KARNIVAL INSPIRASI WANITA HEBAT ANJURAN BERSAMA PERSATUAN KEMAJUAN WANITA PULAU PINANG (PERJUANITA)
UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA KARNIVAL INSPIRASI WANITA HEBAT
ANJURAN BERSAMA PERSATUAN KEMAJUAN WANITA PULAU PINANG (PERJUANITA)
8 MAC 2024 (SABTU) | 3 PETANG
UPPER PENANG ROAD
YB Dato’ Seri S. Sundarajoo
Exco Perumahan dan Alam Sekitar
YBhg. Dato’ Ong Bee Leng
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita (PWDC) Pulau Pinang
YBhg. Datin Yeoh Phaik Suan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) KADUN Padang Kota
Tuan Haji Tuah Ismail
Ahli Lembaga Zakat Barat Daya Pulau Pinang
wakil kepada Ahli Parlimen Tanjong
Presiden-presiden, naib-naib presiden dan wakil-wakil persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO); rakan-rakan media dan hadirin yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Selamat Hari Wanita kepada semua wanita-wanita hebat di Malaysia!
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (PERJUANITA) yang telah bertungkus lumus dalam usaha menjayakan Karnival Inspirasi Wanita Hebat pada tahun ini bersama Pertubuhan Kasih Madani dan dengan kerjasama Usahawan Wanita.
Walaupun karnival ini merupakan julung kalinya diadakan, saya amat teruja apabila dimaklumkan bahawa lebih daripada 19 pihak vendor telah mengambil bahagian membuka gerai merangkumi jualan pakaian, makanan dan minuman, kraftangan, ruang pameran dan permainan serta pelbagai lagi acara yang menarik.
Lebih membanggakan, peniaga-peniaga ini merupakan ibu-ibu tunggal dan kaum-kaum ibu daripada golongan B40 yang terbukti telah mengambil satu langkah ke hadapan untuk menambah baik kualiti hidup sendiri serta keluarga, dan pada masa sama menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang keusahawanan yang selari dengan pelaksanaan karnival ini yang merupakan satu manifestasi penghargaan serta pengiktirafan kepada golongan wanita tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi sekalipun politik.
Berikan satu tepukan gemuruh untuk diri anda sekalian!
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sesungguhnya, penganjuran karnival ini bukan sahaja menepati aspirasi Visi Penang2030 iaitu dalam usaha melahirkan sebuah Negeri yang Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, malah turut menjadi platform untuk menyemarakkan lagi hubungan kekeluargaan sedia ada, di samping membuka peluang kepada kita semua untuk lebih memahami serta mendalami tentang pengorbanan dan rahsia di sebalik kejayaan seseorang wanita yang merupakan individu hebat di sebalik kejayaan seorang suami dan sebuah keluarga.
Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti dalam memberikan sokongan dalam pelbagai aspek, baik dari segi kemudahan serta dasar yang holistik sebagai langkah strategik bagi memastikan semua pihak khususnya golongan wanita terus diperkasakan serta dilindungi daripada segala ancaman bahaya tidak kiralah sama ada kanak-kanak perempuan, gadis remaja, golongan isteri dan ibu tunggal termasuk warga emas.
Kerajaan Negeri melalui Program Wanita Bangkit umpamanya merupakan salah satu program bagi membantu golongan wanita di Pulau Pinang untuk bangkit semula daripada belenggu ekonomi sejak penularan wabak COVID-19, keganasan rumah tangga dan kemiskinan. Komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mencapai kesaksamaan gender dan menangani keganasan terhadap wanita serta aspek keselamatan wanita diteruskan dengan meningkatkan advokasi yang memfokuskan kepada langkah-langkah pencegahan dan membangkitkan kesedaran berhubung keganasan terhadap wanita.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga sentiasa komited untuk merapatkan jurang gender dengan berkesan. Pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender (DKG) yang diperkenalkan sejak tahun 2019 adalah bukti dan komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan kesamarataan untuk lelaki serta wanita, mengikut keperluan masing-masing.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Lebarkanlah sayap anda dan terbang ke peringkat yang lebih tinggi. Saya percaya masih terlalu banyak bidang yang memerlukan aspirasi, kepakaran dan kreativiti daripada golongan wanita untuk terus berkembang dan menjadi sesebuah sektor yang progresif demi pembangunan di negeri ini.
Hakikatnya, golongan wanita bukan hanya sekadar penyeri namun merupakan nafas utama kepada kehidupan di dunia ini, bak kata pepatah ‘tangan yang mengayun buaian dapat menggoncang dunia’. Golongan wanita khususnya ibu merupakan ‘sekolah’ pertama anak-anak yang merupakan pewaris negara tercinta ini. Justeru, adalah amat penting untuk seseorang wanita menjadi insan yang berakhlak, berilmu serta progresif dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti tinggi.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Inspirasi Wanita Hebat sempena Sambutan Hari Wanita tahun 2024.
Sekian, terima kasih.