MAJLIS APRESIASI SUKARELAWAN BELIA PULAU PINANG 2024
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS APRESIASI SUKARELAWAN BELIA PULAU PINANG 2024
8 JUN (SABTU) | 2.30 PETANG
CITY BAYVIEW HOTEL, GEORGE TOWN
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030, Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sebagai penyelaras program Sukarelawan Belia Pulau Pinang kerana berjaya mengaturkan Majlis Apresiasi Sukarelawan Belia Pulau Pinang 2024 pada petang yang berbahagia ini.
Sesungguhnya, majlis pada hari ini adalah sebagai tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sukarelawan Belia Pulau Pinang yang saya kasihi dalam usaha meraikan sumbangan yang tidak ternilai oleh anda semua. Terima kasih dan syabas saya ucapkan. Semangat kesukarelawan berdedikasi tanpa mengharapkan sebarang balasan yang ditunjukkan oleh anda semua telah menjadi asas penting dan teladan dalam memupuk sebuah komuniti yang penyayang.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited dalam membangunkan negeri dengan pendekatan yang holistik selari dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Kerjasama dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak adalah asas utama untuk mencapai keberhasilan yang dihasratkan supaya kita boleh menerajui pembangunan dan kemajuan negeri secara seimbang dan harmoni.
Dengan hal demikian, inisiatif program Sukarelawan Belia Pulau Pinang yang kini mendapat sambutan yang amat menggalakkan akan membawa perubahan positif dalam kehidupan individu dan komuniti, serta terus memberi inspirasi kepada generasi yang akan datang.
Difahamkan, daripada seramai 4,500 peserta pada tahun 2023, angka terkini yang dicatatkan sehingga kini adalah seramai 7,000 muda mudi kita telah berdaftar sebagai Sukarelawan Belia Pulau Pinang. Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua belia yang mengambil inisiatif khas ini. Sesungguhnya, anda semua adalah tonggak utama dan harapan negara kita.
Sukarelawan belia yang dikasihi, walaupun negeri kita telah mencapai kejayaan demi kejayaan dalam aspek ekonomi terutamanya, namun masih menjadi keutamaan saya untuk melahirkan modal insan yang memiliki keperibadian mulia, jati diri kukuh serta generasi yang luas ilmu pengetahuannya bagi melahirkan pemimpin yang berkualiti bagi mengambil alih tampuk pemerintahan negara kelak. Justeru, penglibatan anda semua sebagai seorang sukarelawan menjadi salah satu contoh aspirasi itu akan dapat dicapai.
Malah, saya juga sedia maklum bahawa menerusi PYDC juga, satu dasar baharu telah diperkenalkan untuk memperkasakan golongan belia iaitu Dana Pembangunan Belia. Malah, setakat April 2024, daripada 46 permohonan yang telah diterima oleh panel penilaian, sejumlah 38 permohonan telah diluluskan dengan kos sebanyak RM100,000.
Serentak itu, turut dilaksanakan adalah Skim Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang yang dikenali sebagai “Best! Anak Penang” yang merupakan program pemberian insentif kepada golongan belia yang berjaya memenangi kejohanan berbentuk akademik dan kokurikulum di peringkat kebangsaan serta antarabangsa. Setakat kini, sejumlah 484 belia telah menerima skim insentif ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM150,618 sejak tahun 2022.
Sebagai penutup kata, sekali lagi, tahnah diucapkan kepada PYDC yang telah menjadi penggerak utama dan sentiasa konsisten ke arah merealisasikan aspirasi ini secara kolektif demi pembangunan berterusan negeri Pulau Pinang. Kepada para Sukarelawan Belia Pulau Pinang, terima kasih di atas usaha dan komitmen anda semua untuk terus memberikan yang terbaik kepada komuniti serta negeri ini yang mana semangat ini secara langsung terus menjadi penyuntik inspirasi kepada kita semua di sini.
Penang Youth Volunteers, We Make A Difference!
Sekian, terima kasih.