PROGRAM BUBUR LAMBUK MASJID JAMEK POKOK MACHANG

NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PROGRAM BUBUR LAMBUK

30 MAC 2024 (SABTU) | 10 PAGI

MASJID JAMEK POKOK MACHANG

[Salutasi]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

>> Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Salam Ramadan Al Mubarak kepada semua yang hadir bagi memeriahkan program bubur lambuk pada hari yang berbahagia ini.
>> Saya difahamkan bahawa terdapat sekitar 200 orang yang hadir untuk bergotong royong memasak 10 kawah bubur lambuk untuk diedarkan kepada 12 lokasi termasuk masjid-masjid, hospital, pejabat polis, pejabat bomba, pejabat-pejabat penyelaras KADUN (PPK), JPKK serta JPWK yang berhampiran. Terima kasih dan syabas saya ucapkan!

>> Sebagai Ketua Menteri, saya amat bangga menyaksikan tradisi gotong-royong memasak dan mengedarkan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan ini kekal subur dalam kehidupan bermasyarakat di Pulau Pinang.

>> Oleh kerana itu, pejabat saya meneruskan program Gebyar Ramadan yang mana melalui program ini, penganjuran majlis-majlis berbuka puasa dan memasak bubur lambuk seperti hari ini terus dijalankan di semua daerah untuk meraikan komuniti masjid serta masyarakat setempat, golongan asnaf, warga pendidik dan juga kakitangan barisan hadapan.

>> Saya percaya, dengan penganjuran majlis-majlis seperti ini, ia mampu mengeratkan lagi silaturahim antara kita supaya lebih mengukuhkan nilai-nilai toleransi, perpaduan dan rahmah untuk membentuk sebuah masyarakat Madani.

>> Walaupun berbeza kaum dan agama, saya telah berikrar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri dengan adil, saksama serta telus bagi memastikan pembangunan masyarakat Pulau Pinang secara keseluruhan tanpa mengira latar belakang.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

>> Dalam memastikan syiar Islam terus terbela di negeri ini, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan umat Islam terutamanya kebajikan golongan asnaf terus dijaga dengan penyaluran bantuan melalui i-Sejahtera dan pengagihan zakat kepada mereka yang layak.

>> Ingin saya tekankan di sini bahawa i-Sejahtera merupakan inisiatif dari Kerajaan Negeri berbentuk bantuan kewangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah dan bayi berusia dua (2) tahun ke bawah.

>> Sekiranya anda merupakan atau mengenali golongan sebagaimana dinyatakan, anda boleh menghantar permohonan secara dalam talian atau mendapatkan bantuan berkaitan pendaftaran di Pusat Khidmat ADUN setempat atau Pejabat Penyelaras KADUN (PPK) di kawasan-kawasan ADUN pembangkang.

>> Pada masa sama, bagi memudahkan urusan beribadah, sebanyak tujuh (7) buah masjid di seluruh Pulau Pinang dalam fasa pembinaan melalui usaha-usaha menambah-baik fasiliti manakala dua (2) buah lagi dalam fasa pra-pelaksanaan dengan sebahagian kerja-kerja tersebut menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Negeri.

>> Biarpun sentiasa dikaitkan dengan tuduhan yang kurang enak didengar serta sentiasa menjadi sasaran dalam permainan politik berkaitan isu agama dan bangsa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan berhenti memperkasakan rakyatnya tanpa mengira latar melalui usaha-usaha yang telah, sedang malah yang dalam perancangan.

>> Doa dan harapan saya adalah Kerajaan Negeri sentiasa mendapat sokongan rakyat terutamanya daripada peringkat akar umbi supaya usaha-usaha untuk membina masyarakat yang mampan berjaya dilaksanakan biarpun saya sudah tidak berkhidmat sebagai Ketua Menteri pada ketika itu.

>> Sebagai penutup kata, terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program pada hari ini. Saya doakan agar semuanya diberikan kesihatan yang baik supaya dapat melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna.

Selamat menjalani ibadah puasa. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang