MAJLIS SERAHAN WATIKAH DAN IKRAR TERIMAAN JAWATAN PEGAWAI PENYELARAS KADUN (PPK) SESI 2024
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI,
YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MAJLIS SERAHAN WATIKAH DAN IKRAR TERIMAAN JAWATAN PEGAWAI PENYELARAS KADUN (PPK) SESI 2024
20 MAC 2024 (RABU) | 2 PETANG
BILIK MUTIARA, TINGKAT 52, KOMTAR
__________________________________________
YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid
Timbalan Ketua Menteri I
YB Jagdeep Singh Deo
Timbalan Ketua Menteri II
YB Dato’ Haji Rosli Isa
Setiausaha Kerajaan Negeri
Barisan Exco Kerajaan Negeri
Yang Berusaha Saudara Lau Keng Ee
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri
Yang diraikan barisan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK)
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Salam Sejahtera, Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua 11 Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) yang bakal melafaz ikrar terimaan jawatan pada hari ini. Sesungguhnya, pelantikan Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan telah membuktikan kesungguhan kita semua untuk memacu pencapaian Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Dalam pada itu, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak yang telah mengaturkan majlis ini dan memberi ruang serta peluang kepada saya untuk bertemu dengan semua PPK bagi sesi lantikan tahun 2024.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Umumnya, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) atau PPK merupakan pendokong aspirasi Kerajaan Negeri pada peringkat akar umbi dalam memacu pencapaian dan iltizam Visi Penang2030.
Mereka dilantik dalam kalangan ahli parti politik yang membentuk Kerajaan Negeri yang mana cadangan nama untuk lantikan dikemukakan oleh Pengerusi parti masing-masing berdasarkan kriteria telah ditetapkan dan dipersetujui untuk meneraju kawasan dimenangi oleh pembangkang. Penjawatan PPK diwujudkan sejak tahun 2008 bagi meneruskan serta membawa dasar-dasar Kerajaan Negeri ke kawasan-kawasan ini bagi membolehkan rakyat turut merasai segala kebaikan, insentif dan pelaksanaan program-program i-Sejahtera khususnya yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Sebagai makluman semua, sebagai jentera yang menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri ini, suka saya menjelaskan secara umum antara bidang tugas utama yang dimainkan oleh PPK:-
(i) Menjadi pengantara dan pemudah cara antara rakyat dan Kerajaan Negeri termasuk jabatan serta agensi di bawahnya terutama dalam kebajikan rakyat seperti pengagihan bantuan semasa dan bantuan kecemasan;
(ii) Membantu Kerajaan Negeri dengan merancang, menyelaras dan menganjurkan program yang memberi impak kepada rakyat dari masa ke masa terutama berkaitan dasar-dasar mahupun inisiatif yang akan, sedang dan telah dilaksanakan;
(iii) Mendekati rakyat supaya mengekalkan sokongan terhadap usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat;
(iv) Mendapatkan maklumat mengenai perkembangan pembangunan sosioekonomi semasa dan keperluan masyarakat agar selari dengan visi dan misi Kerajaan Negeri; dan juga
(v) Memberi maklumat yang tepat dalam menjelaskan isu-isu atau kontroversi semasa yang timbul kepada masyarakat setempat dalam memastikan kerukunan dan keharmonian kekal terpelihara.
Saudara dan saudari sekalian,
Antara fokus yang terkandung dalam Visi Penang2030 adalah meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan dan memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat. Justeru, saya berharap segala program yang direncanakan kelak oleh PPK akan memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh tanpa mengira perbezaan agama, bangsa serta pegangan politik khasnya di kawasan-kawasan yang kini dikuasai parti pembangkang.
Malah, sebagaimana diulas oleh YAB Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan tidak pernah menafikan perancangan pembangunan di kawasan-kawasan atau negeri-negeri pembangkang di bawah pentadbiran beliau. Dengan ini, Kerajaan Negeri lazimnya adalah sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan terutamanya dalam memastikan sokongan rakyat di kawasan-kawasan berkaitan kekal dalam kedudukan baik dan selesa.
Nescaya, dalam tempoh beberapa tahun ini, kita akan menyaksikan perubahan berimpak positif daripada segi pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan-kawasan tumpuan. Justeru, kita perlu berusaha dengan sepenuh hati dan seiringan untuk membawa perubahan ini yang mana kita harus tekad menyampaikan dasar-dasar Kerajaan Negeri serta Persekutuan bagi memastikan manfaat program-program komuniti kita melimpah ke kawasan-kawasan tumpuan tanpa titik noktah.
Pada kesempatan ini juga, sukacita saya umumkan bahawa seliaan dan pengurusan gerak kerja PPK akan diserahkan kepada Timbalan Ketua Menteri I bermula pada hari ini. Maka, segala urusan berkaitan adalah perlu merujuk kepada YB Dato’ Dr. Mohamad. Adalah diharapkan penyerahan penugasan ini berjalan lancar dan seterusnya gerak kerja diselaraskan pada kadar segera bagi mencapai matlamat yang disasarkan.
Sekali lagi, syabas dan tahniah kepada semua PPK yang telah dilantik bagi tahun ini. Semoga Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komited serta berdedikasi ke arah membangunkan masa hadapan Pulau Pinang yang lebih makmur, maju dan gemilang.
Sekian, terima kasih.