UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS-AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

TEKS UCAPAN  KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN

AHLI MAJLIS-AHLI MAJLIS

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

 

2 OKTOBER 2023 ; 9 PAGI

DEWAN PERSIDANGAN MAJLIS, MBPP

__________________________________________

 

 

YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid

Tiimbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Tuan H'ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ahli Majlis-Ahli majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berusaha Sr. Cheong Chee Hong

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ketua-Ketua Jabatan; barisan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas penganjuran Majlis Upacara Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada pagi yang berbahagia ini.

Sekalung tahniah dan syabas juga kepada 24 Ahli Majlis yang terdiri daripada 12 muka baru dan 11 orang yang telah disambungkan perkhidmatan untuk menggalas tugas dan meneruskan tanggungjawab bagi tempoh bermula 1 Oktober 2023 sehingga 31 Disember 2024.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengalu-alukan pelantikan ini dan meletakkan keyakinan yang tinggi kepada semua 24 Ahli Majlis untuk terus komited dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan memenuhi standard kualiti dan piagam pelanggan yang ditetapkan, sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya yang harmoni, progesif dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan seluruh penduduk di sini.

Sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dan rakyat, saya berharap semua Ahli Majlis yang dilantik faham dengan bidang tugas dan peranan masing-masing, serta peka terhadap situasi dan keadaan semasa agar produktiviti dan sistem penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat  yang semakin meningkat serta mencabar meskipun berdepan dengan pelbagai isu yang memerlukan penyelesaian serta pendekatan baharu dari semasa ke semasa.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Kita bakal melangkah ke tahun 2024 yang pastinya menjanjikan semangat dan iltizam tinggi untuk terus mengharungi pelbagai cabaran mendatang. Justeru, kesiapsiagaan setiap daripada kita sepatutnya sudah ada untuk mendepani sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan meneruskan momentum budaya kerja cemerlang. Buktikan bahawa MBPP sentiasa keterhadapan melalui amalan Tadbir Urus Baik (Good Governance) dan ‘No Wrong Door Policy’.

Selain itu, prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus masih teguh digenggam, slogan ‘Memimpin Sambil Berkhidmat’ yang dilaungkan oleh MBPP menjadi indikator strategik terhadap prestasi kewangan serta pelbagai pencapaian dan pengiktirafan dikecapi MBPP. Buktinya, tahun ini, dengan bajet defisit sebanyak RM32.88 juta, MBPP meneruskan komitmen merancang dan menyediakan infrastruktur awam yang berkualiti, lengkap serta kondusif dengan peruntukan sebanyak RM20.65 juta.

Saya difahamkan bahawa MBPP akan mengoptimumkan pengurusan sumber-sumber dengan memberi keutamaan kepada projek dan program yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat dan para pemegang taruh. Sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan bagi projek pengubahsuaian serta menaik taraf kompleks makanan dan pasar di samping RM16.25 juta untuk projek infrastruktur jalan serta lalu lintas.

Dalam memastikan persekitaran bandar raya yang bersih, hijau dan indah pula, MBPP telah membelanjakan sebanyak RM43.20 juta setakat 1 September 2023. Maka, untuk tahun 2024, sebanyak RM62.71 juta telah diperuntukkan. Pada amnya, kerja-kerja pembersihan awam adalah diuruskan secara dalaman oleh kakitangan MBPP seramai 987 orang.

Pada masa sama, MBPP akan terus melaksanakan program kehijauan dan keceriaan bandar seperti penanaman pokok, kerja-kerja landskap dengan peruntukan kewangan sebanyak RM21.62 juta pada tahun depan. Malah, daripada 60,617 lampu jalan jenis LED yang telah dipasang di seluruh negeri Pulau Pinang, sebanyak 17,542 lampu jalan adalah milk MBPP.

Tidak terhenti di situ, saya juga telah dimaklumkan bahawa MBPP menggunakan teknologi hijau dalam penggunaan sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar yang mana premis-premis milik Majlis dan enam (6) bangunan milik MBPP telah dipasang sistem panel solar dengan jumlah keseluruhan saiz sistem berkapasiti 812.5 kilowatt peak (kWp).

Semua usaha ini, saya percaya, mempunyai kesan secara langsung dan tidak langsung dalam menghadapi krisis iklim secara menyeluruh. Saya mengharapkan agar MBPP akan meneruskan usaha ini melalui pelan-pelan tindakan untuk memperkukuhkan lagi kedayatahanan negeri Pulau Pinang dalam menghadapi sebarang impak krisis perubahan iklim global. Serentak itu, saya juga berharap hala tuju untuk menjadi Bandar Rendah Karbon dan sasaran Neutral Karbon untuk bandar raya ini menjelang tahun 2050 terlaksana dengan jaya sesuai dengan perkembangan digital kini.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Menyentuh mengenai Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang menjadi tunjang hala tuju Pulau Pinang, saya yakin bahawa pelbagai usaha yang telah dilaksanakan mahupun yang sedang dirancang oleh MBPP mampu membantu negeri ini mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau ‘Sustainable Development Goals’ yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ditambah dengan pelaksanaan inisiatif ‘placemaking’ yang memberi manfaat menyeluruh terhadap daya tahan dan daya huni negeri Pulau Pinang.

Berlandaskan matlamat-matlamat ini, barisan Ahli Majlis dilantik adalah perlu seiringan sama ada bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun Kerajaan Negeri dalam merealisasikannya demi kepentingan masyarakat di sini secara keseluruhan. Malah, aspirasi serta komitmen berkaitan juga perlu diselaraskan dengan 50 Manifesto 2023 bertunjangkan 16 tema utama yang mana ia telah menjadi komitmen serta janji kita kepada rakyat yang telah memberi amanat kepada barisan kepimpinan untuk terus memacu Pulau Pinang ke arah kecemerlangan.

Meneliti intipati Manifesto 2023, banyak yang bakal dilaksanakan demi Pulau Pinang khususnya projek-projek mega meliputi infrastruktur, pengangkutan serta pelancongan seperti transit aliran ringan (LRT), projek 'Silicon Island', kereta kabel Bukit Bendera, Penang Bay, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan banyak lagi. Semua ini menagih komitmen serta kesungguhan anda semua terutamanya barisan Ahli Majlis yang diraikan pada hari ini. Kita perlu yakin dan bekerja bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya demi pembangunan berterusan negeri yang kita cintai, Pulau Pinang.

Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi, syabas dan tahniah kepada semua 24 Ahli Majlis yang dilantik bagi penggal ini. Semoga gandingan baharu dan lama ini dapat memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan yang lebih cemerlang dan berintegriti kepada rakyat seiring dengan hasrat dan matlamat ke arah memperkasakan Agenda Perbandaran.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang