MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2024
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2024
25 APRIL 2024 (KHAMIS) | 12.30 PM
ATRIUM PDC
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk turut sama hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDC 2024 bertemakan ‘Nostalgia Raya' pada hari yang berbahagia ini. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, tidak terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam yang berada di sini, dan tahniah kepada PDC kerana menganjurkan majlis yang meriah ini.
Sambutan Aidilfitri terbukti telah menjadi salah satu jambatan untuk mengeratkan hubungan muhibah antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum. Sebagai contoh pada hari ini, Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh masyarakat beragama Islam sebagai hari kemenangan setelah menjalani satu bulan ibadah puasa turut dikongsi bersama pelbagai lapisan masyarakat dalam meraikan kepelbagaian, toleransi dan kasih sayang sesama keluarga Malaysia Madani.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pulau Pinang telah menjadi tumpuan global apabila industri semikonduktor Malaysia muncul sebagai kuasa semikonduktor baharu di dunia. Selain Forum Ekonomi Dunia (WEF), media-media utama antarabangsa turut melaporkan bahawa Pulau Pinang kini menjadi tumpuan barisan pemain industri utama dari Eropah dan Amerika Syarikat. Syarikat-syarikat ini menubuhkan anak syarikat atau mengembangkan operasi sedia ada di Pulau Pinang, khasnya di kawasan-kawasan perindustrian dalam usaha membina rantaian bekalan global baharu untuk pembekalan komponen-komponen penting semikonduktor.
Pelaburan tersebut telah mengukuhkan kedudukan Malaysia pada peringkat akhir rantaian bekalan semikonduktor, terutamanya pemasangan cip, ujian dan pembungkusan (chip assembly, testing & packaging), iaitu ia menguasai 13 peratus bahagian pasaran global dalam bidang-bidang berkenaan.
Situasi di atas secara tidak langsung telah menggambarkan keyakinan para pelabur antarabangsa terhadap potensi dan kekuatan Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan yang terbaik dalam negara. Keadaan ini juga terbukti kerana Pulau Pinang telah berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan tertinggi dalam negara berjumlah RM71.9 bilion pada tahun 2023.
Nilai pelaburan tersebut yang didorong pelaburan langsung asing (FDI) telah menyumbang sebanyak RM61.7 bilion atau 85.8 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri Pulau Pinang. Malah baru sebentar tadi, saya telah merasmikan sebuah lagi syarikat multinasional daripada Amerika Syarikat yang membuka kilang pembuatan pertama mereka di Asia Tenggara, dan mereka telah memilih Pulau Pinang secara khususnya di Penang Science Park.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Dengan pengalaman dalam pembangunan sektor perindustrian selama lebih lima dekad, Pulau Pinang telah membina satu reputasi yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi. Kerajaan Negeri menaruh harapan kepada agensi-agensi seperti PDC, Invest Penang dan MIDA untuk terus memainkan peranan dalam usaha fasilitasi pelaburan dalam negeri, termasuk memudahkan golongan pelabur serta pemain industri untuk memulakan penyusunan operasi dalam negeri.
Selama ini, PDC selaku agensi pembangunan utama Kerajaan Negeri, telah memainkan peranan kritikal untuk menyediakan tapak industri yang mencukupi, dan salah satu teras utama di bawah Pelan Strategik PDC 2024 - 2028 yang telah dilancarkan baru-baru ini ialah peningkatan bank tanah iaitu cadangan pengambilan balik tanah berkeluasan 3,000 ekar sama ada di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah atau Seberang Perai Selatan dengan anggaran kos sebanyak RM3 bilion. Cadangan pengambilan balik tanah tersebut ialah untuk perancangan pembukaan taman perindustrian baru bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada industri.
Dalam pada itu, PDC juga terus meningkatkan kualiti di taman-taman perindustrian bawah seliaan PDC terutamanya Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) dan Batu Kawan Technology Park (BCTP) dengan konsep ketersediaan infrastruktur atau ‘Infra Ready Concept’. Lantaran itu, PDC telah berkerjasama rapat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar konsep baharu tersebut direalisasikan.
Justeru, saya berharap agar PDC akan terus bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi sama ada Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan dalam membina ekosistem industri yang kondusif dan memastikan pembukaan lebih banyak taman perindustrian yang dilengkapi infrastruktur berkualiti supaya Pulau Pinang akan sentiasa berada di tangga pertama dalam aspek nilai pelaburan serta terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Hadirin sekalian,
Dalam sambutan kegembiraan Hari Raya Aidilfitri ini, saya ingin mengajak marilah kita terus bersatu padu dalam usaha memajukan negeri ini ke arah yang lebih maju dan mampan. Sebagai penutup kata, saya ingin menzahirkan ucapan syabas dan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Hari Raya Aidilfitri PDC Tahun 2024 yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaya dan memeriahkan majlis hari ini. Dengan ini saya merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiltri PDC Tahun 2024!
Sekian, terima kasih.