MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN QARYAH MASJID JAMEK BENGGALI

NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA
ANJURAN QARYAH MASJID JAMEK BENGGALI

28 MAC 2024 (KHAMIS) | 7 PETANG

MASJID JAMEK BENGGALI

_____________________________________________

Barisan Kariah Masjid Jamek Benggali

Para Jemputan; rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

>> Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir bagi bersama-sama pada Majlis Berbuka Puasa Anjuran Qaryah Masjid Jamek Benggali Pulau Pinang yang telah diatur pada petang yang berbahagia ini.

>> Sama seperti bulan Ramadan pada tahun-tahun sebelum ini, saya amat berbesar hati untuk turut sama menyertai acara berbuka ini apatah lagi ia diadakan di salah sebuah masjid bersejarah yang dibina pada tahun 1803.

>> Masjid Jamek Benggali yang berusia lebih daripada 200 tahun ini terus menjadi salah satu simbol keunikan dan keharmonian komuniti setempat di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

>> Kewujudan dan pemeliharaan komuniti masjid di tengah-tengah kota warisan dunia ini turut menyumbang kepada keunikan Pulau Pinang terutamanya dalam mengekalkan warisan dan nilai sejarah yang penting di negeri ini.

Hadirin sekalian,

>> Sebagaimana diketahui umum, bulan Ramadan merupakan bulan di mana umat Islam berlumba-lumba mengumpulkan amal ibadah serta memberi kepada golongan yang kurang berkemampuan.

>> Sebagai seorang Ketua Menteri, saya amat bangga dan gembira dengan komitmen dan tanggungjawab yang dimainkan oleh kariah masjid ini serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang sentiasa menjadikan kebajikan sosial masyarakat sebagai antara agenda utama dalam pertubuhan masing-masing.

>> Sesungguhnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai usaha-usaha yang telah diambil oleh kalian semua yang secara langsung membantu pentadbiran ini untuk mengenal pasti dan menghulurkan bantuan kepada insan-insan yang lebih memerlukan.

>> Saya percaya penganjuran majlis buka puasa pada hari ini mampu menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani. Oleh itu, saya telah bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM10,000 untuk kelancaran majlis ini. Saya berharap, peruntukan tersebut dapat membantu melicinkan majlis pada hari ini.

>> Dalam pada itu, saya juga ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua ahli Kariah Masjid Jamek Benggali kerana sentiasa menunjukkan semangat muhibbah dan toleransi di antara satu sama lain dan kepada komuniti setempat yang terlibat dalam menyokong penganjuran majlis ini.

>> Hadirin sekalian, saya tidak bercadang mengambil masa yang lama untuk berucap, justeru saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang melapangkan masa untuk memeriahkan majlis pada petang ini.


>> Semoga Tuan-tuan dan Puan-puan diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik bagi meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadan Al Mubarak ini.

Sekian, terima kasih dan selamat berbuka puasa kepada semua.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang