MAJLIS PELANCARAN RUMAH MAMPU MILIK (RMM) BUKIT GEDONG LEMBAGA PERUMAHAN NEGERI PULAU PINANG (LPNPP)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
RUMAH MAMPU MILIK (RMM) BUKIT GEDONG
LEMBAGA PERUMAHAN NEGERI PULAU PINANG (LPNPP)

28 MEI 2022 (SABTU)
TAPAK PROJEK RUMAH MAMPU MILIK BUKIT GEDONG

 

Yang Berhormat Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa

Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin
Ahli Parlimen Bayan Baru

YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Hussain
Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung

YB Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi
Penasihat Undang-Undang Negeri

YB Dato’ Dr Mohamad Farazi bin Johari
Pegawai Kewangan Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ahli Lembaga Pengarah
Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Puan ‘Ainul Fadhilah binti Samsudi
Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP)

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas jemputan sempena Majlis Pelancaran Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gedong bersebelahan Lot 8471, Mukim 12, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Jagdeep Singh sebentar tadi, sejarah baru dicipta hari ini khususnya kepada warga Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) atas kemajuan projek perumahan sulung yang bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Sesungguhnya pelancaran projek ini akan meletakkan penanda aras yang tinggi kepada warga LPNPP untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dari segi pembangunan infrastruktur Rumah Mampu Milik kepada rakyat Pulau Pinang.

Di atas tanah seluas 8.70 ekar, pembangunan projek ini akan merangkumi komponen-komponen yang masih tertakluk kepada kelulusan teknikal daripada pihak berkuasa dengan anggaran minima keseluruhan unit rumah yang akan dibina adalah berjumlah 864 unit RMM C.

Antara kemudahan asas lain yang turut disediakan adalah seperti tempat letak kenderaan, kedai, dewan komuniti, surau dan pejabat pengurusan, selain daripada pelbagai kelengkapan kemudahan tambahan dan moden yang sudah pasti akan memberi nilai tambah yang mampu menyaingi projek-projek perumahan sedia ada di negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Melalui pembangunan 14 projek di bawah Pelan Induk Perancangan Pembangunan LPNPP 2021-2025 atau lebih dikenali sebagai Rumah Mampu Milik Penang/Penang Affordable Housings (RMMPg/PAH), dijangkakan bahawa sejumlah 28,751 unit RMM B dan C akan dibina yang seterusnya menyumbang kepada pencapaian sasaran 220,000 unit menjelang tahun 2030.

Selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat kemajuan projek pembangunan ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang, agar penempatan dengan pesekitaran yang lebih sempurna, selesa, kemudahan sosial serta infrastruktur yang lebih kondusif dapat dinikmati rakyat.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Exco Perumahan kerana menerajui agenda Rumah Mampu Milik (RMM) dan memimpin agensi pelaksana iaitu Lembaga Perumahan Pulau Pinang (LPNPP) sebagai agensi pelaksana yang menyumbang pembekalan rumah mampu milik bagi warga Pulau Pinang dengan cukup baik sekali sejak tahun 2008.

Dengan ini saya merasmikan Majlis Pelancaran RMMPg The Millennia Bukit Gedong.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang