MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN MASJID LAMA SUNGAI BAKAP
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN
MASJID LAMA SUNGAI BAKAP
16 JULAI 2023
PERKARANGAN MASJID LAMA SUNGAI BAKAP
YAB Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim
Perdana Menteri Malaysia
Barisan Jawatankuasa & Para Kariah Masjid Lama Sungai Bakap
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian
Selamat Petang, Salam Sejahtera, Salam LovePENANG dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mengaturkan Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada petang yang berbahagia ini.
Ribuan terima kasih juga khusus kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim atas kesudian melapangkan masa untuk menyerikan Majlis Peluncuran Masjid Lama Sungai Bakap ini sebagai sebahagian daripada intipati lawatan beliau ke Pulau Mutiara.
Sudah pastinya ia akan menjadi momen istimewa bukan sahaja kepada para kariah masjid di sini, tetapi juga kepada negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya.
YAB Perdana Menteri dan hadirin yang dikasihi sekalian,
Sepertimana semua sedia maklum, pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap merupakan satu (1) daripada tujuh (7) buah masjid yang telah diperuntukkan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM18.00 juta.
Selain Masjid Lama Sungai Bakap, enam (6) buah masjid lain yang terlibat dalam pelan pembangunan adalah Masjid Papan di Seberang Jaya; Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth; Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia; Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam.
Dan hari ini kita gembira apabila segala pelan perancangan pembangunan telah berjalan dengan lancar, dan kita dapat bersama-sama menyaksikan pembangunan masjid yang menjadi mercu tanda kebanggaan di kawasan Sungai Bakap, daerah SPS ini.
YAB Perdana Menteri dan hadirin yang dikasihi sekalian,
Masjid Lama Sungai Bakap telah mula bertapak di sini sejak tahun 1798 di atas tanah yang telah diwakafkan, dan ia telah melalui fasa-fasa penaiktarafan secara berperingkat sehingga dibuka secara rasminya pada tahun 1974 dan kini telah menjangkau usia 50 tahun.
Sejak masjid ini dibuka, banyak kejayaan dan pengiktirafan yang telah dicapai. Antaranya adalah:-
- Penarafan empat (4) bintang bagi Kategori Kebersihan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP);
- Penarafan tiga (3) bintang dalam Audit Penarafan Masjid Kariah Negeri Pulau Pinang oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang;
- Penghargaan daripada Wakaf Pulau Pinang atas kutipan tertinggi dana wakaf;
- Johan Aspek Pengurusan dan Pengimarahan Masjid, Kategori B, bagi Anugerah Penarafan Masjid Tahun 2022 oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang; dan
- Persijilan Blue Ribbon oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Namun begitu, seiring dengan peredaran masa yang membawa kepada kepesatan pembangunan, masjid ini tidak lagi dapat menampung lebihan kariah yang dianggarkan seramai 5,000 orang, berbanding kapasiti sekarang yang hanya dapat menampung seramai 700 jemaah sahaja.
Ini sekaligus menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah untuk beribadat malah pada masa sama juga telah menyumbang kepada kesesakan lalu lintas terutamanya ketika Solat Jumaat berikutan kenderaan-kenderaan jemaah yang terpaksa diparkir di tepi-tepi jalan berdekatan masjid.
Di samping masjid, terdapat sebuah bangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menempatkan kira-kira 300 pelajar kini dan masih terdapat permohonan kemasukan ke SAR ini menyebabkan kelas-kelas terpaksa dijalankan di dalam masjid.
Isu-isu yang timbul ini telah mendapat perhatian daripada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang dan cadangan pembangunan masjid ini telahpun dimulakan.
Serentak itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui agensi-agensi berkaitan turut membantu menjayakan usaha murni ini. Sesungguhnya keprihatinan TYT Tun terhadap keperluan rakyat akan sentiasa didokong oleh Kerajaan Negeri.
Usaha pembangunan masjid ini turut diusahakan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid Lama Sungai Bakap yang telah memulakan gerak kerja mengumpul dana pembinaan masjid baharu sejak tahun 2022 dan terkini, Jawatankuasa Kariah telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.0 juta. Syabas dan tahniah saya ucapkan.
YAB Perdana Menteri dan hadirin yang dikasihi sekalian,
Sepertimana komitmen kami sejak menerajui pemerintahan negeri ini pada tahun 2008, Kerajaan Negeri optimis dan akan terus komited untuk menyumbang dalam memartabatkan syiar Islam di Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri menyokong penuh Cadangan Kerja-Kerja Meroboh dan Membina Semula Masjid Lama dan Sekolah Agama Rakyat, Sungai Bakap ini demi manfaat penduduk setempat khususnya anak-anak kariah Sungai Bakap dan akan turut menyalurkan peruntukan bagi merealisasikan projek ini.
Secara peribadi, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha pembangunan ini termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Pulau Pinang (JHEIPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (ICU).
Dalam pada itu, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas sumbangan yang diberikan dalam menjayakan projek pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap ini. Sokongan dan kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan terus memberikan manfaat kepada rakyat di negeri tercinta ini secara lebih menyeluruh.
Akhir kata, diharapkan dengan terbinanya masjid ini kelak, ianya akan diimarahkan sebaiknya oleh penduduk setempat dengan program-program keagamaan serta kemasyarakatan yang dapat mengeratkan lagi ukhwah dalam kalangan ahli kariah.
Sekian, terima kasih.