IFTAR RAKYAT BERSAMA WARGA PENYELAMAT WIRA MERAH DAERAH BARAT DAYA
NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA IFTAR RAKYAT BERSAMA WARGA PENYELAMAT WIRA MERAH DAERAH BARAT DAYA
6 APRIL 2024 (SABTU) | 6.45 PETANG
BALAI BOMBA SERI PULAU
———————————-----------------------------------
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
➢ Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Salam Ramadan Al Mubarak kepada semua umat Islam yang sedang menjalani ibadah di bulan yang mulia ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua hadirin yang sudi meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama pada hari ini.
➢ Wira, wirawati yang saya hormati, Kerajaan Negeri sedar akan tanggungjawab berat yang dipikul oleh anda semua dalam kerja-kerja menyelamatkan nyawa serta harta benda tanpa mengira hari dan waktu. Oleh itu, saya mewakili saf barisan kepimpinan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan anda yang menjaga keselamatan rakyat di negeri ini.
➢ Saya sedar, ekoran status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang rancak ekonominya baik dari segi pelancongan mahupun industri, ia sekaligus meningkatkan lagi potensi kes-kes kecemasan yang memerlukan khidmat serta kepakaran pasukan bomba.
➢ Suatu ketika dahulu, kepakaran bomba sering kali dikaitkan dengan kes-kes kebakaran, namun kini, tugas-tugas pasukan bomba juga merangkumi usaha-usaha menyelamat atau mengeluarkan mangsa kemalangan jalan raya, mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang atau terperangkap dalam kejadian tanah runtuh, menangkap haiwan liar, menyelamatkan haiwan peliharaan yang terperangkap malah juga kerja-kerja menyelamat mangsa-mangsa banjir termasuk di laut.
➢ Saya berharap agar anda semua sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri ketika menjalankan tugas terutamanya ketika musim perayaan yang kian menjelma ini. Ketahuilah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat mengalu-alukan sebarang perjumpaan, dialog atau permohonan perlu supaya anda semua boleh menjalankan tanggungjawab dengan lebih selamat.
➢ Dalam pada itu, saya berharap dengan kesibukan anda semua menjalankan tugas, ia tidak akan memberikan impak negatif kepada keluarga terutamanya anak-anak anda sekalian. Ketahuilah bahawa Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai insentif dan bantuan pada aspek pendidikan khususnya demi pembangunan modal insan negeri ini.
➢ Ingin saya ulangi bahawa Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif khas demi kebajikan rakyat Pulau Pinang antaranya, iSejahtera, iBITA, Tabung Amanah Pinjaman Negeri Pulau Pinang dan lain-lain berkaitan untuk meringankan beban para ibu bapa berkaitan kos pendidikan anak-anak serta pelbagai inisiatif-inisiatif lain.
➢ Harapan saya adalah sekiranya anda atau mengenali sesiapa yang memerlukan bantuan, sila rujuk portal rasmi iSejahtera atau boleh ke pejabat wakil rakyat masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.
➢ Saya tidak berhasrat untuk berucap dengan lebih panjang. Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf Zahir dan batin.
Sekian, terima kasih.