MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERSATUAN MUSLIM KADAYANALLUR PULAU PINANG

NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERSATUAN MUSLIM KADAYANALLUR PULAU PINANG

24 MAC 2024 (AHAD) | 6.45 PETANG

WISMA PMK, JALAN A.S. MANSOOR

Presiden-Presiden dan Wakil-Wakil Persatuan Gabungan,

Barisan Ahli Jawatankuasa daripada persatuan-persatuan

Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

>> Berdirinya saya di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Muslim Kadayanallur atas jemputan pada petang yang berbahagia ini. Saban tahun, saya akan memenuhi jemputan ini kerana persatuan ini amat dekat di hati saya.

>> Ini kerana, Persatuan Muslim Kadayanallur merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah banyak bersama-sama Kerajaan Negeri dalam usaha memperkasakan masyarakat tempatan khususnya komuniti India Muslim di negeri ini yang merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

>> Misalnya, penganjuran majlis berbuka puasa sebegini sememangnya merupakan salah satu wadah terbaik untuk menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa. Seperti saya sendiri, yang bukan beragama Islam turut dijemput bagi meraikan bulan yang mulia ini.

Hadirin sekalian,
>> Lazimnya, saya bersyukur kerana di Pulau Pinang, kita mempunyai pelbagai NGO yang aktif dan lantang bersuara. Walau ada kalanya berbeza pendapat dan pendirian, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai perbezaan ini kerana ia secara tidak langsung mampu menerapkan nilai toleransi dalam kalangan masyarakat.

>> Apa yang paling penting adalah semua persatuan ini akan terus berganding bahu bersama-sama Kerajaan Negeri dalam memberikan fokus serta keutamaan dalam memastikan hak dan kebajikan rakyat senantiasa terbela di samping pembangunan ekonomi negeri dalam usaha merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

>> Malah, saya difahamkan persatuan ini juga menganjurkan program Kongsi Rezeki Kasih Ramadan yang mampu membawa penghayatan sebenar bulan mulia ini, salah satunya adalah saling memberi khususnya kepada pihak yang lebih memerlukan. Syabas dan terima kasih saya ucapkan kerana sentiasa mengutamakan kepentingan kemasyarakatan dalam setiap program-program yang dilaksanakan.

Saudara dan Saudari yang dihormati sekalian,

>> Kerajaan Negeri Pulau Pinang umumnya tidak pernah mengamalkan sikap berat sebelah terhadap mana-mana kaum dan agama termsuk agama Islam. Hakikatnya, pelbagai usaha, inisiatif dan peruntukan telah disumbangkan demi memperkasakan agama Islam di negeri ini. Malah, menerusi Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023, Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan janji-janji antaranya memberikan bantuan ’one-off’ RM1,000 kepada setiap jemaah haji dari golongan B40.

>> Cadangan ini diwujudkan bagi memudah cara dan merealisasikan impian golongan-golongan yang kurang berkemampuan untuk menunaikan ibadah haji khususnya bagi mereka yang telah lanjut usia.

>> Menerusi manifesto yang sama, Kerajaan Negeri juga bakal memperuntukkan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030; menyalurkan bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian awam (IPTA) dan swasta (IPTS); menyediakan perkhidmatan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40 serta merealisasikan sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi terpilih.

>> Sebagai sebuah negeri yang sangat rancak dalam pertumbuhan ekonominya, adalah menjadi keutamaan saya untuk pembangunan sosial dan taraf pendidikan juga bergerak seiring supaya seluruh rakyat Pulau Pinang diperkasakan dalam semua aspek dalam membentuk sebuah masyarakat yang mampan. Saya berharap kesemua kaum ibu dan bapa di sini turut memberikan fokus kepada pendidikan anak-anak supaya mereka tidak ketinggalan dalam dunia serba pantas ini.

>> Sebagai penutup kata, sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada jawatankuasa pengelola yang telah menjayakan majlis pada hari ini. Semoga gerak kerja amal dan semangat kerjasama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

>> Saya doakan semoga bulan suci ini dapat diraikan dengan penuh semangat muhibah dan rasa rendah diri. Semoa semua dilimpahkan dengan berkah di bulan yang mulia ini.

Selamat menyambut bulan Ramadan Al Mubarak.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang