MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PENYEDIAAN SEMULA DAN KONSERVASI PARIT KUBU (MOAT)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH

PROJEK PENYEDIAAN SEMULA DAN KONSERVASI PARIT KUBU (MOAT)

DI KOTA CORNWALLIS, GEORGE TOWN

 

18 JUN 2023, AHAD I 9.00 PAGI

 

YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

 

YB Yeoh Soon Hin

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

YB Puan Lim Hui Ying

Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pendidikan.

 

Yang Berbahagia Dato'  Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Anwar Fazal

Pengerusi, Think City Sdn. Bhd.

Datin Barathi a/p Suppiah

Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI)

Ahli Lembaga Pengarah George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC)

Ahli-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Tuan Hamdan Abdul Majeed

Pengarah Urusan Think City Sdn Bhd

Ketua-Ketua Jabatan

Para Jemputan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa syukur atas kesempatan diberikan untuk sama-sama berkumpul bagi menjayakan Majlis Pecah Tanah Projek Penyediaan Semula dan Konservasi Fort Cornwallis, George Town pada pagi yang berbahagia ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung terutamanya George Town Conservation and Development Corporation(GTCDC) dan bantuan kepakaran daripada Aga Khan Trust for Culture (AKTC) atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan bagi membangunkan tapak warisan Fort Cornwallis yang telah dimulakan sejak tahun 2017, di bawah program North Seafront selaras North Seafront Master Plan di atas tanah berkeluasan 8.3 ekar.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Di bawah Pelan Induk Strategik Georgetown, sebanyak 14 projek utama telah diketengahkan dengan kos keseluruhan sebanyak RM140 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Think City.

Daripada 14 projek tersebut (fizikal dan kajian), 10 daripadanya telah disiapkan dengan penglibatan pelbagai agensi dan jabatan negeri,  termasuk dengan kerjasama MBPP untuk projek tembok laut Padang Kota berjumlah RM12.9 juta, menaik taraf padang, menaik taraf Lebuh Light walkway, menaik taraf Menara Jam Queen Victoria dan banyak lagi.

Kesemua projek ini dilaksanakan dan disiapkan secara berfasa sehingga tahun 2030 selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Manakala projek yang sedang dilaksanakan merangkumi Penyediaan Pameran di Storeroom, Kota Cornwallis, Penyediaan Semula Parit Kubu, Kota Cornwallis, Projek Linear Garden.

Kesemua projek ini diterajui oleh George Town Conservation and Development Corporation Sdn. Bhd. (GTCDC) iaitu agensi usaha sama Think City Sdn. Bhd. dan CMI serta bantuan kepakaran daripada konsultan antarabangsa, The Aga Khan Cultural Services(AKCS).

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Bagi memastikan tapak warisan bagi pengekalan status Warisan Dunia UNESCO George Town terutamanya di kawasan tumpuan ini terus dilindungi, dipelihara dan dipulihara, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menaik  taraf dan mewujudkan pelbagai produk pelancongan berkualiti, selaras dengan saranan North Seafront Master Plan dan Rancangan Kawasan Khas George Town.

Malah, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif lain dengan menyenaraikan beberapa projek warisan  yang mampu menjana ekonomi melalui aktiviti komersial dan dibangunkan menerusi model 'public-private partnership' (PPP) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, seperti Penang Bay dan juga cadangan untuk menaik taraf Dewan Sri Pinang.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Fort Cornwallis atau Kota Cornwallis merupakan salah satu projek utama dalam North Seafront Master Plan yang menzahirkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan menaik taraf kawasan, penyediaan pusat maklumat sejarah dan ruang rekreasi bernilai tinggi dengan mempergunakan aset pelancongan warisan sedia ada.

Sejak tahun 2019 hingga 2021, beberapa komponen projek Fort Cornwallis telah diselesaikan yang mana peruntukan yang dibelanjakan adalah berjumlah RM4.6 juta melibatkan kerja-kerja ekskavasi parit kubu (moat) dan konservasi storeroom secara berfasa.

Terkini, projek Kota Cornwallis telah memulakan pembangunan fasa selanjutnya, di mana perunding utama iaitu Perunding YAA Sdn. Bhd. dan kontraktor utama iaitu Jayamas Property Construction Sdn. Bhd. telah dilantik untuk pembangunan projek ini dengan keseluruhan kos bernilai RM15.3 juta untuk tempoh 20 bulan.

Komponen pertama bagi pembangunan fasa ini adalah penyediaan/mengembalikan semula parit kubu (moat) berbentuk ‘L’ yang menjadi mercu tanda dan benteng kubu semasa zaman kemegahan di era British pada 1804.

Anggaran kelebaran parit kubu yang mengelilingi Kota Cornwallis ialah sekitar 9 hingga 20 meter dan dibina menggunakan batuan granit dan bata. Parit kubu ini akan diisi dengan air, lengkap bersama sistem penapisan yang akan menjamin kebersihan kawasan ini.

Manakala komponen kedua ialah pembangunan semula Astaka Kota Selera untuk dijadikan medan selera yang lebih berkualiti dengan reka bentuk moden serta mampan bagi menggantikan yang sedia ada. Medan selera ini akan dilengkapkan dengan 26 buah gerai.

Pengerai sedia ada akan ditempatkan di lokasi sementara dalam tempoh pembinaan iaitu di kawasan taman permainan bersebelahan padang bagi menjamin kelangsungan aktiviti perniagaan medan selera ini. Kesemua komponen ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Sebagai makluman juga, pihak GTCDC turut aktif bersama barisan perunding dari dalam dan luar negara yang dilantik bagi menjalankan projek penyediaan mini galeri di Storeroom, Kota Cornwallis. 10 storeroom akan mempersembahkan kebudayaan berbeza mengikut garis masa dan dijangka akan siap pada pertengahan tahun 2024. Untuk projek ini, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

Selain projek North Seafront, Kerajaan Negeri bersama GTCDC juga sedang dalam perancangan untuk menaik taraf East Seafront dari Jeti Swettenham Pier ke Tanjung City Marina. Manakala Projek Penang Bay akan menghubungkan pembangunan waterfront di Butterworth selari dengan pembangunan North Seafrontdan East Seafront.

Diharapkan kesemua projek pembangunan ini berjalan lancar dan disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada CMI, Think City, Aga Khan, Perunding YAA, pasukan perunding dan Jayamas Property Construction Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai kontraktor atas kerjasama, komitmen serta dedikasi yang dicurahkan dalam menjayakan projek ini.

Saya yakin dengan ikatan kerjasama ini, tidak lama lagi kita akan melihat pembangunan keseluruhan Kota Cornwallis yang boleh dijadikan contoh sebagai tapak warisan yang berjaya memaksimumkan aset kebudayaan warisan bernilai tinggi serta bertaraf antarabangsa, sekaligus mampu meningkatkan pembangunan serta kemampanan sosio ekonomi negeri dengan pengekalan nilai-nilai sejarah, kelestarian alam sekitar serta mewujudkan ruang awam yang selesa, mampan dan inklusif untuk semua.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penyediaan Semula dan Konservasi Parit Kubu (Moat) di Kota Cornwallis, George Town, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang