MAJLIS PENGANUGERAHAN BIASISWA UNITAR KEPADA PELAJAR-PELAJAR GOLONGAN B40 DI BAWAH INISIATIF KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PENGANUGERAHAN BIASISWA UNITAR KEPADA PELAJAR-PELAJAR GOLONGAN B40 DI BAWAH INISIATIF KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
27 JUN 2024 (KHAMIS) | 1.50 PETANG
ANJUNG SERI MUTIARA
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak,
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr Sahol Hamid bin Abu Bakar,
Naib Canselor, Universiti Antarabangsa UNITAR
Encik Puvan Balachandran,
Ketua Pegawai Eksekutif, Universiti Antarabangsa UNITAR
Anak-anak pelajar,
Rakan-rakan media serta para hadirin yang dikasihi sekalian.
Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak kerana sudi untuk bersama-sama kita dalam majlis yang begitu bermakna ini. Saya juga ingin mengucapkan selamat datang kepada semua ke Majlis Penganugerahan Biasiswa UNITAR untuk Pelajar-Pelajar di bawah inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin sekalian,
Hadirnya kita semua dalam majlis ini merupakan manifestasi bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mementingkan aspek pendidikan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu. Majlis ini bukan sekadar satu upacara, tetapi ia juga melambangkan komitmen Kerajaan Negeri bersama-sama dengan UNITAR dalam usaha memantapkan keunggulan pendidikan dan pembangunan holistik para pemimpin masa depan negara.
Syabas saya ucapkan kepada anak-anak pelajar atas segala usaha, kerja keras dan dedikasi kalian dalam menuntut ilmu. Saya difahamkan bahawa pemberian biasiswa pada hari ini adalah kepada para pelajar UNITAR kemasukan semester Mei baru-baru ini serta pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya melayakkan diri ke UNITAR yang akan memulakan pengajian pada September akan datang. Sekali lagi, syabas saya ucapkan!
Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada pihak UNITAR kerana menyediakan peruntukan biasiswa penuh sebanyak RM1 juta untuk anak-anak Pulau Pinang. Usaha ini sekaligus membuktikan bahawa UNITAR merupakan sebuah institusi yang menyahut cabaran kerajaan dengan mengambil sebuah langkah monumental ke arah membentuk generasi pemimpin yang berilmu dan berkualiti.
Saya yakin bahawa biasiswa ini bukan sahaja menjadi bentuk bantuan kewangan, namun ia juga akan menjadi pemangkin kepada kejayaan akademik dan batu loncatan bagi merealisasikan impian anak-anak semua.
Tuan Yang Terutama Tun serta hadirin yang dihormati,
Landskap pendidikan di Malaysia, malah di seluruh dunia sedang mengalami transformasi yang didorong oleh inovasi digital. Seperti yang kita boleh lihat, majoriti anak-anak pelajar kini semakin bijak dalam menguasai dan memanfaatkan kecanggihan teknologi kini. Adalah penting bagi kita untuk menyokong dan memupuk kefasihan digital ini, kerana ia adalah kunci untuk mempersiapkan bakal pemimpin masa depan kita dalam menghadapi cabaran digital di masa hadapan. Ia juga selaras dengan Visi Penang 2030 untuk melahirkan sebuah negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Namun begitu, suka untuk saya tekankan di sini bahawa setiap penggunaan peranti elektronik haruslah dikawal dan dibatasi kerana risau ia akan mengundang implikasi negatif.
Selaras dengan inspirasi Kerajaan Persekutuan, pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa dan terus berazam untuk menyediakan peruntukan bantuan kewangan bagi memberikan sokongan kepada anak-anak pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Malah seperti yang telah termaktub dalam Belanjawan 2024, sejumlah RM58.7 bilion telah diperuntukkan untuk memberi keutamaan kepada pendidikan dalam negara sekaligus membuktikan bahawa aspek pendidikan terus diberi keutamaan bagi memastikan hasrat membina Malaysia MADANI berjaya dicapai.
Justeru, pemberian biasiswa ini adalah selari dengan misi dan visi kerajaan dalam memberikan pengiktirafan terhadap bakat serta potensi anak-anak pelajar dari Pulau Pinang. Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada UNITAR dan juga semua pelajar yang akan memperoleh manfaat daripada biasiswa ini. Semoga anda semua cemerlang dalam pengajian dan memperoleh kejayaan pada masa depan anda.
Ingatlah, pendidikan adalah kunci untuk membuka potensi anda sepenuhnya, jadi saya mohon kepada anak-anak sekalian supaya memanfaatkan peluang ini dan terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam segala yang anda lakukan. Bersama-sama, kita dapat membina masa depan yang lebih cerah untuk Pulau Pinang dan Malaysia.
Sekian, terima kasih.