MAJLIS MAKAN MALAM PBBPP 2024
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM PBBPP 2024
11 JUN 2024 (SELASA) | 8.00 MALAM
EASTIN HOTEL
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan sekalung penghargaan kepada seluruh barisan jawatankuasa serta semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Makan Malam Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) 2024. Makah, terima kasih saya ucapkan kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama dalam majlis yang penuh bermakna ini.
Pada kesempatan ini, tahniah saya ucapkan atas segala komitmen serta inisiatif yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan anda. Diharapkan penghargaan ini dapat menyemarakkan semangat dan meningkatkan lagi komitmen semua dalam terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Hadirin yang dihormati,
Sebagai penjawat awam, kita perlu memainkan peranan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dalam menghadapi apa jua cabaran dengan perancangan dan pelaksanaan kerja yang telus, amanah serta berintegriti, iaitu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. Kalian merupakan aset penting bagi organisasi ini kerana prestasi anda memberikan kesan langsung terhadap produktiviti, kejayaan serta keselamatan organisasi, lebih-lebih lagi apabila dipertanggungjawabkan dalam menguruskan perkhidmatan funikular, membangunkan sosio-ekonomi kawasan Bukit Bendera dan seterusnya menjadikannya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa yang terkenal.
Pendek kata, anda adalah tunjang kepada kejayaan Bukit Bendera, syabas dan tahniah saya ucapkan. Dengan kerja-kerja tanah untuk projek kereta kabel yang akan dimulakan tidak lama lagi, serta projek naik taraf Astaka Bukit Bendera dan lain-lain yang masih dalam perancangan, PBBPP memerlukan kakitangan yang komited serta berdedikasi untuk membantu memacu organisasi ini ke tahap yang lebih tinggi serta mencapai lebih banyak kejayaan yang membanggakan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang telah mencatatkan seramai 1,665,811 pengunjung pada tahun lepas, menandakan peningkatan sebanyak 12.1 peratus berbanding dengan 1,486,269 pengunjung pada tahun 2022. Angka ini adalah hasil dari penambahan jumlah pelancong ke Bukit Bendera setelah pulih dari tempoh pandemik COVID-19. Pada masa sama, ia juga merupakan impak positif daripada pelancaran penerbangan terus dari Hong Kong dan Xiamen ke Pulau Pinang, yang merupakan usaha Kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi jumlah pelancong melalui penerbangan terus dari luar negara ke negeri kita.
Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa PBBPP aktif dalam sesi- sesi libat urus untuk mempromosikan Bukit Bendera menerusi anjuran dan atas jemputan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Penang Global Tourism (PGT). Serentak itu, pihak berkaitan turut mengambil inisiatif untuk menganjurkan program-program seperti Penang Hill Festival, Penang Hill Heritage Forest Challenge, Trash Free Hill serta berkolaborasi dengan organisasi-organisasi lain untuk mengadakan aktiviti-aktiviti menarik di Bukit Bendera.
Sebagai agensi yang bertanggungjawab memulihara dan mengurus Bukit Bendera, saya melihat PBBPP memandang serius dan mengambil pelbagai inisiatif yang amat penting untuk menjalinkan kerjasama erat dengan rakan strategik serta agensi kerajaan dan swasta agar dapat terus memberikan khidmat terbaik kepada pengunjung, dan pada masa sama memastikan Bukit Bendera kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan dalam negara. Syabas sekali lagi saya ucapkan.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya selaku Pengerusi PBBPP berasa amat bangga dengan pencapaian seluruh warga PBBPP. Saya berharap semua warga kerja PBBPP dapat terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang, menjaga kualiti kerja yang baik serta memelihara keharmonian dalam organisasi. Marilah kita bertekad untuk terus menjaga imej Bukit Bendera sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal di dalam dan juga luar negara.
Sekali lagi, tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Majlis Makan Malam PBBPP 2024 dan juga semua yang turut menjayakannya.
Sekian, terima kasih.