SEMPENA MAJLIS PERASMIAN  KARNIVAL SANTAI RAKYAT KHAIRA UMMAH

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

 KARNIVAL SANTAI RAKYAT KHAIRA UMMAH

DAERAH TIMUR LAUT 2022

 

28 MEI 2022

STADIUM BANDARAYA PULAU PINANG

 

 YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, merangkap Pengerusi MMK Pemerkasaan Komuniti

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 
Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Tuan Rosli bin Halim
Pegawai Daerah Timur Laut

Mohd Fitri bin Ibrahim

Pengurus Besar Yayasan Islam Pulau Pinang
Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Peringkat Daerah, Negeri dan Persekutuan

 

Para Urus Setia dan Peserta

 

Rakan-rakan Media
 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pejabat Daerah & Tanah, Daerah Timur Laut (PDTDTL) atas jemputan sempena Majlis Perasmian Karnival Santai Rakyat Khaira Ummah Daerah Timur Laut 2022 pada pagi yang berbahagia ini.

Setelah lebih dua (2) tahun menjalani kehidupan secara normal baharu berikutan pandemik COVID-19, hari ini saya gembira kita dapat berkumpul semula bersama-sama dalam program komuniti yang cukup meriah ini.

Tahniah dan syabas kepada Pejabat Daerah & Tanah, Daerah Timur Laut (PDTDTL) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) serta semua yang terlibat sama ada daripada Jabatan/ Agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta pihak swasta yang turut serta dalam menjayakan karnival ini di bawah inisiatif MMK Pemerkasaan Komuniti yang diterajui oleh YB Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti yang kita semua sedia maklum, Khaira Ummah 2030 ialah sebuah pelan pembangunan 10 tahun umat Islam Pulau Pinang yang telah dilancarkan dengan menggariskan 5 teras utama iaitu HEBAT (Hikmah, Ekonomi, Baiti Jannati, Anak Muda dan Tarbiyah).

Meskipun begitu, konsep Khaira Ummah ini dilihat secara perspektif yang meluas dengan konsepnya tidak hanya terhad kepada warga Pulau Pinang beragama Islam sahaja.

Justeru, melalui siri jelajah program pada hari ini, ia telah disesuaikan dengan tuntutan dan kehendak komuniti Daerah Timur Laut (DTL) yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta penekanan kepada keharmonian untuk manfaat seisi keluarga.

Sepanjang program yang berlangsung selama satu (1) hari ini, pelbagai acara telah disusun bagi disesuaikan dengan konsep dan inisiatif progam, termasuk pembukaan booth-booth perkhidmatan Jabatan/Agensi Kerajaan dan Swasta yang menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat.

Dengan objektif utama sudah untuk untuk membantu para peniaga kecil yang teruk terjejas ketika pandemik COVID-19, penganjuran program ini turut melibatkan 16 pengusaha foodtruck di Pulau Pinang yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

Menyentuh tentang pembangunan industri kecil dan sederhana di Pulau Pinang, saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menyediakan bantuan kewangan khas berjumlah RM1 juta kepada 1,000 SME untuk meningkatkan pendigitalan dalam perniagaan.

Justeru, para peniaga kecil dan usahawan diseru supaya memanfaatkan geran SME berjumlah RM1,000 yang diberikan untuk kembali aktif dalam perniagaan masing-masing.  

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada rakan-rakan penaja yang sudi melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), antaraya adalah seperti:

Digi Telecommunication Sdn Bhd yang bekerjasama dengan YB ADUN Tanjong Bunga telah menaja perkhidmatan jalur lebar/wifi untuk kegunaan peserta-peserta program hari ini;
Sunquick Malaysia yang bekerjasama dengan PDTDTL dan menaja minuman percuma kepada pengunjung/petugas program; dan
Nestle Malaysia yang bekerjasama dengan PDTDTL dan menaja minuman Milo percuma kepada pengunjung/petugas program.
Akhir kata, saya dengan berbesar hati dan dengan sukacitanya merasmikan Kanival Santai Rakyat Khaira Ummah Daerah Timur Laut Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang