SESI TAKLIMAT KEPADA PENIAGA BAGI PROJEK MENAIKTARAF TAPAK PENJAJA LEBUH KURAU 5, TAMAN CHAI LENG, PERAI

 TEKS UCAPANKETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA SESI TAKLIMAT KEPADA PENIAGA BAGI PROJEK MENAIKTARAF TAPAK PENJAJA LEBUH KURAU 5, TAMAN CHAI LENG, PERAI

 

5 MEI 2023 (JUMAAT)

DEWAN SERBAGUNA TAMAN CHAI LENG, PERAI

 

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang merangkap ADUN Perai

 

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Para Peniaga  Kompleks Makanan Lebuh Kurau 5, Taman Chai Leng

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pada pagi yang berbahagia ini, saya amat berbesar hati dan gembira untuk turut serta ke Program Taklimat Kepada Peniaga-Peniaga Berhubung Kerja-Kerja Menaiktaraf Kompleks Makanan Lebuh Kurau 5, Taman Chai Leng.

Terima kasih kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang berjaya mengumpulkan para  penjaja terlibat bagi mendengar sesi taklimat yang telah diatur pada hari ini.

Sebagai pemegang taruh, inisiatif awal ini adalah suatu usaha yang wajar diberikan pujian kerana inilah platform yang amat penting sebelum sesuatu pembangunan dilaksanakan. Melalui sesi dialog yang positif dan produktif ini, kita percaya perancangan dan konsep pembangunan dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sepertimana yang semua sedia maklum, Tapak Penjaja Lebuh Kurau 5 ini merupakan penempatan sementara penjaja yang telah wujud sekitar tahun 1990-an yang menempatkan kurang lebih 90 orang peniaga berkonsepkan petak terbuka tanpa bekalan utiliti.

Memandangkan ia merupakan antara kawasan tumpuan pelancong, kita boleh lihat urusan perniagaan semakin penuh dan sesak sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan para penjaja dan pembeli.

Sebenarnya hasrat untuk menaikraraf tapak penjaja ini telah pun bermula sejak tahun 2019. Namun pandemik COVID-19 telah membantutkan hasrat ini kerana kita perlu mengutamakan kerja-kerja naik taraf mendesak terlebih dahulu.

Namun, hari ini para peniaga tiada perlu risau lagi kerana kerja-kerja menaiktaraf tapak penjaja ini akan dimulakan pada tahun ini. Oleh sebab itulah kita semua berkumpul pada hari ini untuk mendengar penjelasan dan taklimat berhubung projek ini.

Projek naik taraf ini akan mengambil masa selam 24 bulan bermula Oktober 2023 dengan kos sebanyak RM5.0 juta. Bangunan baru akan dibina untuk mengisi 90 petak penjaja dan setiap gerai akan disediakan meter elektrik dan bekalan air individu.

Setiap gerai berkeluasan 12’ x 8’ dan ini sudah pastinya akan memberi keselesaan dan keseragaman kepada para penjaja dan pengunjung, bersesuaian dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk memastikan kesemua Kompleks Makanan milik PBT mencapai Gred A, selain menjadikan Tapak Penjaja Lebuh Kurau 5 ini sebagai salah satu lokasi kunjungan pelancong di Seberang Perai terutama penggemar ‘food hunting’.

Dalam usaha merancakkan sektor ekonomi di Pulau Pinang khususnya di Parlimen Batu Kawan, saya difahamkan MBSP juga akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan  tapak penjaja di Taman Puteri Gunung dan Taman Merak.

Dengan keadaaan ekonomi pada masa kini, Kerajaan Negeri percaya aktiviti perniagaan seperti ini boleh membantu menambahkan pendapatan isi rumah dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri melalui PBT untuk menyediakan infrastruktur yang sepatutnya kepada rakyat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang