitar kerana merekalah yang akan mewarisi dunia ini pada suatu hari nanti. Walau bagaimanapun, cabaran yang mereka hadapi tidak akan sama seperti yang kita rasakan ketika membesar suatu ketika dahulu. Kini, seluruh dunia menerima tempias daripada perubahan iklim serta pencemaran alam sekitar yang semakin membimbangkan.
Baru-baru ini, suhu dunia telah meningkat dalam beberapa bulan terakhir tahun 2023 disebabkan oleh fenomena El Niño dan dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini. Keadaan ini juga turut dinyatakan oleh Organisasi Meteorologi Sedunia (WMO) yang mana dalam tempoh tiga suku pertama tahun lalu telah menyaksikan kepanasan yang luar biasa di seluruh dunia, menjadikan tahun 2023 sebagai tahun yang paling panas pernah dicatatkan sejak era 1800-an. Malah di Malaysia sendiri, kita juga mengalami ancaman perubahan iklim seperti banjir kilat yang melanda beberapa negeri termasuk Pulau Pinang yang berpunca daripada peningkatan dan perubahan isi padu hujan.
Saudara dan saudari sekalian,
Menyedari cabaran ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan saya telah mengambil langkah yang proaktif dengan melancarkan Visi Penang2030 pada Ogos 2018 dalam usaha menjadikan negeri ini sebuah ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’ yang akan meliputi pembangunan dan pemeliharaan dalam semua aspek.
Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Penang Green Council (PGC) memberi fokus utama dalam meningkatkan kesedaran dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar kepada rakyat di negeri ini tanpa mengira peringkat umur. Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan kira-kira RM200,000 secara tahunan dalam usaha-usaha pendidikan berkenaan alam sekitar.
Selain itu, bagi memperkasakan dan menggalakkan penglibatan anak-anak muda dalam usaha hijau ini, Kerajaan Negeri melalui agensi negeri ini juga dengan kerjasama kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melancarkan program Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang sejak 2010 yang mana lebih RM700,000 telah diperuntukkan bagi program Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang ini sejak dari tahun pertama pelancarannya, yang mana saya yakin ianya telah melahirkan sebuah persekitaran pendidikan hijau kepada anak-anak di Pulau Pinang.
Program audit tahunan ini terbuka kepada sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang untuk mendidik para pelajar mengenai pemuliharaan sisa, air serta tenaga. Dalam pada itu, objektif utama program ini juga adalah untuk menyemai semangat cintakan alam sekitar dalam diri pelajar dan masyarakat secara umumnya. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Insentif Tadika Hijau Pulau Pinang atau Anugerah Tadika Hijau Pulau Pinang, sebuah program audit untuk semua prasekolah dan tadika berlesen di Pulau Pinang setelah melihat kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai melalui Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang.
Pada hari ini, kita berkumpul untuk meraikan pencapaian dan dedikasi semua sekolah dan tadika pada tahun 2023. Saya ingin memanjangkan ucapan tahniah kepada semua pemenang yang akan menerima anugerah dan insentif pada acara istimewa ini.
Tahun lepas telah mencatatkan sejumlah 92 sekolah mengambil bahagian dalam program anugerah ini, yang mana 50 sekolah mendaftar di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) manakala 42 sekolah, di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Dalam 92 sekolah yang mengambil bahagian, tujuh (7) sekolah telah terpilih sebagai pemenang dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan. Selain itu, bagi Insentif Tadika Hijau Pulau Pinang 2023 pula, 15 pra-sekolah berdaftar dengan markah tertinggi akan diberikan penghargaan dengan insentif bernilai RM 500 berserta sijil.
Hadirin sekalian,
Hari ini, kita bukan sahaja ingin meraikan kejayaan dari sekolah dan pra-sekolah, malah kita turut meraikan sekolah-sekolah yang memenangi Pertandingan Kitar Semula Toray &+ (AND PLUS). Pertandingan ini adalah berdasarkan model ekonomi kitaran yang merupakan model mampan untuk pembangunan alam sekitar, sosial, dan ekonomi. Tahniah buat semua pemenang dan teruskan usaha anda!
Secara keseluruhan, kepentingan pendidikan serta kesedaran dalam usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar kepada anak-anak kita tidak boleh dipertikaikan lagi demi memastikan keselamatan mereka dan bumi tercinta ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempersiapkan anak-anak ini dengan kemahiran dan ilmu yang secukupnya supaya mereka membesar menjadi manusia yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Jadi, marilah kita berganding bahu dalam usaha membina Pulau Pinang yang lebih berdaya tahan! Sekali lagi, tahniah saya ucapkan buat semua pemenang.
Sekian, terima kasih.