PERASMIAN MAJLIS KEMUNCAK APRESIASI PENDIDIKAN 2024 JABATAN PENDIDIKAN NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PERASMIAN MAJLIS KEMUNCAK APRESIASI PENDIDIKAN 2024 JABATAN PENDIDIKAN NEGERI PULAU PINANG
14 JUN 2024 (JUMAAT) | 3 PETANG
DEWAN BESAR UITM PULAU PINANG
__________________________________________
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa syukur kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk hadir bersama-sama dengan warga pendidik di Pulau Pinang bersempena dengan Majlis Kemuncak Apresiasi Pendidikan 2024.
Setinggi-tinggi ucapan tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Yang Berusaha Tuan Haji Abdul Said bin Hussain serta jawatankuasa penganjuran majlis pada petang yang berbahagia ini.
Tidak ketinggalan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada UiTM Pulau Pinang yang menjadi lokasi penganjuran majlis serta agensi-agensi yang menjadi rakan strategik dalam menyemarakkan Majlis Kemuncak Apresiasi Pendidikan 2024.
Hadirin yang dihormati,
Saya berasa gembira dan teruja melihat senarai rakan strategik yang sudi menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan demi mengiktiraf warga pendidik yang menjadi tunjang dalam pembangunan negara khususnya kemajuan pendidikan dan ekonomi di Pulau Pinang. Sememangnya para guru merupakan insan istimewa yang mencurahkan ilmu serta didikan sehingga kita semua berjaya berada pada tahap ini. Terima kasih saya ucapkan kepada para cikgu atas segala pengorbanan ada selama ini.
Pada kesempatan majlis ini, saya mewakili seluruh barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, para pengetua, guru-guru serta calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 atas pencapaian yang amat cemerlang. Pencapaian ini secara langsung telah membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan pendidikan di Pulau Pinang berada pada landasan yang betul serta memenuhi standard kualiti perkhidmatan yang dihasratkan.
Ucapan tahniah juga diucapkan khususnya kepada semua sekolah yang telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Semoga usaha-usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai pemangkin ke arah mencapai Visi Penang2030.
Warga pendidik yang disayangi,
Dalam bidang pendidikan khususnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited dalam usaha untuk menjamin setiap anak-anak di negeri ini mempunyai akses kepada pendidikan serta menuntut ilmu dalam suasana yang selesa dan kondusif. Saya percaya, pendidikan berkualiti mampu melahirkan generasi masyarakat yang tinggi ilmu pengetahuannya.
Pendidikan pada masa ini sudah jauh berubah jika dibandingkan dengan masa dahulu yang mana ia sedang mengharungi cabaran amat besar terutamanya ledakan teknologi moden, perubahan gaya hidup anak-anak yang semakin kompleks serta desakan-desakan kehidupan yang menjurus kepada keciciran dalam pendidikan. Lazimnya, perubahan zaman yang begitu pantas perlulah bergerak seiring dengan perubahan dalam ekosistem pendidikan.
Gaya pembelajaran generasi hari ini banyak bergantung kepada teknologi khususnya inovasi dan teknologi baharu berasaskan ilmu pengkomputeran. Aplikasi Artificial Intelligence (AI) merupakan alternatif terkini dalam penyelesaian pantas membabitkan setiap aktiviti harian, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam melahirkan sebuah ‘Negeri Pintar’. Justeru, saya percaya bahawa sistem pendidikan juga perlu mengambil manfaat dalam mempraktikkan teknologi AI ini kerana, saya pasti teknologi AI yang sangat popular ini memberikan pengaruh yang sangat kuat serta signifikan dengan kehidupan generasi muda. Namun, kemajuan teknologi AI ini haruslah digunapakai secara lebih teliti agar tidak disalah guna sehingga menimbulkan polemik serta kesan negatif terhadap tahap kesihatan serta akhlak anak-anak kita.
Barisan guru yang dihormati,
Tidak dapat dinafikan bahawa bagi pihak Kerajaan Negeri, kami tidak pernah sesekali meminggirkan pembangunan modal insan. Ketahuilah bahawa pentadbiran ini sentiasa komited dalam mempelbagaikan serta mentransformasikan bidang pendidikan selaras dengan keperluan pasaran global. Contohnya, Kerajaan Negeri memberikan penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai program, pendedahan lepasan sekolah kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Berdasarkan Laporan Prestasi Ekonomi Pulau Pinang, sektor pembuatan adalah penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Pulau Pinang. Oleh itu, saya menyeru kepada para pendidik untuk memainkan peranan penting mempromosikan bidang STEM dan TVET dalam kalangan murid lepasan SPM. Saya yakin bahawa penawaran bidang pekerjaan ini mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk Pulau Pinang secara keseluruhan.
Terima kasih seluhurnya kepada semua warga pendidik yang telah menunjukkan khidmat kebaktian yang tinggi dalam semua agenda pendidikan. Terima kasih saya rangkumkan dalam pengertian bahawa agenda pendidikan ini harus dirangkul bersama kerana kita adalah pemegang taruh utama dalam kegemilangan sesebuah negara. Amat jelas dalam melahirkan anak bangsa yang penuh kemuliaan sifatnya, segalanya bermula daripada pendidikan.
Ketahuilah bahawa saya sentiasa membuka ruang dan peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk sama-sama mengembleng tenaga dalam memajukan pendidikan di Pulau Pinang. Saya yakin dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri di setiap komuniti, aktiviti berasaskan pendidikan mampu disebarluaskan bukan hanya di sekolah, malahan pusat-pusat komuniti juga mampu merancang aktiviti bercorak pendidikan serta latihan kemahiran dalam kalangan masyarakat setempat.
Sabagai tanda penghargaan daripada saya, terimalah serangkap pantun yang saya tujukan khas buat semua warga pendidik yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara.
Wajahmu manis tersemat di hati,
Setiap masa bersuara lantang,
Wahai guru yang saya hormati,
Jasamu yang mulia sentiasa dikenang.
Dengan sukacitanya, saya merasmikan Majlis Kemuncak Apresiasi Pendidikan 2024 Anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.