MAJLIS PECAH TANAH KERETA KABEL BUKIT BENDERA
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH KERETA KABEL BUKIT BENDERA
29 JUN 2024 (SABTU) | 8.55 PAGI
TEMPAT LETAK KERETA RIFLE CLUB¬¬¬¬¬¬¬¬¬
Terima kasih saudara/i pengacara majlis.
[Salutasi]
Selamat pagi, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri serta para hadirin sekalian kerana sudi untuk bersama-sama dalam Majlis Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera pada pagi yang berbahagia ini.
Hari ini merupakan hari yang bersejarah kepada Kerajaan Negeri khususnya, kerana setelah bertahun-tahun penantian dengan lapisan proses melibatkan kajian pra-kebolehlaksanaan serta penilaian secara menyeluruh oleh pakar, panggilan untuk permintaan cadangan projek Kereta Kabel Bukit Bendera akhirnya dimulakan pada bulan Januari tahun 2021. Hartasuma Sdn. Bhd. telah memenangi projek ini dengan pelaburan RM250 juta yang dibuat melalui inisiatif perkongsian awam swasta (PPP) dengan kerajaan Pulau Pinang dan kini, kita bersedia untuk beralih daripada fasa perancangan dan reka bentuk kepada kerja-kerja fizikal.
Komponen utama projek ini termasuk penyediaan 700 tapak di tempat letak kereta bertingkat, Garden Station, Turning Station, Hill Station serta jajaran sistem kereta kabel sepanjang 2.73 kilometer yang akan dibekalkan oleh Kumpulan Doppelmayr.
Dalam pada itu, saya ingin mengambil ksempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana sudi menyediakan tempat letak kereta sementara di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani dan Taman Perbandaran Pulau Pinang sepanjang fasa pembinaan sedang berjalan.
Yang Berhormat Datuk Seri Utama serta hadirin yang dikasihi,
Seperti yang sedia maklum, berkumpulnya kita di Majlis Pecah Tanah Projek Kereta Kabel Bukit Bendera pada pagi yang berbahagia ini yang bukan sahaja mampu menambah satu lagi mod pengangkutan di negeri ini, malah projek ini juga mampu melonjakkan industri pelancongan di wilayah utara Semenanjung Malaysia khususnya. Ekonomi Pulau Pinang, seperti yang diketahui umum diterajui oleh aktiviti pembuatan dan pelancongan. Walaupun industri pelancongan di Pulau Pinang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19, negeri ini telah bangkit dalam tempoh pemulihan secara memberangsangkan. Hal ini dibuktikan dengan lonjakan luar biasa sebanyak 64.5 peratus dalam ketibaan pelancong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang mencatatkan 6.9 juta pelancong pada tahun 2023 berbanding 4.2 juta pelancong pada tahun 2022 .
Tidak dinafikan bahawa dengan pelaksanaan dasar bebas visa dan lebih banyak penerbangan terus antara Pulau Pinang dan China, negeri ini telah menyaksikan peningkatan sebanyak 370 peratus pelancong dari China dalam suku pertama 2024 berbanding tempoh yang sama untuk tahun lalu. Bagi memanfaatkan peluang ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat mengalu-alukan pertambahan penerbangan antarabangsa terus ke Pulau Pinang seperti tambahan terbaru, Shenzhen Airlines, yang akan bermula pada 27 Julai tahun ini.
Sebagai ikon pelancongan negeri, Bukit Bendera turut mencerminkan pertumbuhan positif dengan mencatatkan kunjungan daripada 1.66 juta pengunjung pada tahun 2023 berbanding 1.48 juta pada tahun 2022. Malah, dalam tempoh lima (5) bulan pertama tahun ini turut menyaksikan kunjungan daripada 665,994 pengunjung, yang mana 40 peratus daripadanya adalah daripada pelancong dari luar negara.
Sistem kereta kabel yang menggunakan kuasa elektrik mesra alam ini mampu membawa sehingga 1,000 penumpang sejam setiap arah yang berupaya mengimbangi beban funikular Bukit Bendera sedia ada. Taman Botani Pulau Pinang juga akan menjadi sebahagian daripada projek ini yang mana pintu masuk taman ini akan menjadi zon mesra keluarga rendah karbon dengan akses terhad kepada kenderaan awam. Inisiatif hijau serta inovatif ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 iaitu untuk Pulau Pinang muncul sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
YAB Dato’ Seri Utama serta hadirin sekalian,
Pembinaan kereta kabel ini melambangkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan mampan untuk meningkatkan kebolehcapaian serta mewujudkan peluang ekonomi baharu yang akan memberi manfaat kepada masyarakat tempatan. Sehubungan itu, pentadbiran ini amat bersyukur sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan pemulangan 20 peratus daripada cukai yang disumbangkan oleh Pulau Pinang bagi merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi di negeri ini.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya selaku Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan jawatankuasa serta semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera ini. Semoga kerjasama kukuh ini akan melimpahkan kebaikan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang khususnya dalam usaha pembangunan sosioekonomi di wilayah ini.
Sekian, terima kasih.