MAJLIS TAHUN BARU TAMIL DAN PROGRAM PELANCARAN MENGUTIP DANA MEMBELI TAPAK TANAH DEWAN KUIL DEWI SRI MEENACHI AMMAN
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS TAHUN BARU TAMIL DAN PROGRAM PELANCARAN MENGUTIP DANA MEMBELI TAPAK TANAH DEWAN KUIL DEWI SRI MEENACHI AMMAN
27 APRIL 2024 (SABTU) | 9.00 PM
DEWAN SRI MEENATCHI AMMAN, SIMPANG AMPAT
YB Jagdeep Singh Deo a/l Dato' Seri Utama Karpal Singh
Timbalan Ketua Menteri II
YB Dato’ Seri Sundarajoo a/l Somu
Exco Perumahan dan Alam Sekitar
YBhg. Datuk Sri K. Pulaventhiran
Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Cawangan Pulau Pinang
YBhg. Dato’ Sri Vikneswaran
CEO Mitthas Holding Sdn Bhd.
YBrs. Encik Chandrasegaran
Perwakilan daripada Scaffman (M) Sdn BHd
YBrs. Encik Pakiry Kalaimani
Pengerusi Kuil Dewi Sri Meenatchi
Barisan Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’ dan Datin-Datin.
Barisan ahli jawatankuasa kuil, rakan-rakan media serta hadirin yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani. Vanakam.
Terlebih dahulu, saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama pada hari ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada hadirin sekalian kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri dan memeriahkan Majlis Malam Tahun Baru Tamil dan Program Pelancaran Mengutip Dana Untuk Membeli Tanah Tapak Dewan Kuil Dewi Sri Meenachi Amman.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Tahun Baru Tamil adalah salah satu perayaan terpenting yang disambut oleh masyarakat Tamil di seluruh dunia, tidak ketinggalan juga di Malaysia memandangkan majoriti kaum India di negara ini adalah berketurunan Tamil. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk sekali lagi berterima kasih kerana sudi berkongsi perayaan ini bersama-sama saya, sekaligus membuktikan bahawa semangat perpaduan adalah sangat kukuh di negeri Pulau Pinang.
Dalam pada itu, sambutan ini juga membuka ruang dan peluang untuk saya bertemu dengan hadirin sekalian, para penduduk di kawasan Parlimen Batu Kawan. Malah saya difahamkan bahawa Kuil Dewi Sri Meenachi Amman adalah kuil tertua dan berusia 130 tahun di Simpang Ampat yang dikenali sebagai ‘kuil ibu’ kepada kuil-kuil lain di kawasan ini.
Maka, usaha daripada pihak kuil untuk mengutip dana bagi membeli tanah untuk pembangunan dewan kuil adalah wajar dipuji demi menambah baik prasarana buat ruang beribadah dan kegunaan orang ramai di sini.
Lebih-lebih lagi, saya telah dimaklumkan bahawa sejumlah 6,000 penganut akan hadir ke kuil ini setiap tahun semasa perayaan tahunan secara serentak selain ianya juga digunakan untuk pelbagai aktiviti keraian oleh rakyat kaum India di sini.
Hadirin yang diraikan,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pemerintahan saya sebagai Ketua Menteri tidak pernah mengamalkan dasar pilih kasih atau diskriminasi dalam memastikan setiap rakyat di negeri ini setiasa dibela sekaligus memastikan pembangunan dapat dirasai dengan sama rata. Oleh kerana itu, menerusi rangka Visi Penang2030 serta Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang, Kerajaan Negeri sedang berusaha ke arah merealisasikan semua manifesto yang telah disenaraikan.
Terutamanya dalam konteks hari ini, Kerajaan Negeri berusaha bagi merealisasikan peruntukan RM10 juta untuk keperluan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sehingga tahun 2028, memperbanyakkan sesi perbincangan berhubung pelaksanaan Sistem e-RIBI bagi permohonan secara dalam talian serta menyediakan pusat upacara kirigai di setiap daerah serta membina sekolah Tamil baru (ke-29) di Pulau Pinang.
Terbukti, keperluan pembinaan dewan seluas 4,317 kaki persegi ini adalah merupakan sesuatu yang agak mendesak yang dijangka menelan belanja sebanyak RM300,000. Kerajaan Negeri lazimnya menyokong usaha murni ini, dan diharapkan ia akan berjaya dalam masa yang terdekat.
Sebagai penutup kata, saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Persatuan Jawatankuasa Pengurusan Kuil, Encik Kalaimani, barisan ahli jawatankuasa dan tidak ketinggalan juga kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama berganding bahu dalam usaha menjayakan program ini. Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Majlis Malam Tahun Baru Tamil dan Pelancaran Mengutip Dana Membeli apak Tanah Dewan Kuil Dewi Sri Meenachi Amman.
Sekian, terima kasih. Nandri. Vanakam.
Valga Valamudan.